Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana mengurniakan saya perangai nak tahu asas perkara yang nak saya ikut atau kena buat.
Sebagai contoh, semasa saya di Tabung Haji, saya nampak di logonya ada perkataan حي على الفلاح, marilah menuju kejayaan. Saya pun tanya pegawai-pegawai saya maksud kalimah berkenaan di dalam konteks Tabung Haji dan bagaimana ianya dilaksanakan di dalam kerja serta urusan mereka. Amat menarik respon dari mereka.

Jadi, inilah satu kaedah yang saya gunakan di dalam kehidupan samada di dalam pengurusan korporat mahu pun di dalam kehidupan peribadi dan keluarga.
Saya tidak mudah menerima alasan “orang tu kata, tak kan tak betul” sebagai hujah. Tubuh badan manusia bukannya hujah bagi saya. Jawatan seseorang itu pun bukannya hujah. Apa yang penting ialah fakta, analisa dan juga dalil yang dibawa.
Apabila kita jelas akan asas atau dasar bagi sesuatu perkara, ianya akan menyebabkan kita lebih yakin dan komited. Kita tidak akan teragak-agak di dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan kerana kita tahu mengapa kita buat apa yang kita buat.
Malah, jikalah ada penilaian mahu pun siasatan ke atas keputusan dan tindakan kita, asas yang jelas akan memudahkan kita menjawab apa-apa soalan. Jika kita main ikut-ikut kata atau arahan manusia tanpa tahu asasnya, tentu kita akan menghadapi masalah.
Itulah sebabnya sebelum membuat apa-apa keputusan, saya akan tetapkan dahulu asas kepada keputusan yang bakal diambil. Jika ianya kukuh dan ada punca kuasa, saya akan pilih pilihan yang dikira terbaik berdasarkan asas berkenaan. Jika ada arahan yang sebaliknya, saya tak akan pedulikan.
Kaedah yang sama saya gunakan di dalam beragama. Walaupun saya bukanlah pandai, saya pilih orang yang serius di dalam memilih pandangan dan meletakkan Allah dan Rasul sebagai asas pilihan mereka sebagai rujukan saya.
Meletakkan Rasul di atas bukannya bermakna mereka berselawat di akhir setiap ayat yang mereka tuturkan tetapi berusaha bersungguh-sungguh untuk mempastikan asas kepada pilihan yang mereka buat berdalilkan ajaran yang dibawa oleh Rasul. Mereka tidak meletakkan aliran, tradisi mahu pun kumpulan sebagai perkara yang lebih tinggi dari kualiti dalil yang mereka bawa.
Sebagai orang yang Allah kurniakan akal, kita sebenarnya boleh nampak perkara ini. Cuma, ujian kepada kita juga ialah samada kita ikhlas. Adakah kita tebawa-bawa pengaruh aliran, tradisi dan kumpulan di dalam penilaian kita. Jika pilihan kita setakat handsome atau tak handsome seseorang itu, saya sah tak tahu apa lagi nak di kata.
Kita kena ingat, pilihan yang kita buat di dunia, pada hari ini akan dinilai oleh Allah yang Maha Mengetahui di akhirat. Jadi, asasnya kena kukuh dan selari dengan apa yang Allah suruh dan sampai kepada kita melalui Rasulullah SAW. Itulah piawaiannya.
