Macamana Saya Dilantik Presiden MIA

Di dalam satu majlis makan malam hampir dengan mesyuarat pemilihan Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA) yang baharu, Tan Sri Abdul Samad Alias bertanya kepada isteri saya “Nik dah bersedia ke nak jadi Presiden MIA”. Isteri saya jawab “setahu saya dia tak minat”.

Di ketika itu saya memegang jawatan Naib Presiden MIA. Tempoh perkhidmatan Presiden di ketika itu, En. Abdul Rahim Hamid, akan tamat. Jadi Tan Sri Abdul Samad ingat saya berkeinginan untuk menjadi Presiden. Seperti biasa, saya kurang berminat dengan jawatan-jawatan tinggi seperti itu.

Di minggu selepasnya, Tan Sri Abdul Samad menhubungi saya. Dia cuba yakinkan saya supaya menerima jawatan berkenaan. “Kalau kamu tak terima, nanti akan ada persepsi ada sesuatu yang tak kena”, kata Tan Sri. Akhirnya saya jawab “OK lah”.

Di hari mesyuarat Majlis MIA untuk melantik Presiden, nama Tan Sri Abdul Samad dicalonkan. Selepas nama beliau dicalonkan, Tan Sri Abdul Samad pula mencalonkan nama saya. Maka terjadilah perbincangan berkenaan siapa yang seharusnya dilantik. Tan Sri pula pernah menjadi Presiden selama 2 penggal dari tahun 2000 sehingga 2004. Jadi dia dah ada rekod perkhidmatan yang cemerlang. Lagi pun dia adalah pengasas Arthur Andersen di Malaysia, sebuah firma perakaunan yang terkenal.

Akhirnya Tan Sri Abdul Samad mencadangkan “Biar Nik jadi Presiden dan saya jadi Naib Presiden”. Oleh kerana cadangan itu datang sendiri dari mulut beliau, tidak ada orang yang membantah walaupun mungkin ramai di antara mereka yang sangsi dengan kemampuan saya untuk menerajui MIA.

Saya memegang jawatan Presiden MIA dari tahun 2007 sehingga 2009. Samada saya berjaya atau tidak, ianya sudah menjadi sejarah.

Disebabkan peristiwa ini, saya selalu sebut “I am the President and Tan Sri Abdul Samad is my Vice-President. However, he is my boss”. Bayangkan orang yang sememangnya dihormati di kalangan akauntan dan lain-lain pihak di Malaysia merendahkan diri untuk menjadi Naib Presiden asalkan saya dilantik menjadi Presiden. Saya jangka ini tidak ada berlaku di dalam politik 🤗.

Semasa saya dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Lembaga Pemantauan Audit, Tan Sri Andul Samad memberi pesan kepada saya “Nik, you must know what comes with the chair and what goes with it. If you can live without them, you should be fine”. Mesejnya, jangan nak jaga kerusi, buatlah kerja dengan jujur dan ikhlas.

Ingatkah anda ada seorang ahli badan penasihat 1MDB yang meletakkan jawatan. Itulah Tan Sri Abdul Samad Alias. Beliau dikenali sebagai seorang yang berprinsip, jujur dan amanah. Jika anda bertanya siapakah yang memberikan inspirasi kepada saya untuk mendakwahkan integriti dan amanah di dalam tadbir urus, tentunya anda boleh mendapat jawapannya di dalam perkongsian pagi ini.

Semalam saya belanja Tan Sri makan nasi biryani. Dah lama saya tak jumpa beliau. Beliau kini sudah melepaskan pelbagai jawatan kecuali menjadi ahli lembaga pengarah syarikat milik kawan baiknya.

Semoga Allah SWT merahmati Tan Sri Abdul Samad Alias di atas jasa dan sumbangan beliau kepada negara.

Tinggalkan komen