Satu masa dahulu saya sering mengikuti ekspedisi menyelam. Kami tinggal di atas bot sahaja. Jadi mudah untuk ke sana sini mencari tempat menyelam yang menarik di pulau-pulau di semenanjung.
Ada seorang peguam ni yang turut serta. Walaupun dia baik dan mesra, saya dapat rasakan macam ada perasaan tak puas hati saja. Akhirnya, melalui seorang rakan yang lain yang mengenali hamba Allah itu, dikatakan ibu peguam itu terpaksa menjual badannya bagi membiayai pendidikan anaknya itu. Ini tidak dapat saya sahkan tetapi mungkin itulah yang tertanam di dalam jiwa anaknya sehingga ketika itu.
Walaupun ada pempengaruh-pempengaruh yang menjual idea bahawa pendidikan tidak penting, saya tidaklah bodoh untuk mempercayainya. Lagi pun, ayat pertama yang Allah wahyukan kepada Nabi Muhammad SAW ialah اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ. Tentunya ini mengisyaratkan bertapa pentingnya ilmu.
Namun, saya rasa ramai di antara kita yang berasa sistem pendidikan kita dah macam kelam kabut sedikit. Malah ada yang mempersoalkan nilai pendidikan apabila diambilkira pelajar yang menggangur walaupun dah ada ijazah universiti.
Saya tidak pelik kerana saya bersetuju dengan pemerhatian Alvin Toffler di dalam bukunya “Revolutionary Wealth”. Mengikut beliau, disebabkan kepesatan perubahan, jangka hayat ilmu menjadi lebih pendek.

Ini bermakna, ilmu yang ada di dada dan kepala pelbagai ilmuan yang diajar kepada anak-anak kita sudah menjadi basi apabila anak-anak kita nak mengaplikasikannya di lapangan. Itulah sebabnya tak ada majikan yang nak ambil mereka bekerja kerana apa yang mereka pandai tak sama dengan apa yang majikan perlukan untuk membuat duit.
Walau bagaimana pun, masih ada ilmu-ilmu yang tidak akan berubah seperti ilmu-ilmu agama. Cuma apa yang berubah ialah bagaimana nak mengaplikasikannya di dalam suasana yang berbeza dari keadaan di mana buku-buku yang menjadi asas rujukan ditulis. Malah, kalau yang diperbahaskan bukannya untuk mempertahankan atau memperkembangkan ilmu tetapi lebih kepada mempertahankan aliran dan puak, peninglah ahli masyarakat yang dahagakan panduan.
Di dalam kekelam kabutan ini, persoalan yang lebih penting ialah adakah kita melihat mendidik anak-anak kita sebagai satu pelaburan atau sekadar beban ibubapa yang kena dilaksanakan? Persoalan ini penting untuk memahami mengapa ada wanita yang menjual badannya demi pendidikan seorang anak, kan?
Sebagai tuan tanah, kita telah dibiasakan dengan pemikiran “tak apa, nanti ada pihak yang akan selesaikan” atau “kita ada hak”. Mungkin itu betul. Namun, adakah pola pemikiran sebegitu akan menjadikan kita mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi mempastikan anak-anak kita terdidik dengan sempurna atau kita menjadi seperti yang diharapkan oleh pembisik-pembisik pola pemikiran tadi, bergantung kepada mereka?
Kita tentunya nampak ada sebahagian dari masyarakat kita yang meletakkan pendidikan anak-anak sebagai yang tertinggi. Mereka tidak mempedulikan apa yang orang lain kata. Mereka bentuk sistem sendiri dan biayai secara beramai-ramai. Lagi kaya, lagi banyak sumbangannya. Malah, ramai yang miskin dari masyarakat ini yang sanggup bergolok bergadai demi pendidikan anak-anak mereka. Mereka membudayakan pendidikan.
Pendidikan akan menjadi lebih kompleks di masa hadapan. Namun, masyarakat yang terdidik mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk berjaya berbading dengan masyarakat yang menjadikan mengumpat sebagai pengubat luka. Banyak bidang baharu yang akan muncul dan bidang lama yang akan bungkus.
Saya bersyukur kerana memilih untuk mengutamakan pendidikan dari perkara lain termasuk membeli rumah. Kediaman yang membahagiakan boleh diwujudkan tanpa memilikinya. Saya percaya kepada pemikiran “access to assets is more important than asset ownership”. Jadi, sedikit sebanyak duit yang ada digunakan untuk membayar pendidikan anak-anak.
Kita hidup diera harta intelek menjana kekayaan puluhan kali ganda bendanding dengan tanah. Allah SWT maha adil. Setiap dari kita diberikan otak yang boleh menjana nilai yang tinggi jika digilap dengan betul. Tanah yang luas yang tidak diusahakan akan menjadi hutan. Tu pun jika orang yang berfikiran tuan tanah benar-benar ada tanah. Pada saya pilihannya jelas. Pendidikan.
Sanggup kita bergolok bergadai bagi memberikan anak-anak kita potensi yang lebih baik dari kita dahulu? Atau sebaliknya, kita nak memulakan trend yang mana tahap pendidikan anak-anak kita lebih rendah dari yang kita ada? Seperti biasa, tepuk dada, tanya selera.
