Membiarkan Alam Rosak Bukan Perangai Orang Islam

Minggu ini saya menghadiri Persidangan JC3 Journey to Zero 2023 yang diadakan di Sesana Kijang, Bank Negara Malaysia. Terdapat pelbagai pakar dari dalam dan luar negara berkongsi pandangan berkenaan risiko membiarkan alam rosak dan mencadangkan pelbagai kaedah penyelesaian yang boleh kita ambil.

Bumi tempat yang kita duduki ini semakin panas. Ianya disebabkan gas-gas rumah hijau yang dilepaskan ke angkasa hasil dari pelbagai kegiatan manusia seperti pembakaran hutan dan juga penggunaan hidrokarbon untuk membolehkan kita ke sana sini menggunakan kereta dan pelbagai kaedah pengangkutan yang lain. Sekiranya kita terus dengan cara hidup dan gaya hidup sekarang, suhu bumi akan mencecah 3 darjah centigrade di atas suhu asal di zaman pra-industri menjelang akhir abad ini.

Di ketika ini, negara-negara Barat yang merupakan penyumbang utama gas rumah hijau ke udara sedang berusaha untuk memperlahankan kepanasan bumi. Maka wujudlah pelbagai usaha seperti Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu atau COP yang mencari jalan supaya kadar pelepasan gas-gas rumah hijau diperlahankan atau dihapuskan. Ini juga melibatkan negara-negara lain yang tidak menjadi penyumbang yang bermakna. Negara kita Malaysia hanya menyumbang kira-kira 0.4% sahaja dari masalah ini. Namun, oleh kerana kita semua berkongsi bumi yang sama, mahu tidak mahu kita kena berbuat sesuatu bagi membolehkan kita mewariskan bumi yang makmur kepada cucu cicit kita.

Net Zero atau Sifar Barsih adalah sasaran kebanyakan negara di dunia. Apabila pelepasan gas-gas rumah hijau sama dengan penyerapan karbon, maka itu dinamakan Sifar Bersih. Ini diharapkan akan mengurangkan risiko pemanasan bumi dan menghalang garis 3 darjah centigrade itu dari dilepasi. Kesemua ini memerlukan kita mengubah gaya hidup dan cara hidup. Ini termasuk menggunakan sumber tenaga boleh baharu seperti solar, angin dan wap panas bumi. Alam semula jadi juga kena dikekalkan sebaik mungkin agar gas-gas rumah hijau tidak terlepas dan pokok-pokok boleh terus menyerap gas karbon dioksida.

Projek-projek yang perlu dilaksanakan bagi mencapai Sifar Bersih memerlukan dana yang amat banyak. Sebagai contoh, bagi mentransisi sumber tenaga dari sumber berasaskan arang batu, minyak dan gas yang menjadi punca utama pelepasan karbon, pelaburan perlu dibuat untuk memperbanyakkan lagi sumber tenaga boleh baharu. Bagi melaksanakan pelbagai projek seperti ini bagi membolehkan Malaysia mencapai sasaran Sifar Bersihnya, kita kena membelanjakan kira-kira RM 1.3 trilion dari sekarang sehingga tahun 2050. Ini dah hampir sama dengan jumlah hutang dan liabiliti negara sebanyak RM 1.5 trilion sekarang. Jika setiap tahun belanjawan negara mengalami defisit, bayangkan sekiranya jumlah yang besar ini datang dari dana negara.

Persidangan JC3 ini membincangkan pelbaga solusi termasuk bagaimana projek-projek penyelamatan alam yang kurang daya maju dari segi kewangan boleh dibiayai. Maka, pembiayaan bersepadu (blended financing) menjadi salah satu pendekatan. Ini dibuat dengan memecahkan projek kepada beberapa segmen. Yang tidak mendatangkan keuntungan kewangan dibiayai oleh kerajaan atau modal konsesi (concessional capital) seperti derma dan sumbangan. Bahagian yang boleh membawa keuntungan kewangan pula dibiayai oleh modal persendirian yang tetap mahukan keuntungan walaupun dunia ini sudah parah.

Di sinilah saya nampak institusi kewangan yang berjalan benar-benar di atas prinsip Islam ada kelebihan. Di dalam Islam ada modal konsesi yang tersedia di dalam bentuk sadaqah, zakat dan waqaf. Walaupun penyumbang kepada modal ini tidak mecari keuntungan di dunia, pahala yang mereka perolehi diharapkan akan membawa kesenangan di akhirat. Di dalam perspektif Islam, dunia dan akhirat tidak boleh dipisahkan.

Apabila kita menyebut pasal Islam, tentunta isu pemanasan bumi dan perubahan iklim ini ada perspektif shariahnya. Segala hukum hakam yang Allah tetapkan bukannya untuk kepentingan Allah tetapi untuk kebaikan kita sebagai makhluknya. Bagi orang yang menafsirkan Maqasid Shariah secara klasikal, menjaga nyawa dan menjaga harta adalah di antara Maqasid Shariah. Sekiranya pemansan bumi boleh menyebabkan nyawa dan harta manusia terancam, adakah kita orang Islam melihat sahaja bumi ini semakin rosak?

Di antara peranan kerajaan di dalam isu ini ialah meletakkan sumber hutan di dalam kawalan yang terbaik. Ianya tidak boleh dieksploitasi dengan mudah. Kena difikirkan pilihan-pilihan lain yang ada. Di negara kita, kerajaan persekutuan sudah mula membayar gantirugi kepada kerajaan negeri yang menjaga sumber hutannya. Jika kita mengaku kita Islam, tentunya lebih banyak kawasan hutan yang dimasukkan ke dalam kawasan kawalan, bukannya menyahgazetkan kawasan yang sedia ada supaya balaknya boleh ditebang dan galian di bawah tanah boleh digali. Di manakah Maqasid Shariah di sebalik tindakan-tindakan sebegini?

Sekiranya ada pihak dituduh sekular dengan dakwaan mereka memisahkan agama dan politik, bagaimana pula dengan pihak yang memisahkan agama dengan penjagaan alam di kala hampir kesemua masyarakat di dunia sedar akan kemusnahan yang akan dirasai jika kita meneruskan perangai tidak peduli ke atas alam sekitar ini? Bukankah ekonomi dan kekayaan boleh digiatkan dengan pelbagai kaedah lain seperti ekonomi berasaskan kepintaran (knowledge-based economy). Adakah ketidak pedulian ini disebabkan tidak ada kepintaran di kalangan pembuat polisinya? Sebagai seorang Islam, kita kena ingat tugas kita sebagai hamba Allah dan khalifah yang bertanggungjawab ke atas kesejahteraan muka bumi. Tu baru tak sekular, kan?

Tinggalkan komen