Kita biasa mendengar bahawa sesuatu pekerjaan (amal) dikira oleh Allah SWT berdasarkan niat. Niat ni dalam jantunghati (قلب) bukannya apa yang dilafazkan dimulut.
Di dalam perakaunan, harta seperti tanah, bangunan, kilang, kenderaan dan seumpamanya dikelaskan dan diperakaunkan mengikut niat kegunaan masing-masing.
Sekiranya bangunan dibeli untuk diduduki dan digunakan sendiri, ianya dikira sebagai sebahagian dari harta, jentera dan mesin (property, plant & equipment) lalu diperakaunkan dengan merujuk kepada piawaian perakaunan MFRS 116.
Sebaliknya, bangunan yang sama sekiranya dibeli dengan niat sebagai aset pelaburan untuk disewakan dan mendapat keuntungan dari peningkatan nilai bangunan, maka ianya dikira sebagai harta pelaburan dan diperakaunkan mengikut piawaian perakaunan MFRS 140.

Apa perbezaannya?
Jika harga digunakan sendiri, biasanya ianya direkodkan pada nilai kos dan susutnilai akan dikira dan ditolak dari kos asal itu. Susutnilai adalah kos perniagaan dan ditolak dari keuntungan.
Pemilik boleh juga memilih untuk memperakaunkan mengikut model penilaian. Harta dinilai semula secara berkala dan nilainya akan ditambah atau dikurangkan berdasarkan penilaian berkenaan. Jika nilainya bertambah, susutnilai pun akan bertambah sehinggalah penilaian seterusnya. Jika nilainya jatuh, perbezaan di antar nilai baharu dengan nilai lama dikira sebagai kerugian rosotnilai (impairment loss).
Bagi harta pelaburan pula, nilainya kena dinilai setiap tahun. Jika nilainya bertambah, pemilik akan membuat keuntungan dan jika nilainya jatuh, itu adalah satu kerugian rosotnilai. Penilaian ini perlu dibuat secara bebas, tidak syok sendiri atau pun sengaja ditinggikan untuk menunjukkan keuntungan. Jangan pula berpakat dengan jurunilai tau, walaupun di dunia terlepas, di akhirat kena jawab dengan Allah kerana telah membuat penyaksian palsu.
Ada orang ingat melabur di dalam hartanah ni sentiasa untung. Percayalah, itu adalah pandangan orang yang jahil pelaburan kerana tidak belajar ilmu pelaburan walaupun dia mungkin dianggap alim di dalam disiplin lain.
Bagi pemilik hartanah pejabat di Kuala Lumpur misalnya, mereka akan tahu berkenaan lebihan bekalan ruang pejabat yang amat banyak. Bila bekalan melebih, kadar sewa akan jatuh. Bila kadar sewa jatuh, nilai bagunan akan merudum kerana bangunan pejabat dinilai berdasarkan nilai semasa sewanya untuk tempoh yang tertentu. Lepas tu lif dan penghawa dingin kena ditukar secara berkala. Tu kos besar yang boleh mengoyakkan poket.
Jika memiliki hotel pula, nilainya pun adalah berdasarkan nilai semasa (present value) aliran tunai dari operasi hotel, bukannya kecantikan hotel seperti yang dibangga-banggakan itu. Jika hotel diuruskan oleh pihak lain, biasanya pengurus akan membuat keuntungan manakala tuan hotel belum tentu lagi. Jika diuruskan sendiri, kena tubuhkan syarikat pengurusan dan kena hadapi segala masalah manusia. Silap-silap kedua-dua pelaburan dan pengurusan rugi. Ini dah berlaku lah.
Tanah perladangan pun sama. Isu pertama ialah harga pembelian. Jika kena tipu bab ni, tentunya tuan tanah akan rugi walaupun ada ratusan ribu ekar. Kemudian isu penggunaan tanah, jika ada ratusan ribu ekar pun tetapi jika 20-30 peratus tanah tidak boleh ditanam dengan apa-apa disebabkan pelbagai perkara, adakah itu membawa keuntungan dan membanggakan? Tanam pun belum tentu untung lagi, ada pokok yang menjadi keras di situ sahaja, tak boleh dituai.
Jangan percaya dakwaan manusia yang jahil yang menganggap ada tanah sahaja untung dan tanah dan bangunan yang merugikan kena disimpan untuk ditayang-tayangkan. Apabila kaedah IFRS 116 dan 140 digunakan dengan jujur, baru tahu untung ruginya. Kalau mereka tak kenal pun piawaian perakaunan, jangan percaya kepada orang yang jahil seperti itu.
Memang satu tindakan perniagaan yang bijak untuk mengekalkan harta yang untung. Saya belum berjumpa lagi kitab yang mengatakan harta yang rugi juga kena dikekalkan kerana itulah caranya untuk masuk syurga.
Bila nilai harta dah jatuh, kena tengok dua-dua. Mengapa harta itu dibeli dan adakah harganya munasabah? Jika didapati akan terus merugikan, mengapa tidak dijual sahaja? Hasil jualan boleh digunakan untuk membeli harta yang lebih menguntungkan.
Jika kita uruskan harta sendiri kita boleh buat ikut suka kita sahaja. Namun, apabila kita mentadbir dan mengurus harta orang, kita kena jujur dan amanah dan mengira untung rugi mengikut IFRS 116 dan IFRS 140, bukannya melaporkan dengan cara yang menguntungkan sahaja.
Bukankah mengira untungrugi dengan betul, jujur dan amanah termasuk di dalam bab syurga neraka? Yang tu saya yakin ada banyak kitab yang menyebutnya.
