Satu cabaran bagi mana-mana perniagaan dan organisasi ialah bagaimana mahu menjadikan setiap pekerja komited untuk membawa perniagaan dan organisasi ke arah tujuan yang ditetapkan. Ini adalah kerana setiap pekerja ada kepentingan dan hasrat masing-masing yang mungkin tidak selari dengan kepentingan perniagaan dan organisasi.
Mungkin kita boleh belajar sesuatu dari cerita berkenaan lawatan Presiden Kennedy ke NASA. Dia dikatakan berjumpa dengan seorang pencuci tandas dan bertanya pencuci tandas berkenaan tentang apakah kerjanya di NASA. Lalu, pencuci tandas itu menjawab “Saya membantu untuk menghantar orang ke bulan”.
Episod yang dikatakan berlaku ini telah digunakan untuk menerangkan berkenaan pentingnya pekerja benar-benar memahami misi atau pun tujuan organisasi ditubuhkan. Tak kiralah samada organisasi itu bertujuan untuk membuat keuntungan atau tidak, misi atau tujuannya seharusnya menimbulkan semangat dan komitmen pekerja untuk menjadi penyebab ianya dicapai dengan cemerlang.

Apa yang menjadi isu ialah setakat mana misi dan visi perniagaan dibentuk dengan teliti, benar-benar difahami oleh warga perniagaan berkenaan dan dijadikan sebagai pendorong oleh semua orang yang berada di dalam perniagaan berkenaan. Sekiranya ini semua dibentuk tanpa difikirkan secara mendalam, ianya akan menjadi sekadar klisē dan dijadikan bahan hiasan penghias dinding.
Misi perniagaan seharusnya hidup di dalam jantunghati setiap warga perniagaan berkenaan tidak kira kedudukan dan fungsi mereka di dalam perniagaan. Jadi, bagaimanakah misi atau tujuan penubunan perniagaan ini boleh menjadi penyebab pekerja-pekerjanya komited dan bersemangat?
Mahu tidak mahu, misi perniagaan mestilah hidup dan dihidupkan oleh orang-orang yang berada di atas hiraki perniagaan seperti lembaga pengarah, CEO dan pengurusan kanan. Mereka kena mempamerkan macamana misi berkenaan diterjemahkan di dalam keputusan dan tindakan harian mereka. Mereka kena pandai bercerita kepada pekerja dan kakitangan lain akan makna misi berkenaan dan bagaimana setiap dari mereka ada peranan untuk membantu mencapai misi demikian di dalam setiap fungi pekerja dan kakitangan berkenaan.
Jika keputusan mahu dibuat dan ada beberapa pilihan yang ada, pihak atasan kenalah memilih pilihan yang paling berkesan bagi mencapai misi perniagaan. Ini akan memberi isyarat kepada warga yang lain bahawa misi perniagan bukanlah sekadar perhiasan di dinding sahaja.
Kadang-kadang anak-anak muda di dalam perniagaan dianggap kurang komited dan mahu bekerja dengan cara dan gaya masing-masing sahaja. Bagi sesiapa yang menghadapi cabaran ini, cubalah berbincang dengan anak-anak muda berkenaan akan pandangan mereka ke atas misi perniagaan dan berikan mereka peluang untuk mencadangkan bagaimana mereka boleh menyumbang ke arah pencapaiannya di dalam gaya dan cara mereka. Orang-orang yang memberikan cadangan biasanya lebih komited untuk melaksanakan apa yang mereka sarankan.
Oleh kerana dunia ini cepat berubah, bagaimana misi diterapkan di dalam strategi, operasi, nilai dan lain-lain aspek kenalah diperhatikan semula dari masa ke semasa. Ini bagi menjadikan setiap langkah dan tindakan yang diambil kena dengan realiti yang dihadapi oleh perniagaan. Biasanya misi dan tujuan perniagaan jarang berubah. Apa yang berubah ialah kaedah untuk mencapainya berdasarkan konteks perniagaan di hari ini.
Walaupun biasanya gaji, ganjaran dan manfaat dijadikan kaedah untuk mendorong pekerja untuk menjadi lebih komited, saya berpandangan bahawa jika mereka benar-benar menghayati misi perniagaan, komitmen mereka akan menjadi lebih tinggi dan kekal lebih lama.
