Semalam ada 3 perkara yang menarik perhatian saya.
Yang pertama ialah satu perbincangan berkenaan status hadis arasy Allah SWT bergegar apabila ada orang bercerai. Ianya adalah penerangan akademik dengan pembawaan pelbagai bukti dari ulama-ulama silam.
Oleh kerana penjelasan ini dibuat kerana ada video seorang agamawan yang membawa hadis berkenaan, ramailah orang yang memberikan komen yang tidak ada kena mengena dengan tajuk. Ada yang menggunakan kata-kata kasar juga.
Saya pun hairan sekiranya orang-orang yang berani menulis sedemikian ada guru agama, tidakkan guru mereka mengajar setiap apa yang kita buat di muka bumi ini akan dicatatkan oleh malaikat dan dibicarakan di hadapan Allah? Siapa yang kata “netizen” ada pengecualian? Menggunakan akaun atau identiti palsu tidak akan menyebabkan malaikat tidak kenal siapa penulisnya.
Kemudian saya tengok pula satu video yang mana seorang hamba Allah mencadangkan diwujudkan rumah-rumah pelacur supaya buruh-buruh asing yang berjuta di negara kita ni ada tempat untuk memuaskan nafsu mereka. Ini bagi mengelakkan mereka merogol anak bini kita, menurut hamba Allah berkenaan.
Mungkin dia tidak sedar di negara yang mana pelacuran itu dibolehkan, jenayah rogol tetap berlaku. Yang menjadi tanda tanya ialah ketiadaan perasaan aib di dalam mencadangkan cadangan demikian.
Di akhir malam saya tonton pula sesi Bakar Menteri yang pertama di mana Menteri Ekonomi disoal secara lansung oleh dua orang yang lain. Apa yang saya perhati ialah perbincangan intelektual yang bagus dengan soalan dan jawapan yang menjelaskan pelbagai cabaran negara dan apa yang mahu dilakukan bagi mengubah keadaan kepada keadaan yang lebih baik.
Namun, saya seperti sesi penerangan hadis di atas, ramai orang yang membuat komen-komen luar tajuk dan tak ada asas. Mungkin neraka sudah tidak menakutkan ramai orang di negara yang mana sering diadakan perhimpunan nak menuntut undang-undang Islam dilaksanakan.
Jika tak bersetuju, tak apa. Bawalah cadagan yang lebih baik dari apa yang kita tak persetujui itu. Barulah kita menambah nilai dan pahala.

Saya teringat satu hadis riwayat Muslim yang menyatakan bahawa tidak akan masuk syurga orang yang ada kesombongan di dalam jantunghatinya walaupun sebesar biji sawi. Apabila para sahabat meminta penjelasan lanjut, Nabi SAW menerangkan bahawa sombong itu:
1. Menolak kebenaran
2. Merendahkan manusia
Eloklah tanya guru-guru agama anda berkenaan makna kesombongan ini.
Kita boleh mencari kebenaran. Persoalannya ialah bolehkan kita memerima kebenaran ini apabila buktinya disudah jelas? Ini di antara sebab mengapa ada manusia menolak kebenaran walaupun di dalam bab agama. Kalau bab dunia, lagi senang dibahaskan walaupun tanpa asas yang kukuh.
Merendahkan atau menghina manusia datang dari sifat berapa besar diri. Tuan tanah berasa orang yang bukan tuan tanah sebagai rendah. Dia lupa dia tak pernah memiliki tanah secara mutlak pun. Walaupun nama ada di atas geran, paling banyak tanah yang dibawa ke dalam kubur ialah tanah yang masuk ke dalam mulut apabila mayatnya ditimbus. Mengapa nak berlagak sangat?
Inilah hakikat era di mana kita hidup sekarang. Semua orang boleh memperkatakan sesuatu. Ada orang berhati-hati dan memberikan hujah serta bukti, ada orang yang sebut atau tulis ikut suka sahaja.
Semoga Allah mengurniakan kita taufiq dan hidayah untuk memilih tindakan yang menyelamatkan kita di dunia dan akhirat.
