Saham Pun Boleh Naik, Turun Dan Koyak

Apabila sesebuah institusi pelaburan melabur di dalam saham, ia tidak melabur seperti pelabur individu. Institusi berkenaan kena ada objektif dan kaedah pelaburan yang jelas kerana duit yang digunakan tu duit orang, bukannya duit peribadi.

Biasanya pelaburan institusi di dalam saham dipecahkan kepada 2:

1. Pelaburan secara potfolio yang mana apa yang nak dicapai ialah pulangan melalui dividen dan keuntungan modal (apabila saham dijual) berdasarkan risiko yang sanggup diambil. Hanya saham-saham tertentu dipilih untuk dimasukkan ke dalam cakrawala pelaburan (investment universe) yang akan dijual beli oleh institusi.

2. Pelaburan strategik apabila institusi berkenaan berasa dia pandai dan ada kemampuan untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi dengan menguasai syarikat dan menguruskan perjalanan syarikat samada syarikat tersenarai atau pun tidak.

Kedua-dua kaedah di atas fokusnya ialah keuntungan dan pulangan, bukannya nak framekan sijil saham untuk digantung di dinding. Orang jahil pelaburan biasanya percaya apabila saham mana-mana syarikat dibeli, ianya kena disimpan sehingga hari kiamat sebagai kebangaan umat ini. Jangan percaya orang-orang jahil ni walaupun dikira alim untuk mengajar perkara-perkara lain. Rosak institusi.

Mengapa saham harus dijual beli walaupun ianya adalah syarikat yang glamour?

1. Nilai dan pulangan dari saham bergantung kepada potensi syarikat berkenaan. Ada syarikat yang steady, ada yang memuncak beberapa tahun kemudian rugi dan ada yang mendapat projek-projek yang dijangka akan membawa keuntungan besar. Jadi, bila dijangka syarikat akan menghadapi masalah, potensinya dah jatuh. Baik jual di ketika pelabur masih ada keuntungan modal berbanding dengan di ketika syarikat sudah rugi dan nilai sahamnya koyak. Kemudian, labur di dalam saham yang lebih berpotensi.

2. Ekonomi negara dan dunia turun naik. Ada syarikat-syarikat yang akan memuncak nilainya apabila semuanya baik dan menyusut dengan teruk apabila ekonomi susut. Sebaliknya syarikat-syarikat yang ada konsesi panjang atau terlibat dengan utiliti akan menjadi pilihan jika keuntungannya tidak dipengaruhi oleh kedudukan ekonomi. Pengurus dana kena menyusun potfolionya berdasarkan unjuran ekonomi dan ini memerlukan dia menjual apa yang patut dan membeli apa yang patut.

3. Ada syarikat yang tadbir urusnya boleh koyak rabak dan harga saham yang tinggi boleh jadi lebih rendah dari kertas jika sijil sahamnya dicetak. Ini sudah berlaku berkali-kali. Buat apa nak simpan saham-saham sebegini?

4. Potensi sektor ekonomi pun berubah-ubah. Pengurus dana kena memilih sektor yang akan menjadi rebutan orang dan menjual saham di dalam sektor yang omputih panggil sunset. Ini semua memerlukan analisa dan kepandaian, bukannya hanya rasa-rasa dan agak-agak.

5. Bagi pelaburan strategik, sudah banyak kes di negara ini yang mana syarikat yang dikawal oleh institusi bukan sahaja rugi malah koyak dengan teruk. Ini adalah kerana ilmu dan kemahiran pengurus dana tidak sama dengan ilmu dan kemahiran mentadbir, mengurus dan memimpin syarikat. Jika ditambah unsur luar seperti kepentingan politik, pelaburan strategiklah yang boleh mendatangkan kerugian yang besar. Dapat kontrak besar pun boleh rugi. Akhirnya, kena dijual pelaburan ini demi menyelamatkan institusi.

Saya tak tulis berkenaan penilaian saham hari ni kerana itu satu topik yang besar. Nanti dengan saya-saya pening. Orang jahil steady sahaja. Dia pandai semua.

Rasanya dah cukup kut penerangan mengapa institusi pelaburan kena membeli dan menjual saham, bukannya beli dan simpan seperti apa yang dilaung-laungkan oleh si jahil. Mempercayai orang yang jahil pelaburan di dalam hal ehwal pelaburan boleh menyebabkan pengurus dana menjadi khianat ke atas institusi, pelabur, pendeposit dan pencarum yang mengeluarkan modal walaupun seringgit.

Tinggalkan komen