Nak Kerja Dengan Jujur, Bersedialah Untuk Di”neraka”kan

Apabila saya kongsikan foto berkenaan kerja dan bersedia untuk dimaki, ramai juga kawan-kawan di FB yang komen.

Namun, dari pengalaman saya, ada juga kerja-kerja yang mana orang yang menjalankannya bukan sekadar dimaki malah di”neraka”kan oleh orang-orang yang mudah melontarkan tuduhan kepada orang lain.

Ada kalanya di dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab kita kena melawan arus. Ini termasuk melaksanakan langkah-langkah strategik yang diperlukan bagi membaiki keadaan semasa dan menyelesaikan masalah untuk jangka panjang.

Tindakan-tindakan ini tidak semestinya popular. Maka orang yang menjalankan tugas dan amanah dengan jujur dan berdasarkan ilmu, kemahiran dan pengalamannya boleh dikutuk secara berjemaah. Ada juga yang menerakakan tindakan-tindakan yang dibuat secara jujur dan berstrategik ini.

Jadi, untuk menjalankan tugas dan amanah kerja dengan sebaik mungkin, kita bukan sahaja perlu jelas akan tujuan dan matlamat kita tetapi kena bersedia dinerakakan oleh pelbagai jenis manusia yang mungkin sudah hilang adab dan kesopanannya.

Mengapa mereka berani berbuat demikian? Saya ada beberapa pemerhatian:

1. Mereka menuduh disebabkan ada kepentingan peribadi atau kumpulan. Tuduhan yang dilontarkan boleh menjadikan mereka popular dan mendapat sokongan orang-orang yang mengikut tanpa berfikir. Saya tak pelik jika mereka tahu dan faham perkara yang sebenar.

2. Mereka tidak faham dan tidak mempunyai ilmu serta keupayaan untuk memahami apa yang sebenarnya yang berlaku dan cuba diselesaikan. Namun, disebabkan sudah terdorong oleh orang lain, mereka mengutuk untuk tumpang sekaki. Mereka juga berasa ini sebahagian dari “perjuangan”.

3. Mereka mengambil upah untuk menjalankan operasi kutuk mengutuk ini. Mungkin ada yang ingat itu juga jihad walaupun sebenarnya manusia jenis ini adalah jahat.

Jika kita berada di dalam keadaan dikutuk dan dinerakakan kerana melakukan tugas dan amanah yang kita pikul dengan jujur, ingatlah nabi-nabi dahulu pun diperlakukan dengan lebih teruk. Ada yang dibunuh, dihalau dan diejek. Apa yang Abu Jahal dan geng-gengnya tak tuduh dan kata kepada Nabi Muhammad SAW. Kalau setakat kutukan di media sosial dan media perdana, itu amat ringan berbanding dengan apa yang Rasulullah lalui bersama sahabat-sahabat baginda.

Apa yang penting ialah kita benar-benar berusaha membentuk tindakan dan membuat keputusan yang bersesuaian dengan masalah yang dihadapi dan meletakkan kepentingan organisasi dan pihak yang berkepentingan di atas apa-apa kepentingan lain termasuk diri sendiri. Kemudian, laksanakan dengan bersungguh-sungguh dan jangan pedulikan segala makian, kutukan serta cercaan. Biarlah mereka menjawab di hadapan Allah SWT di hari hisab nanti.

Panduan kita kepada orang Islam apabila menghadapi apa-apa polimik amat jelas:

1. Siasat dahulu (فَتَبَيَّنُوٓا۟) dan dapatkan fakta yang sahih.

2. Jangan berprasangka (ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ) kerana itu amat buruk.

Sebenarnya banyak usaha ke arah kebaikan yang terhalang disebabkan kejian dan makian, terutamanya di era media sosial ini. Bayangkan “saham” yang dimiliki oleh pengutuk dan pencerca jika masyarakat terhalang dari mendapat kebaikan disebabkan halangan yang wujud apabila ada makian secara besar-besaran dan juga dakwaan yang palsu.

Saya doakan agar semua orang yang benar-benar mahu membuat perubahan ke arah kebaikan berani meneruskan usaha mereka. Biarlah Allah menguruskan orang-orang yang mengeji, mengutuk dan menerakakan orang lain tanpa alasan yang benar.

Tinggalkan komen