Apa yang kita pilih menentukan masa hadapan perniagaan kita
Untuk berjaya, seseorang usahawan yang baharu mengasaskan perniagaan bukan sahaja kena berusaha dengan keras tetapi kena pandai memilih jalan-jalan untuk mencapai kejayaan yang diidam-idamkan itu. Pilihan-pilihan ini merangkumi pelbagai perkara penting di dalam perniagaan yang akhirnya menjadi asas pembentukan dan pelaksanaan strategi perniagaan.
Perkara pertama yang kena di pilih ialah segmen pasaran serta barangan atau perkhidmatan yang boleh memenuhi kehendak pelanggan di dalam segmen berkenaan. Di samping itu, mengetahui siapakah pesaing yang ada juga penting. Ini membolehkan usahawan membuat keputusan samada mahu bersaing dengan mereka atau tidak berdasarkan kekuatan dan kelemahan kita. Di peringkat ini, kaedah pemasaran dan jualan kena dipilih juga. Ini tentunya mengambilkira citarasa pelanggan dan suasana pesaingan yang ada.

Pilihan kedua ialah kaedah pengeluaran dan juga operasi. Ini bertujuan untuk mempastikan barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi kehendak pelanggan dari segi ciri, harga dan apa-apa nilai tambah lain yang boleh membezakan apa yang ditawarkan berbanding dengan tawaran pesaing. Di zaman ini, teknologi boleh memberikan daya saing yang tinggi. Jadi memilih teknologi dan kaedah penggunaannya menjadi satu perkara yang kritikal juga.
Kedua-dua perkara di atas apabila digabungkan membolehkan usahawan menentukan model perniagaan yang mahu dibangunkan. Sebagai contoh, ada orang menjual buku di kedai fizikal, ada yang menjual secara atas talian dan ada yang menggabungkan kedua-duanya. Setiap pilihan yang ada mempunyai implikasi dari segi modal, ahli pasukan, teknologi dan proses-proses yang perlu diadakan bagi menjadikan model perniagaan yang dipilih berdaya maju.
Setelah mengetahui apa yang diperlukan oleh perniagaan, usahawan perlulah memilih dan membangunkan satu pasukan yang mantap bagi mengeluar dan memasarkan barangan dan juga perkhidmatan seperti yang dikehendaki di dalam model perniagaan yang pilih. Bagi membawa masuk orang-orang yang mempunyai bakat dan kemahiran yang diperlukan, perniagaan bukan sahaja kena menawarkan pakej pekerjaan yang menarik tetapi kena juga meyakinkan mereka bahawa prospek pembangunan kerjaya mereka akan sentiasa diberikan keutamaan.
Perkara seterusnya yang perlu dipilih oleh usahawan ialah kaedah bagaimana kewangan perniagaan diuruskan. Ini merangkumi perkara-perkara seperti bagaimana modal dicari, bajet disediakan, aliran tunai dikawal, projek dibiayai serta laporan-laporan seperti penyata kewangan disediakan. Tanpa pengurusan kewangan yang mantap, susah bagi mana-mana perniagaan untuk maju dan membesar.
Perniagaan adalah satu perjalanan yang jauh. Memilih jalan dan langkah yang perlu dilalui di dalam membentuk dan memperkembangkan perniagaan dari awal lagi akan memberikan kejelasan kepada usahawan dan ahli pasukannya akan cabaran yang perlu mereka lalui dan aspek perniagaan yang perlu diberikan tumpuan. Kesemua ini biasanya didokumenkan di dalam satu pelan perniagaan yang akan menjadi panduan di dalam membuat keputusan.
Adalah menjadi satu kesilapan jika pelan perniagaan hanya disediakan apabila mahu memohon pembiayaan dari bank atau pun badan-badan pembiaya yang lain. Mereka hanya mahu menilai prospek perniagaan sahaja sedangkan orang yang paling memerlukan panduan yang boleh didapati dari satu pelan perniagaan yang dibentuk dengan teliti adalah usahawan serta ahli pasukannya itu sendiri.
Keupayaan menilai pilihan dan membuat keputusan adalah kemahiran yang penting di dalam perniagaan. Pilihan-pilihan yang dinyatakan di atas hendaklah dibuat setelah kajian yang serius dibuat kerana orang yang akan menanggung kesannya adalah usahawan iti sendiri.
