Ramai ahli masyarakat melabur harta mereka di pasaran modal. Malah, institusi pelaburan seperti Tabung Haji, KWSP, ASB dan pelbagai unit amanah lain turut melabur dana yang diamanahkan oleh masyarakat di pasaran itu.
Di antara tujuan penubuhan Suruhanjaya Sekuriti (SC) adalah untuk mempastikan pasaran modal berjalan dengan adil dan teratur. Mengikut rekod, SC sudah menangkap dan mendakwa pelbagai pesalah yang melakukan pelbagai kesalahan yang boleh menyebabkan kerugian kepada pelabur.
Di antara maksud (maqasid) shariah ialah menjaga harta. Apabila pesalah-pesalah ini disabitkan hukuman di mahkamah, bukankan SC dan mahkamah telah melaksanakan undang-undang yang kena dengan maksud shariah itu? Bukankah ini pelaksanaan shariah?

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri menguatkuasakan Akta Perihal Dagangan dan Akta Timbang dan Sukat. Ini bertujuan untuk mengelakkan pengguna ditipu oleh peniaga. Bukankah ini juga pelaksanaan shariah berkenaan menipu sukatan di dalam jual beli? Adakah disebabkan undang-undang yang berkenaan tidak ada nama yang berbau agama maka ianya tidak dikira pelaksanaan shariah?
Bagaimana pula dengan Tabung Haji (TH). TH ditubuhkan bagi membolehkan umat Islam menabung dan apabila sampai giliran boleh menunaikan salah satu dari rukun Islam. Oleh kerana TH bukannya agensi kerajaan negeri, jadi TH tidak menegakkan shariah?
Perbankan yang patuh shariah yang mula diperkenalkan di dalam tahun 1983 membolehkan orang-orang Islam menjauhi riba. Kewangan adalah satu perkara yang masuk di dalam jadual kerajaan persekutuan. Institusi kewangan ini pula dikawal oleh Bank Negara. Adakah disebabkan itu, ianya tidak dikira sebagai pelaksanaan shariah?
Jika dahulu tabungan di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanyalah di dalam bentuk konvensional, sekarang orang Islam sudah boleh memilih untuk menabung dengan kaedah patuh shariah. KWSP ini adalah agensi kerajaan persekutuan dan misinya amat penting, mempastikan rakyat Malaysia mempunyai simpanan pesaraan yang cukup. Selain dari tabungan konvensional itu, misi dan tabungan shariah itu tentunta selari dengan kehendak agama, kan?
Ayat 60 dalam surah Al Anfal Allah menyuruh umat Islam bersedia untuk melawan musuh Allah dan musuh kita. Di negara ini kita ada tentera, polis dan lain-lain agensi keselamatan yang menjaga keselamatan sempadan negara dan juga ketenteraman awam. Bukankah ini bertujuan untuk menjalankan arahan Allah itu?
Saya nak kongsikan satu perenggan dari ringkasan penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan semalam:
“Mahkamah Syariah di Malaysia, setakat hari ini, tidak melaksanakan hukuman hudud atau qisas, hanya takzir. Mahkamah sivil juga melaksanakan hukuman takzir. Sebegitu, tidak ada bezanya Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil kerana kedua-dua sistem Syariah dan Sivil melaksanakan hukuman takzir. Perbezaannya cuma hukuman takzir yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah adalah bersumberkan atau mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat Negeri dan diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri manakala hukuman takzir yang dilaksanakan oleh Mahkamah Sivil adalah mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat Persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen”.
Persoalan yang saya nak lontarkan ialah adakah shariah tidak dilaksanakan atau dikuatkuasakan semata-mata kerana ianya tidak dilaksanakan oleh agensi kerajaan negeri?
Jika kita melihat shariah sebagai satu perkara yang lebih besar dari senarai negeri di dalam perlembagaan negara, saya yakin kita akan nampak shariah dilaksanakan dengan lebih meluas dari apa yang disangkakan.
Mengambil harta manusia secara batil dilarang oleh agama. Bukankah rasuh, korupsi dan salah guna kuasa termasuk di dalam kesalahan ini. Adakah tidak ada pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk membenteras rasuah dan salah guna kuasa? Bukankah itu kerja SPRM dan dah ramai pesalah didakwa, didenda dan dipenjarakan? Ini bukan pelaksanaan shariah di bawah takzir ke kerana rasuah dan salah guna kuasa tak termasuk di dalam hudud dan qisas seperti yang disebut oleh Mahkamah Persekutuan?
Dalam satu lagi perspektif, apabila undang-undang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan, ianya dikuat kuasakan dari Perlis hinggalah ke Sabah dan meliputi kesemua rakyat Malaysia. Bukankah ini yang kita nak?
Sebelum kita meletakkan pelbagai label kepada orang yang kita tak suka di dalam hal ini termasuk sekular dan liberal, elok kita semak balik bagaimana kita memahami agama. Takut-takut kita sendiri telag mempekecilkan shariah yang besar dan luas ini agar sepadan dengan perspektif agama yang sempit yang kita pegang.
Yang saya tak dengar dalam komen-komen semalam ialah keadilan. Semuanya fokus kepada undang-undang sahaja sedangkan maksud undang-undang yang paling penting ialah keadilan dari pelbagai aspek pelaksanaan undang-undang. Jika ada pihak yang nak bercerai tetapi penceraiannya tergantung bertahun-tahun, adakah itu adil?
Saya nak tutup perkongsian pagi ini dengan satu contoh yang selalu saya gunakan, lampu isyarat. Lampu isyarat diwujudkan untuk mengawal lalu lintas. Jika ianya tidak dipatuhi, kemalangan jalanraya boleh berlaku. Bila ada kemalangan, nyawa boleh melayang, boleh berlaku kecederaan dan juga kerosakkan harta benda. Bukankah itu semua nak dijaga oleh shariah? Adakah disebabkan tidak ada nama Islam ditampal di lampu isyarat maka itu bukannya pelaksanan shariah? Adakah penting samada lamput isyarat itu di pasang oleh kerajaan tempatan, negeri atau persekutuan?
