Bercerita Dengan Anak-Anak MyPAC

Semalam saya dijemput oleh pelajar-pelajar dan alumni MyPAC untuk berkongsi pengalaman dan pandangan berkenaan profesion perakaunan dan juga tadbir urus. Tentunya saya tidak menolak peluang ini kerana saya sendiri pun banyak belajar dengan akauntan-akauntan senior seperti Tan Sri Abdul Samad Alias, Abdul Rahim Hamid, Tan Sri Raja Arshad, Raja Abdul Aziz Raja Salim dan ramai lagi.

Malaysian Professional Accountancy Centre atau MyPAC telah ditubuhkan 6 tahun yang lalu bertujuan untuk meningkatkan bilangan akauntan Bumiputera yang mempunyai kelayakan profesional. Walaupun ahli-ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) ada lebih dari 30 ribu orang, bilangan akauntan Bumiputera yang ada kelayakan profesional hanyalah di dalam lingkungan 2 ribu sahaja, tak sampai 10% pun. MyPAC mengumpulkan dana dari pelbagai pihak dan menawarkan biasiswa dan pemantauan bagi membantu anak-anak kita yang layak untuk mengambil program perakaunan profesional dari pelbagai badan global seperti ACCA, MICPA, ICAEW, CAANZ dan CPA Australia.

Setakat ini lebih dari 800 anak-anak kita telah berjaya memiliki kelayakan perakaunan profesional melalui program-program MyPAC dan lebih 200 lagi masih di dalam pelbagai peringkat program profesional pilihan mereka. Jumlah 1,000 orang ini pun tentunya akan menggandakan bilangan akauntan profesional Bumiputera walaupun bilangan yang seharusnya masih jauh.

Saya pernah mejadi salah seorang ahli lembaga pengarah MyPAC bersama dengan beberapa akauntan senior dari firma-firm antarabangsa. Bila saya dikehendaki menduduki jawatan yang saya pikul sekarang ini, saya melepaskan kedudukan saya di MyPAC.

Pada mulanya saya bercadang untuk menghadiri pertemuan maya ini dari Laman Pok Nik di Batang Kali. Namun kerana halangan disebabkan oleh Perintah Kawalan Perjalanan, saya menyertai program semalam dari rumah sahaja.

Semalam saya bercerita sedikit berkenaan pengalaman saya di dalam profesion perakaunan ini. Ianya bermula bila saya tamat kursus perakaunan di Curtin University, Perth, Australia. Setelah bekerja di firma perakaunan di sana selama hampir setahun, saya pulang dan memulakan kerjaya saya di Malaysia. Saya membuka firma perkaunan saya sendiri di awal tahun 90’an sebelum menggabungkanya dengan beberapa firma lain dan mewujudkan Khairuddin, Hasyudeen & Razi (KHR) di dalam tahun 2000.

Lebih kurang di dalam tahun 2005 saya meninggalkan KHR untuk membuka sebuah syarikat perundingan strategi. Di dalam tahun 2010 saya telah diminta oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk menjadi Pengerusi Eksekutif pertama Lembaga Pemantauan Audit dan memimpinnya sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa. Dua tahun terakhir di SC saya juga diberi tanggungjawab untuk menyelia pasaran modal di Malaysia supaya ianya berjalan dengan adil dan teratur.

Saya meninggalkan SC pada tahun 2016 dan mula dilantik sebagai pengarah beberapa institusi seperti Bank Islam dan juga Cagamas Holdings Berhad, syarikat induk kepada syarikat gadaijanji kebangsaan. Sebelum itu saya pernah menjadi Presiden MIA dan juga berkhidmat sebagai salah seorang ahli Panel Penilaian Operasi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Untuk menjadi akauntan yang berjaya, saya ingatkan anak-anak MyPAc supaya sentiasa menambah ilmu dan kemahiran sejajar dengan keperluan organisasi. Di dalam masa yang sama, mereka perlu mempertahankan nilai-nilai profesional seperti integriti. Jika mereka dikenali sebagai seorang akauntan yang efektif dan mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi, mereka boleh mendapatkan pekerjaan yang lebih baik di tempat lain jika ada tekanan ke atas mereka untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai etika profesional mahu pun perkara-perkara yang melanggar undang-undang di tempat kerja mereka sekarang ini.

Seorang akauntan profesional boleh berperanan di dalam pelbagai kedudukan di dalam organisasi untuk memperkukuhkan tadbir urus. Mereka boleh menjadi ahli lembaga pengarah, menjadi ketua pegawai eksekutif atau pun mengetuai fungsi-fungsi utama seperti kewangan dan pengurusan risiko yang menjadi asas kepada kekuatan tadbir urus organisasi berkenaan. Oleh kerana pentadbiran dan pengurusan perniagaan memerlukan banyak keputusan-keputusan penting dibuat untuk mempastikan organisasi mencapai matlamatnya, keputusan-keputusan ini perlu dibuat di atas kepentingan organisasi dan pihak-pihak berkepentingan yang lain. Kepentingan peribadi dan puak perlu diketepikan.

Semasa soal jawab, saya ditanya bagaimana saya menghadapi tekanan dari luar. Pada pandangan saya, kita kena fokus untuk menjayakan dan memperkukuhkan organisasi yang kita pimpin. Ini akan menjadi salah satu hujah kita bahawa kita berada di atas kebenaran. Memang sukar untuk mempengaruhi pandangan orang lain tetapi kita boleh mempengaruhi apa ypang kita boleh kawal, organisasi kita.

Saya berharap apa yang saya kongsikan dengan anak-anak MyPAC semalam boleh memberikan mereka sedikit panduan di dalam membina kerjaya mereka sebagai akauntan profesional. Adalah diharapkan mereka akan menjadi peneraju industri dan memperkukuhkan lagi amalan tadbir urus di Malaysia demi membina negara yang lebih berjaya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s