Formula 20:60:20 Dalam Memberi Pandangan Umum

Tahun 2000 boleh dikatakan tahun yang memerlukan saya mula memberikan pandangan di kalangan masyarakat. Saya dipilih sebagai ahli majlis Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan kemudiannya menjadi pengerusi jawatankuasa amalan awam MIA. Jawatankuasa ni macam Bar Council untuk profesion peguamlah.

Bermula dengan berucap dan berdailog dengan ahli-ahli MIA, saya kemudiannya kena berinteraksi dengan pihak yang berkepentingan lain seperti kerajaan, industri dan ahli masyarakat. Apabila saya menjadi Presiden MIA dalam tahun 2007, memberikan ucapan dan pandangan umum dah jadi macam makan nasi.

Adakah kesemua ahli MIA bersetuju dengan saya? Tidak. Malah saya yakin ramai yang tak suka. Ini adalah kerana sebagai sebuah badan yang dikanunkan oleh Parlimen, saya berpandangan bahawa objektif MIA ialah untuk mempastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat dari kerja-kerja ahli-ahli MIA dan ahli-ahli yang gagal menjalankan tugas mereka seperti yang dikehendaki diambil tindakan yang sewajarnya.

MIA bukannya persatuan perdagangan yang membela ahli-ahlinya walaupun mereka gagal berkhidmat dengan baik.

Kemudiannya saya dilantik pula sebagai Pengerusi Elsekutif Lembaga Pemantauan Audit dan selepas itu sebagai Pengarah Eksekutif Penyeliaan Pasaran dan Korporat, Suruhanjaya Sekuriti. Jawatan-jawatan ini juga memerlukan saya memberikan pandangan kepada pelbagai pihak dan diwawancara oleh media bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara.

Menjadi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji merupakan kemuncak saya kena berkomunikasi dengan proaktif. Saya kena berinteraksi dengan pihak tertinggi pentadbiran negara, legislatif dan juga orang-orang kebanyakan. Diserang tentera siber menjadi perkara biasa kerana ramai yang diupah untuk membawa naratif tertentu, bukannya nak berkata benar untuk masuk syurga. Mereka ni memang berani.

Apa yang saya lalui memberikan saya kepercayaan kepada formula 20:60:20. Apa sahaja pandangan kita 20% pendengar akan memujinya, 60% tidak peduli dan 20% lagi akan tidak bersetuju walau apa pun hujah dan bukti yang dibawa. Biasanya yang tak bersetuju lebih lantang. Nisbah ini bukannya tetap tetapi memberikan corak respon masyarakat dan pihak yang berkepentingan kepada pandangan kita.

Oleh yang demikian, apa yang lebih penting bagi seorang pemimpin ialah keikhlasan bekerja, kejelasan matlamat, membentuk strategi yang kukuh, melaksanakan apa yang dirancang dengan bersungguh-sungguh dan bertawakal kepada Allah. Orang nak puji ke, keji ke, itu semuanya biasa. Yang kita kena jawab di hadapan Allah ialah setakat mana kita telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab jawatan yang dipikul.

Popular di kalangan masyarakat tidak bermakna kita selamat di akhirat. Yang tak malu-malu berbuat perangai buruk di hadapan masyakat tu lagilah berisiko walaupun pada zahirnya ada ramai penyokong yang juga tak malu-malu. Ada satu hadis Nabi yang membawa maksud “jika kamu tak malu, buatlah apa yang kamu mahu”. Ni amaran tau, bukannya suruhan 🤗.

Formula 20:60:20 ni saya guna jugalah di media sosial ni. Jadi, saya tak heran jika ada orang yang bersungguh-sungguh untuk tak bersetuju kerana mereka masuk ke dalam golongan 20% di belakang tu. Jika mereka diupah untuk tidak bersetuju, itu pun saya dah biasa lalui.

Tak semua orang boleh menggunakan formula ini kerana kesan dari tindakan 20% yang tak bersetuju tu. Ada kawan saya yang menghadapi tekanan emosi kerana walaupun dia bijak, jujur dan ikhlas, 20% yang tak bersetuju tu boleh mempengaruhi orang-orang di sekeliling kita sehingga kita rasa tertekan.

Di sinilah pentingnya komitmen kita kepada berbuat apa yang benar dan bekerja tanpa menghiraukan pujian dan kutukan. Jika kita pula yang gila kepada pujian, tanpa 20% yang tidak bersetuju yang mengacau tu pun kita boleh stress juga. Jadi, jika tak ikhlas, kita sendiri akan merosakkan diri sendiri.

Tinggalkan komen