Siapa Allah Panggil Dahulu Untuk Dipertanggungjawabkan?

Semasa saya berucap di dalam satu townhall di Tabung Haji, saya ingatkan hadirin berkenaan hisab di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.

“Mungkin Allah akan panggil CEO dahulu” ucap saya. Kemudian saya nampak Pengerusi Tabung Haji di kalangan hadirin. “Mungkin Allah akan panggil Pengerusi dahulu, kemudian CEO dan seterusnya pegawai-pegawai yang mengemukakan data, maklumat dan saranan kepada CEO dan Pengerusi untuk mencapai apa-apa keputusan” saya memperbetulkan kenyataan saya.

Apa yang saya nak sampaikan ialah kedudukan dan pangkat datang dengan amanah dan tanggungjawab. Apabila kita menduduki jawatan yang tinggi, amanah dan tanggungjawab yang kita pikul juga besar dan lebih rumit apabila kita diadili oleh Allah di akhirat nanti. Di dalam masa yang sama, orang-orang di sekeliling CEO dan Pengerusi tidak boleh berasa selamat dan terlepas. Mereka adalah sumber penting di dalam rantaian membuat keputusan.

Oleh itu, tak kira siapa kita dan apa kedudukan kita di pejabat atau pun di rumah, kita kena ingat jawapan kita kepada Allah SWT di akhirat nanti ialah apa yang kita buat dan lakukan di sini, pada hari ini. Jika kita mahu memberikan jawapan yang terbaik, jika kena bekerja dengan cara yang terbaik dan membuat keputusan atau mengambil tindakan berdasarkan asas-asas atau dasar-dasar yang terbaik juga.

Di dalam membuat keputusan juga, kita kena mematuhi piawaian Allah SWT, bukannya setakat punca kuasa di dunia ini. Mungkin di dunia sebarang keputusan kita tidak boleh dipersoalkan. Bagaimana pun di sisi Allah SWT? Adakah apa yang kita putuskan itu boleh terlepas begitu sahaja di sisi Allah?

Saya amat yakin jika kesemua umat Islam dari yang bawah sehingga ke atas sentiasa mengambilkira apa yang Allah dan RasulNya suruh/larang di dalam apa-apa sahaja tindakan dan keputusan kita, kita semua akan merasai nikmat keadilan. Namun, oleh kerana Iblis sentiasa bekerja untuk membawa kita menjadi penemannya di neraka, anak-anak Adam akan diperdayakan sehingga lupa akan soal jawab dengan Allah SWT di akhirat kelak.

Saya perkara yang saya amalkan ialah mempunyai asas keputusan (basis of decision) yang jelas sebelum apa-apa keputusan dibuat. Ini mengambilkira misi organisasi, objektif yang mahu dicapai dan juga perintah dan larangan Allah SWT. Kita kena yakin bahawa asas keputusan ini tidak membawa masalah di akhirat kelak.

Selepas asas keputusannya jelas, bolehlah kita menagaplikasikannya ke atas data, fakta dan analisa serta cadangan-cadangan yang ada. Yang mana yang paling memenuhi asas keputusan itulah yang dipilih.

Saya juga mengingatkan pegawai-pegawai saya bahawa orang luar boleh mengarahkan itu dan ini. Namun, di dalam kertas cadangan dan minit mesyuarat, hanya nama-nama kita yang ada. Jadi, kita bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keputusan yang kita buat. Jangan pedulikan arahan orang-orang luar. Mereka akan berlepas tangan jika ada yang tidak kena kelak.

Perkongsian hari ini menutup siri perkongsian berkenaan pelaksanaan amanah dan tanggungjawab yang menjadi tema saya minggu ini. Semoga pada hari Jumaat ini tidak ada berita yang mengejutkan kita.

Tinggalkan komen