Nak Masuk Syurga Pun Berkira?

Semasa saya makan malam dengan anak dan menantu saya yang nak berjalan ke Korea Selatan minggu hadapan, saya tanya “duit dalam Tabung Haji dah cukup ke?”

“Dah cukup, kadar T20 setiap seorang” jawab mereka. “Tu belum cukup, kena sasarkan pergi haji dengan swasta” saya nyatakan pandangan saya. “Apakah balasan yang Allah janjikan jika kita mendapat haji yang mabrur?” tanya saya kembali. “Syurga” jawab anak dan menantu saya.

Saya tambah lagi “jadi, nak masuk syurga pun nak berkira juga kah? Usahalah supaya dapat kumpulkan RM 60/70 ribu seorang dan pergi tunaikan haji” tambah saya lagi. Mereka senyum. إن شاءالله mereka akan usahakan lah tu.

Haji adalah rukun Islam kepada orang yang mampu. Jika kita noktahkan begitu sahaja, habis ceritalah. Salahlah semua orang kerana kos nak tunaikan haji mahal.

Suasana di Masjidil Haram di dalam tahun 2021 di ketika Covid-19 masih membara

Almarhum Ungku Aziz mengilhamkan penubuhan sebuah tabungan haji kerana dia melihat orang-orang Islam tidak ada makenisma untuk menabung dengan mematuhi shariah di ketika itu. Jadi mereka simpan di dalam bentuk tunai, binatang dan juga tanah. Apabila mereka nak ke Makkah, mereka menjual aset-aset mereka dan menjadi miskin apabila kembali ke tanah air.

Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji yang ditubuhkan di dalam tahun 1963 adalah semata-mata sebuah tabung patuh shariah. Jika dibaca syarat-syarat pengeluarannya, di antaranya ialah untuk menunaikan haji, berhijrah ke luar negara dan kematian. Haji diusahakan oleh sheikh-sheikh haji di Pulau Pinang dan Singapura. Jadi, tok nenek kita dahulu mengerjakan haji tanpa subsidi. Sesiapa yang menyatakan idea Ungku Aziz termasuk subsidi itu telah menipu di atas nama beliau. Saya dah baca kertas cadangan Ungku Aziz itu.

Di zaman moden ini, ramai orang diyakinkan bahawa pemilikan rumah itu semacam wajib. Saya tak ada masalah tentang itu. Ini menyebabkan sebahagian besar ahli masyarakat ada hutang rumah. Bila nak menabung untuk ke Makkah, duit dah tak banyak.

Perkara seterusnya ialah pendidikan anak-anak. Walaupun kita tidak seperti satu bangsa lain yang sanggup bergolok bergadai demi pendidikan anak-anak, komitmen untuk membayar kos pendidikan anak-anak juga menjadi sebab mengapa tabungan untuk mengerjakan haji rendah.

Di sinilah pada pandangan saya perlu diadakan satu perbincangan ikhlas (mungkin muzakarah nasional) berkenaan prioriti di dalam kehidupan umat Islam di zaman ini. Jika rumah boleh disewa sebagai kediaman yang membahagiakan, bolehkah membeli rumah dijadikan alasan untuk tidak menabung bagi menyempurnakan rukun Islam dengan apa cara sekali pun termasuk menggunakan perkhidmatan swasta? Bagaimana pun dengan pendidikan, adakah cukup dalil untuk dijadikan prioriti di hadapan mengerjakan haji?

Panduan yang jelas kepada umat Islam berkenaan prioriti di dalam kehidupan, terutamanya di dalam menyempurnakan agama mereka akan memandu mereka untuk membuat kepututusan yang lebih mendekati shariah di dalam kehidupan. Walaupun Allah SWT mensyaratkan istitoah di dalam pengerjaan haji, nampaknya apa yang popular di kalangan masyarakat ialah nak suruh Tabung Haji mengistitoahkan golongan yang tidak mampu supaya menjadi mampu melalui subsidi. Betulkah kaedah ini?

Saya akan terus menggalakkan anak cucu saya untuk meletakkan haji sebagai perkara penting dan berusaha untuk menunaikan haji walaupun kena membayar kos yang tinggi. Kita kena yakin dengan janji Allah yang nak hadiahkan syurga jika haji kita mabrur. Saya tidak mahu mereka berkira-kira tetapi fokus kepada usaha yang gigih untuk memenuhi tuntutan agama yang penting ini.

العُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجَّ الْمَبْرُوْرُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Umrah kepada umrah yang seterusnya dapat mengkifaratkan dosa antara keduanya dan haji mabrur[3] tiada balasan kecuali syurga.”

Riwayat al-Bukhari (1773) & Muslim (1349)

Tinggalkan komen