MACPA ditubuhkan lebih dahulu dari MIA
Mulai hari ini saya akan berkongsi berkenaan profesion perakaunan di Malaysia dan mengulas berkenaan tuduhan bahawa pemikirannya masih terjajah dan membesar-besarkan kelayakan profesional dari luar negara.
Perspektif saya ialah kepentingan profesion perakaunan kepada pembangunan negara, bukannya nak “mempertahankan” kepentingan mana-mana pihak di dalam profesion itu sendiri. Ini adalah satu perspektif penting kerana kaedah “nak mempertahankan” ini adalah satu pendekatan popular walaupun akhirnya negara menanggung akibatnya. Ini pendekatan politik, bukannya orang profesional yang nak menyumbang kepada negara.
Semasa saya mempengerusikan satu mesyuarat agung Institut Akauntan Malaysia (MIA), ada di kemukakan satu soalan yang menggambarkan keserabutan pemikiran akauntan di Malaysia “apakah yang kamu buat dengan yuran yang kami bayar kepada MIA untuk memberikan manfaat kepada kami?”. Jawap saya “kerajaan telah memberikan konsesi kepada MIA untuk mengambil duit dari kamu supaya MIA dapat mengawal selia akauntan-akauntan di Malaysia bagi pihak rakyat. Setiap akauntan yang diselia oleh MIA kena memberikan perkhidmatan kepada negara berdasarkan pelbagai piawaian yang ada. MIA kena popular melalui pendekatan ini di kalangan 30 juta rakyat Malaysia, bukannya popular di kalangan 30 ribu ahlinya”.
Oleh kerana saya tidak meminta dilantik untuk menjadi Presiden MIA, saya tidak peduli samada saya popular di kalangan akauntan yang menjadi ahli MIA atau tidak. Fokus saya ialah supaya MIA berfungsi seperti objektif penubuhannya di dalam Akta Akauntan 1967, bukannya menjadikan MIA sebuah kesatuan sekerja yang memerlukan pemimpinnya sentiasa mendesak manfaat-manfaat diberikan kepada ahli-ahlinya.
Jika kita meneliti perkembangan profesion perakaunan di Malaysia, jelas kepada kita ianya ada hubungan dengan perkembangan negara, bukannya nak menjadikan ahli-ahlinya nampak besar dan hebat.
Malaysian Association of Certified Public Accountants (MACPA) ditubuhkan pada tahun 1958, setahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Ini menunjukkan bagi mengisi kemerdekaan, negara memerlukan sebuah profesion perakaunan yang mantap dan sentiasa berkembang dengan keperluan ekonomi negara. Bukankah ini bertujuan untuk memenuhi tuntutan kemerdekaan, bukannya untuk mempertahankan penjajah?
Malaysian Institut of Accountants (MIA) pula ditubuhkan pada tahun 1967. Akta Syarikat dikanunkan di dalam tahun 1965. Untuk membolehkan pelbagai peruntukan di dalam akta berkenaan dilaksanakan, akauntan diperlukan dengan lebih ramai. Akauntan pula perlu dikawal selia.
Oleh itu, negara kita sudah ada badan perakaunan profesional setahun selepas Merdeka. Ada pihak yang mahu menengelamkan perkara ini di atas kepenting mereka dan kumpulan mereka.
Besok saya akan hurai berkenaan politik yang wijud di dalam profesion perakaunan di Malaysia. memang hebat politiknya. Sekarang pun hebat termasuk mereka yang ada di alam akademik yang sepatutnya jujur dan terpelajar.
Mengapa MIA Ditubuhkan
Semenjak penubuhannya di dalam tahun 1958, Malaysian Association of Certified Public Accountants (MACPA) memposisikan badan ini semacam institut-institut Chartered Accountants di dalam negara-negara Komonwel.
Nak jadi ahli MACPA kena jalani “articleship” di firma-firma ahli-ahli MACPA. Kemudian kena ambil peperiksaan sebelum dikira layak untuk diberikan keahlian.
Di kala itu, ada juga rakyat negara yang pergi ke seberang laut untuk mendapatkan kelayakan sebagai akauntan. Di bawah Pelan Colombo, ramai anak-anak Malaya dihantar ke beberapa negara-negara Komonwel seperti Australia dan Kanada. Ada juga yang pergi secara persendirian dan yang mengambil peperiksaan jarak jauh dari sini.
Apabila mereka pulang ke negara dengan kelayakan profesional yang berlainan dari MACPA, mereka tidak diberikan jalan pintas untuk menjadi ahli. Kumpulan ini kemudiannya mendesak kerajaan supaya ditubuhkan sebuah lagi badan perakaunan yang bertujuan untuk menjadi rumah kepada akauntan yang ada pelbagai latar belakang ini.
Malaysian Institute of Accountants (MIA) ditubuhkan pada tahun 1967 bersekali dengan badan-badan kawal selia profesional yang lain seperti Akta Jurutera. Oleh kerana orang-orang profesional dibolehkan menjalankan kerja-kerja tertentu, mereka kena dikawal selia agar meletakkan kepentingan masyarakat di atas kepentingan diri sendiri. Ini asas profesionalisme.
MIA juga ada kuasa untuk menawarkan peperiksaan profesional bagi melahirkan akauntan-akauntan profesionalnya yang tersendiri. Namun, dikatakan, oleh kerana kepimpinan MIA ramai terdiri dari ahli-ahli MACPA, peperiksaan ini tidak pernah ditawarkan kerana boleh menjadi saingan kepada MACPA.
Maka MIA mendaftar 2 jenis akauntan, akauntan awam dan akauntan yang tidak berkhidmatan di dalam perkhidmatan awam. Akauntan awam digelar Public Accountants manakala lain-lain akauntan digelar Registered Accountants.
Ada satu lagi kelas akauntan iaitu Licensed Accountant. Ini adalah orang-orang yang tidak ada kelayakan yang diiktiraf tetapi telah memberikan khidmat sebagai juruaudit. Kumpulan ini tidak ramai dan ada apa-apa pengaruh.
Pada awalnya MIA hanya mendaftarkan ahli-ahli badan-badan profesional perakaunan terutamanya dari negara-negara Komonwel. Namun, di awal tahun 70an MIA dipaksa untuk mengiktiraf angkatan pertama graduan Post-Graduate yang lulus kursus perakaunan dari Universiti Malaya.
Asal Usul Pengiktirafan Ijazah Universiti Tempatan
Sebagaimana yang dibincangkan semalam, MIA ditubuhkan untuk mendaftar akauntan-akauntan yang menerima kelayakan dari pelbagai negara. Namun, walaupun MIA ada kuasa untuk menawarkan kelayakannya sendiri melalui peperiksaan profesional, ianya tidak pernah dijalankan.
Di awal tahun 70an ada satu projek untuk mewujudkan satu program perakaunan profesional di Universiti Malaya. Ianya merupakan satu program pasca ijazah (graduate diploma), bukannya ijazah pertama. Program ini diasaskan kepada program Chartered Accountant di Kanada. Ada beberapa orang yang ada kelayakan ini dibawa masuk sebagai pensyarah. Salah seorang dari mereka ialah Goh Joon Hai yang akhirnya menjadi kawan saya di dalam profesion.
Apabila peserta program ini lulus, mereka mahu diiktiraf seperti akauntan-akauntan profesional lain. Oleh kerana mereka bukan ahli badan profesional, tidak ada peruntukan untuk mereka diterima sebagai ahli MIA. Di ketika inilah kerajaan menggunakan kuasa untuk mewujudkan satu lagi jadual akauntan yang diiktiraf, iaitu graduan pasca siswazah dari Universiti Malaya ini. Selepas ini satu demi satu program perakaunan universiti tempatan dimasukkan ke dalam jadual berkenaan walaupun hanya ijazah pertama.
Amalan ini juga ada di Hong Kong dan Singapura di ketika itu. Di kebanyakan negara-negara komonwel lain, tidak ada undang-undang khusus untuk menyelia akauntan. Hanya yang menawarkan perkhidmatan seperti juruaudit dan ejen cukai diselia oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan. Jika graduan mana-mana universiti mahu menjadi akauntan profesional, mereka kena melalui program profesional mana-mana badan perakaunan yang ada di pasaran berkenaan.
Malah, Hong Kong dan Singapura juga sudah memberhentikan amalan mengiktiraf ijazah universiti sebagai kelayakan untuk digelar akauntan profesional. Bayangkan graduan dari universiti-universiti yang berada di tempat tertinggi di dalam ranking universiti seperti National Universiti of Singapore pun kena ambil peperiksaan profesional. Kejam betul mereka. Namun, itulah proses jika mahu melahirkan akauntan profesional yang ada kompetensi yang dikehendaki oleh pasaran, bukannya sekadar lepas piawaian universiti mereka sahaja.
Malaysia masih lagi mengekalkan amalan lama yang mengiktiraf ijazah tempatan sebagai kelayakan untuk didaftarakan sebagai ahli MIA. Jadi, kita sebenarnya ada 2 kumpulan akauntan yang menjadi ahli MIA, kumpulan yang telah memenuhi kehendak program profesional badan-badan perakaunan dan kumpulan graduan universiti tempatan.
Adakah pasaran tidak memperdulikan perbezaan di antara keduanya? Bagi syarikat-syarikat besar, mereka memberi kelebihan kepada mana-mana akauntan yang ada kelayakan profesional. Ini adalah kerana penilaian yang dibuat ke atas akauntan-akauntan ini dibuat berdasarkan tahap global, berdasarkan reputasi badan perakaunan yang terbabit.

Mengapa MIA Tidak Tersenarai Sebagai Ahli Chartered Accountants Worldwide?
Badan-badan perakaunan yang menawarkan kelayakan profesional Chartered Accountants ada menubuhkan sebuah persekutuan yang dinamakan Chartered Accountants Worldwide. Ianya bertujuan untuk bekerjasama bagi memperkembangkan peranan Chartered Accountants secara global.
Ahli-ahli persekutuan badan-badan Chartered Accountants ini adalah:
1. Institute of Chartered Accountabts in England and Wales
2. Institute of Chartered Accountants of Scotland
3. Institute of Chartered Accountants Ireland
4. Chartered Accountants Australia and New Zealand
5. South African Institute of Chartered Accountants
6. Institute of Singapore Chartered Accountants
7. Institute of Chartered Accountants Zimbabwe
8. Institute of Chartered Accountants Malawi
9. Institute of Chartered Accountants Nigeria
10. Institute of Chartered Accountants Bangladesh
11. Institute of Cahrteted Accountants Sri Lanka
12. Institute of Indonesia Chartered Accountants
13. Zambia Institute of Chartered Accountants
14. Institute of Chartered Accountants Pakistan
15. Institute of Chartered Accountants India
Oleh kerana ahli-ahli MIA kini digelar “Chartered Accountants”, mengapa nama MIA tidak tersenarai? Adakah MIA tidak mahu menjadi penyokong penjajah? Adakah MIA didiskriminasikan?
Releks. MIA tidak menyertai persekutuan ini kerana MIA tidak mempunyai peperiksaan profesional sama seperti badan-badan di atas. “Chartered Accountant” MIA adalah sekadar status pendaftaran.
Sebelum tahun 2000, ahli-ahli MIA secara kasarnya dikelaskan seperti berikut:
1. Public Accountants bagi ahli yang ada amalan awam atau bekerja dengan firma amalan awam
2. Registered Accountants bagi ahli-ahli lain.
Di dalam tahun 2000 Akta Akauntan dipinda dan di antara pindaan yang mustahak ialah:
1. Menggelarkan kesemua ahli-ahli yang didaftarkan oleh MIA sebagai “Chartered Accountants”
2. Menarik balik kuasa MIA untuk menawarkan kelayakan profesional melalui peperiksaan profesional tetapi hanya boleh menawarkan peperiksaan kelayakan bagi menyama taraf ijazah universiti luar negara dengan ijazah perakaunan universiti tempatan. Jika ada graduan dari National University of Singapore (NUS) yang disenaraikan di antara universiti tertinggi nak jadi ahli MIA, dia kena ambil peperiksaan kelayakan ini supaya dia menjadi sama taraf dengan garduan univerisiti-universiti di Malaysia.
Pindaan Akta Akauntan tahun 2000 ini menyeronokan ahli-ahli MIA apabila boleh menayangkan gelaran Chartered Accountant. Malah lama kelamaan ini sudah dikira antara hak-hak istimewa di negara ini.
Walau bagaimana pun, di sektor korporat, bakal majikan akan bertanya calon, peperiksaan mana yang diambil untuk digelar Chartered Accountant ini. Jika sekadar status pendaftaran MIA, mereka akan dilayan dengan selayaknya berdasarkan status berkenaan. Jika calon mempunyai kelayakan seperti yang disenaraikan di atas, mereka akan diberikan layanan berdasarkan kelayakan berkenaan pula. Industri boleh bezakan di antara keduannya.
Di dalam perakaunan ada prinsip penting “substance over form”, isi lebih penting dari kulit. Majikan di sektor swasta dan korporat akan melihat isinya, bukannya kulit walaupun nampak macam cantik.
Apa yang menarik di dalam senarai badan-badan Chartered Accountants di atas ialah penyertaan Indonesia. Indonesia adalah ahli G20, negara-negara dengan 20 ekonomi terbesar di dunia. Untuk memperkembangkan ekonominya, mereka memerlukan lebih ramai akauntan profesional yang mencapai tahap yang tinggi.
Mereka telah memperkenalkan peperiksaan profesional yang menawarkan gelaran Chartered Accountant walaupun sebelum ini mereka menganugerahkan gelaran akauntan kepada graduan universiti-universiti mereka tanpa perlu apa-apa peperiksaan lagi. Inilah cara nak membangunkan negara. Kena diperelokkan lagi isinya, bukan menghias kulitnya sahaja.
Singapura pun begitu juga. Mereka sanggup membiarkan graduan NUS yang tidak mahu mengambil peperiksaan profesional tinggal sebagai graduan sahaja. Siapa suruh tidak mahu meningkatkan kemahiran profesional?
MIA Ni Nak Jaga Siapa?
Di dalam satu mesyuarat agung tahunan MIA di kala saya menjadi Presiden, ada ahli MIA bertanyakan soalan “apakah yang dibuat ke atas yuran yang dibayar oleh ahli bagi memanfaatkan ahli MIA?”
Soalan ini sememangnya bola tanggung yang saya tunggu-tunggu. Jawab saya “kerajaan telah memberikan konsesi kepada MIA untuk mengambil duit dari kamu dan digunakan untuk mengawal selia kamu semua. Sekiranya kamu memberikan perkhidmatan sejajar dengan piawaian-piawaian yang ditetapkan oleh MIA, rakyat Malaysia akan mendapat perkhidmatan yang bernilai dan mereka akan menghormati kamu semua”.
Saya sambung “MIA kena popular di kalangan 25 juta rakyat Malaysia di atas keupayaannya mengawal selia akauntan dan tidak perlu popular di kalangan 25 ribu ahli-ahli MIA yang ada”.
Apabila kita mentadbir, mengurus dan memimpin institusi awam, kita kena jelas siapa yang menjadi bos kita, rakyat Malaysia! Oleh yang demikian, setiap keputusan dan tindakan mestilah meletakkan kepentingan rakyat di atas kepentingan yang lain.
MIA ditubuhkan dengan tujuan untuk mengawal selia profesion perakaunan. Itulah sebabnya orang yang nak menggelar diri mereka akauntan wajib menjadi ahli MIA. Keahlian MIA bukanlah di atas dasar cinta. Ianya satu paksaan.
Apabila MIA menilai mana-mana kelulusan untuk diiktiraf, ianya perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab kerana orang-orang yang bakal diiktiraf akan dianggap dan dipercayai oleh masyarakat mempunyai ilmu, kemahiran, pengalaman dan nilai profesional yang cukup tahapnya untuk digelar seorang akauntan. Ianya bukan bertujuan untuk memberikan apa-apa keistimewaan kepada pihak yang mengeluarkan kelulusan berkenaan atau supaya pemegang kelulusan itu dibayar dengan gaji yang lebih tinggi.
Bagi saya, meletakkan apa-apa kepentingan lain selain dari nak mempastikan ahli MIA benar-benar layak dan mampu untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka sebagai akauntan adalah satu pengkhianatan ke atas rakyat dan negara yang menggunakan perkhidmatan akauntan ini. Bawa pelbagai dalil untuk mengharumkan pengkhianatan ini tak guna.
Sekiranya majikan dan pelanggan tidak diberikan khidmatan yang selayaknya oleh ahli-ahli MIA kerana kegagalan MIA menjalankan kerja-kerja kawal selianya, tentunya ahli-ahli majlis MIA kena bertanggungjawab bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat.
Di ketika membincangkan kegagalan juruaudit melaksanakan kerja-kerja audit mereka mengikut piawaian audit tetapi membuat pengakian telah mematuhi piawaian di dalam laporan juruaudit, saya memberitahu ahli-ahli majlis MIA bahawa itu adalah satu sumpah palsu. Di dalam Islam sumpah palsu besar dosanya. Ada di antara ahli-ahli majlis MIA yang terkejut dan menyatakan di dalam agama mereka, ianya tak lah sampai ke tahap itu.
Jika kita nak cerita pasal agama, ianya tidak boleh dihadkan kepada pengkanunan undang-undang tertentu sahaja. Kita kena hidupkan agama ini apabila kita diberikan peluang untuk mentadbir, mengurus dan memimpin apa sahaja. Oleh kerana hasil kerja akauntan dirasai oleh pelbagai peringkat rakyat di pelbagai sektor, lagilah penting kebertanggungjawaban agama dihidupkan. Piawaian seperti piawaian audit, pelaporan kewangan, pendidikan dan etika adalah di antara instrumen untuk mencapai tujuan di atas. Jangan diperkecilkan nilai agama piawaian-piawaian berkenaan hanya kerana kita tidak mempu untuk mematuhi mereka.
Seperti biasa, saya amat hiaran dengan orang-orang yang berusaha untuk menjadi ahli majlis MIA dengan tujuan untuk melemahkan MIA dari segi kawal selia dan bermudah-mudah di dalam penguatkuasaan piawaian-piawaian yang menjadi tanggungjawab MIA untuk melaksanakannya terutamanya piawaian pendidikan. Jika akauntan yang diiktiraf oleh MIA tak cukup syarat dan sifat dari segi piawaiannya, adakah lagi manfaat MIA yang sepatutnya berkhidmat untuk menjaga kepentingan rakyat Malaysia?
Yuran Tahunan Yang Dibayar Ke Badan Perakaunan Luar Negara Adalah Ufti Kepada Penjajah?
Setiap tahun apabila MIA nak mengadakan mesyuarat agung, kenyataan yang membawa maksud sebegini akan kedengaran. Ditakutkan juga dengan kemungkinan anak-anak kita akan susah menjadi akauntan kerana mereka akan dipaksa mengambil kelayakan luar negara sebelum boleh digelar Chartered Accountants.
Jika di dalam politik negara ada 3R, di dalam politik profesion perakaunan negara ada isu penjajahan dan perlindungan Chartered Accountants.
Isu Chartered Accountant tu saya dah ulas di atas. Ianya hanya status pendaftaran, bukannya kelayakan profesional.
Sebagai sebuah negara, kita memerlukan akauntan bagi mempastikan perniagaan dan pelbagai organisasi lagi berjalan dengan baik bagi menjana nilai kepada rakyat. Di dalam deraf laporan bagaimana nak memperkukuhkan profesion perakaunan yang saya pengerusikan dahulu, perkara ini masuk dalam bab 1. Jika perakaunan tak penting, tak perlu habiskan beras nak memperkembangkannya. Sila rujuk rajah dari deraf laporan berkenaan.
Di sebabkan mereka bersaing di antara satu sama lain, badan-badan perakaunan antarabangsa yang wujud kena menawarkan sesuatu yang berbeza. Jika diperhatikan, ianya boleh dibahagi kepada 3 pengkhususan:
1. Memberi perkhidmatan kepada pasaran modal
2. Fokus kepada perakaunan pengurusan
3. Yang mengimbangkan di antara pasaran modal, pengurusan dan isu-isu perniagaan terbaharu seperti pengurusan risiko dan ESG
Untuk memperkukuhkan lagi kelayakan profesional masing-masing, mereka melakukan pelbagai kajian, memperkinikan kandungan dan fokus kelayakan serta membantu di dalam pembentukan polisi di peringkat negara dan antarabangsa.
Di dalam konteks ini, saya nak tanya pihak yang mengaitkan MIA dengan penjajahan, di dalam 20 tahun ke belakang, banyak mana MIA menjalankan kajian berkenaan isu-isu pasaran modal, industri, teknologi dan lain-lain cabaran yang negara kita hadapi dan menawarkan penyelesaiannya?
Satu aktiviti MIA yang unggul ialah menganjurkan persidangan perakaunan antarabangsa setiap tahun. Boleh dikatakan kebanyakan badan-badan perakaunan antarabangsa menghantar wakil untuk membincangkan kajian-kajian dan perkembangan terkini pelbagai isu penting kepada akauntan dan dunia. Ini semua percuma. Mereka lakukan sebab nak promosikan jenama mereka. Bukankah pelbagai akauntan di negara ini mendapat manfaat dari kajian dan kepimpinan pemikiran (thought leadership) seperti ini?
Apabila Malaysia mempunyai akauntan-akauntan yang dilatih dari pelbagai pendekatan dan fokus, kita sebagai sebuah negara mendapat manfaat sebenarnya dengan kemasukan pelbagai ilmu, kemahiran dan idea baharu yang boleh menyelesaikan pelbagai isu dan cabaran yang kita hadapi. Bayangkan kita menghadkan bekalan akauntan kepada satu acuan akauntan sahaja dan badan itu pun terhegeh-hegeh di dalam kajian, pembangunan serta kepimpinan pemikiran? Siapa sebenarnya yang rugi.
Ada satu jenaka berkenaan siapakah seorang akauntan. Katanya “an accountant is a person who knows the cost of everything but value of nothing”. Akauntan hanya reti nak kira kos sahaja tetapi tak faham berkenaan nilai. Mungkin disebabkan masalah inilah, bayaran kepada badan-badan perakaunan profesional dari pelbagai negara dengan tawaran pelbagai nilai yang berbeza dianggap ufti kepada penjajah.
Mengapa Akauntan Profesional Sering Terlibat Dengan Skandal Tadbir Urus?
Di dalam Piala Dunia, kesemua pemain-pemain yang mengambil bahagian adalah pemain-pemain dari pelbagai kelab-kelab bolasepak dari pelbagai benua. Kelab-kelab ini tentunya bertarung di liga-liga teratas di benua masing-masing.
Apabila ada pemain-pemain yang dibuang padang dan digantung dari bermain di Piala Dunia, tentunya mereka adalah pemain-pemain dari kelab besar-besar. Adakah kita akan membuat rumusan pemain kelab besar-besar tidak berdisiplin dan kasar-kasar?
Skandal-skandal kewangan dan tadbir urus yang besar biasanya melibatkan syarikat-syarikat dan organisasi-organisasi besar juga. Sebab itulah ianya “meletup”. Banyak mana skandal kewangan syarikat dan organisasi kecil yang kita dengar? Bukan tak ada tetapi tak cukup besar untuk menjadi tajuk berita.
Syarikat dan organisasi besar biasanya menggunakan perkhidmatan firma-firma perakaunan yang besar-besar. Alasannya mudah sahaja, hanya firma yang besar dan ada sumber intelentual dan teknikal yang bersesuaian. Jika tak cukup di dalam negara, boleh dibawa dari luar negara.
Sama seperti pemain bola yang diberikan kad merah di Piala Dunia, apabila berlaku skandal di kalangan syarikat dan organisasi besar ini, firma perakaunan yang terlibat adalah firma perakaunan yang besar-besar lah.
Pengalaman saya di MIA, AOB, SC dan beberapa institusi memberikan saya maklumat dan data berkenaan perkara ini. Malah di dalam perbincangan di kalangan badan kawal selia audit di peringkat global, adalah satu realiti bahawa banyak kes-kes yang berlaku adalah di kalangan firma perakaunan besar. Namun, kami juga menerima hakikat selain dari firma-firma berkenaan, amat jarang firma-firma lain yang ada kemampuan dan kualiti untuk menerima kerja-kerja yang dibincangkan itu.
Ni seperti tak ada pemain dari liga kampung yang layak untuk bermain di Piala Dunia. Tak ada pemain liga kampung yang dibuang di Piala Dunia bukannya menggambarkan liga kampung tu suci bersih.
Firma-firma besar tentunya mahukan ahli pasukan yang terbaik. Syarat minima kenalah ada kelayakan perakaunan profesional. Jika belum ada pun, kena ambil kemudian jika mahu membina kerjaya di situ.
Oleh yang demikian, pihak yang tidak berminat dengan kelayakan perakaunan profesional akan menggunakan alasan bahawa kes-kes kewangan dan tadbir urus yang besar semuanya melibatkan akauntan profesional, sama macam rumusan yang boleh dibuat di Piala Dunia.
Walhal, setiap tahun MIA menerbitkan laporan berkenaan hasil semakan kerja-kerja audit ahli MIA. Oleh kerana MIA tidak menyemak kerja-kerja yang melibatkan entiti berkepentingan awam yang diselia oleh AOB, hampir kesemua kes yang dilaporkan melibatkan firma-firma kecil. Dapatannya amat meloyakan.
Bagi saya, adalah tanggungjawab kita untuk menjadikan anak-anak dan cucu-cucu kita lebih baik dan hebat dari kita. Mereka kena dibekalkan dengan ilmu, kemahiran, pengalaman dan kelayakan yang akan meluaskan lagi prospek kerjaya mereka. Kita tidak boleh hadkan masa hadapan mereka kerana kita tidak mampu, malas dan tidak mahu berubah.
Isu berkenaan kelayakan perakaunan profesional di Malaysia ini sebenarnya lebih kepada menutup ketidak mampuan pihak-pihak yang ada masalah ilmu, kemahiran dan sikap. Jual sahaja cerita penjajahan, mudah orang nak terima.
