Tuan Haji Tak Ada, Dato’ Ada

Semasa saya menjadi ahli majlis Institut Akauntan Malaysia (MIA), saya juga memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Amalan Awam (Public Practice Committee). Jawatankuasa ini menguruskan hal ehwal akauntan yang ada firma perakaunan.

Disebabkan kedudukan itu, saya banyak terlibat dengan kementerian dan agensi kerajaan yang ada urusan dengan profesion perakaunan. Di antaranya, saya menjadi ahli satu jawatankuasa yang memberikan kebenaran kepada akauntan di dalam bidang-bidang tertentu sebagai wakil MIA.

Seperti amalan biasa, mana-mana jawatankuasa kerajaan akan dipengerusikan oleh pegawai yang terkanan berbanding dengan ahli-ahli lain. Oleh kerana tempoh perkhidmatan saya di MIA agak panjang, jawatankuasa berkenaan sempat dipengerusikan oleh beberapa orang pengerusi.

Apabila sudah lama menjadi ahli, kita semua sudah mengenali di antara satu sama lain. Salah seorang pengerusi tu dipanggil Tuan Haji sahaja. Dia merupakan seorang yang berpengalaman dan tahu selok belok isu yang kami uruskan.

SIapa tahu kedudukan setiap insan-insan ini di sisi Allah SWT?

Di dalam satu mesyuarat, seperti biasa pihak sekretariat akan membentangkan kertas mesyuarat. Pegawai sekretariat tu memulakan dengan “Selamat pagi Tuan Haji”. Lalu pengerusi terus menjawab “Tuan Haji tak ada, Dato’ ada. Susah-susah tuanku Sultan mengurniakan saya gelaran berkenaan”. Kami terkedu sebentar, namun mesyuarat diteruskan dengan dipengerusikan oleh Dato’ yang baharu itu.

Tentunya sekarang Dato’ berkenaan sudah bersara. Saya pun tak tahu ke mana dia selepas dia mengosongkan kerusi yang dia duduki itu. Samada gelaran yang dianugerahkan itu bermanfaat kepada dia di dalam kehidupannya selepas dia menerimanya, hanya Allah SWT yang tahu. Lagi pun, rezeki kita di dunia ini Allah yang tentukan dan sudah tertulis dari awal lagi. Tanggungjawab kita adalah untuk berusaha untuk mencarinya dan menggunakan kaedah yang patuh Shariah. Semoga Allah merahmati beliau.

Pelbagai kedudukan dan jawatan yang saya pikul di sepanjang kerjaya saya membolehkan saya bertemu dengan pelbagai jenis manusia. Ada satu ketika semasa bermesyuarat di Suruhanjaya Sekuriti, senarai hadirin diedarkan untuk ditanda tangani. Orang di sebelah saya adalah seorang akauntan yang amat dihormati. Dia disenaraikan sebagai Haji xxxxx. Dia memotong bahagian Haji tu dengan pen sebelum menandatangani senarai berkenaan. “Ini adalah di antara saya dengan Allah”, jelas beliau. Sekarang dia bergelar Tan Sri.

Adakah kita memiliki harta kita secara mutlak? Orang yang beriman tahu jawapannya. Mungkin di atas kertas pelbagai harta atau aset itu dinamakan atas nama kita tetapi hakikatnya ianya hanyalah pinjaman dari Allah dan dia nak uji kita dengan harta-harta berkenaan.

Malangnya ada di antara kita yang berasa kita ini benar-benar tuan tanah ini sehingga sanggup berkhilaf dengan suruhan Allah SWT dan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Ada yang melihat orang yang berlainan warna kulit hina dan tidak sama taraf. Ini amat membahaya kerana memandang insan lain dengan pandangan hina adalah unsur kesombongan. Bolehlah kita masuk syurga jika ada kesombongan di jantunghati kita?

Hakikatnya kita semua adalah musafir yang sedang berjalan ke alam yang kekal. Jangan lupa akan tanggungjawab kita sebagai Hamba Allah dan Khalifah di bumi ini. Kita dituntut menyebarkan rahmat, bukannya kebencian dan pelbagai kefasadan lain yang dicetus oleh kesombongan dan perasaan kita ni hebat.

Mungkin ini boleh dijadikan satu topik menilai diri di tahun 2024 ini.

Tinggalkan komen