Saya diberikan amanah untuk menubuhkan Lembaga Pemantauan Audit (AOB) dan menjadi Pengerusi Eksekutif yang pertama.
AOB menyelia juruaudit yang mengaudit entiti berkepentingan awam seperti syarikat tersenarai, bank, syarikat insuran dan juga broker saham. Oleh itu ia ada kuasa yang luas untuk memeriksa firma audit dan kerja-kerja juruaudit.
Jika juruaudit gagal mematuhi piawaian audit di dalam kerja-kerja mereka, AOB boleh mengambil pelbagai tindakan seperti celaan awam (public repremand), mendenda, menghalang firma audit dari menerima pelanggan atau pun menarik balik pendaftaran mereka dengan AOB. Jika ada masalah dari segi pendaftaran, ada peruntukan untuk dipenjarakan.

Di dalam proses penguatkuasaan AOB, firma audit atau juruaudit akan diberikan tunjuk sebab di atas kegagalan mereka mematuhi piawaian pengauditan. Tunjuk sebab itu dikeluarkan setelah AOB berpuas hati ada kesalahan yang telah dibuat setelah mengambil kira penjelasan dari pihak yang terlibat. Surat tunjuk sebab ini sebenarnya ialah proses untuk memberikan pihak berkenaan hak untuk didengari (rights to be heard). Ini penting di dalam sistem keadilan.
Pertuduhan dan jawapan kepada tunjuk sebab itu akan dibincangkan oleh Lembaga dan keputusan akan diambil. Tidak ada perbicaraan seperti di mahkamah. Ini adalah amalan lazim bagi agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia.
Oleh kerana kuasa AOB ini amat luas, saya mengingatkan pegawai-pegawai saya supaya berlaku adil. Saya menerangkan kepada kesemua pegawai-pegawai saya samada yang muslim dan bukan muslim bahawa ada hadis Nabi SAW yang mengancam hakim-hakim yang tidak ada. “In Islam, we are told that two out of three judges will go to hell for not upholding justice. I don’t want to go to hell because you fail to be just in our enforcement processes!”.
Di antara langkah-langkah yang diambil untuk mempastikan AOB bekerja dengan adil ialah:
1. Kita kena jujur dengan fakta. Segala tindakan mestilah berdasarkan fakta yang tepat dan tidak boleh disangkal.
2. AOB mengambil masa dalam 2 tahun sebelum memulakan tindakan penguatkuasaan. Ini bertujuan untuk memahami amalan di dalam pasaran dan cuba mencari garis merah yang benar-benar ada asas. Kita tidak bertindak hanya berdasarkan kuasa tetapi mengambil kira realiti yang ada di ketika itu.
3. Di dalam proses penguatkuasaan AOB, kami tidak akan membentangkan fakta-fakta yang mana firma audit atau juruaudit tidak diberikan hak untuk didengari melalui surat tunjuk sebab. Ini bertujuan untuk mengelakkan AOB diberikan kelebihan kerana boleh menghadap Lembaga sedangkan pihak yang satu lagi tidak ada di situ.
Jika kita perhatikan maksud hadis yang mengancam hakim-hakim itu, pada pandangan saya, skopnya meliputi sesiapa sahaja yang membuat keputusan di atas kuasa yang ada. Jika dia tahu keputusannya tidak berdasarkan fakta atau jelas tidak membawa keadilan, dia ada risiko untuk masuk ke dalam skop hadis.
Sebagai contoh, di dalam proses pemberian biasiswa, orang yang membuat keputusan boleh melebihkan orang yang dia kenal berbanding dengan orang lain yang lebih layak. Bukankah keputusan seperti itu adalah satu kezaliman walaupun mungkin dari segi punca kuasa di dunia ini, keputusan beliau tidak boleh dicabar?
Punca kuasa yang mutlak di dunia ini tidak semestinya selari dengan piawaian Allah SWT. Jangan selesa sangat dengan kuasa yang ada. Rujuklah juga kepada kehendak agama.
Membuat keputusan dengan jahil pun ada masalah juga. Inilah pentingnya ilmu dan kemahiran di dalam pekerjaan kita.
Saya kongsikan di sini hadis yang menjadi panduan saya semasa menjalankan AOB dahulu:
Daripada Buraidah bin al-Hashib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الْقُضَاةُ ثَلَاثَةٌ: وَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ، وَاثْنَانِ فِي النَّارِ، فَأَمَّا الَّذِي فِي الْجَنَّةِ فَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَقَضَى بِهِ، وَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَجَارَ فِي الْحُكْمِ، فَهُوَ فِي النَّارِ، وَرَجُلٌ قَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ فَهُوَ فِي النَّارِ
Maksudnya: “Para qadhi terbahagi kepada tiga golongan: satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Qadhi di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Qadhi mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam menghukum maka dia dalam neraka. Qadhi yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia juga dalam neraka”.
[Riwayat Abu Daud 3573][Syeikh Syuaib al-Arnaouth menghukum hadith ini sebagai sahih dengan syawahid-syawahid dan jalur-jalurnya]
