Ini merupakan serangan secara siber yang saya hadapi semasa menjadi Pengerusi Eksekutif sebuah badan kawalselia.
Yang menyerang kami adalah satu individu yang menyaman firma yang kami selia kerana satu kontrak perkhidmatan yang tidak menjadi. Dia mahu memburukkan firma ini supaya kami bertindak.
Kami berkerja secara profesional dan setiap maklumat dinilai secara objektif. Bila tidak ada tindakan dari kami, kami pula diserang dan dituduh berpakat dengan firma ini.
Bila kami semak latarbelakang individu ini, dia dikatakan pernah menggunakan kaedah yang sama di sebuah negara lain. Oleh kerana tekanan dari serangan siber ini, pihak yang diserang bersetuju berdamai dan membayar apa yang dituntut oleh beliau. Terus jadi kaya. Jadi, kami tahu dia ada duit dan akan menyerang bagi tempoh yang lama.
Kaedah yang digunakan:
Mewujudkan satu blog dengan nama yang menarik
Menggunakan dokumen rasmi tapi ditafsirkan jauh menyimpang dari maklumat yang ada, contohnya salinan surat aduan yang ada cop terima dipamirkan dan hujah-hujah di dalamnya diperbesarkan. Ini menjadi kerana orang hanya akan melihat grafik tetapi tak membaca isi dan menilainya (orang malas baca tapi suka kongsi dan ulas)
Mengaitkan pihak ketiga yang ada urusan dengan firma berkenaan supaya masuk campur dengan cerita-cerita dongeng tapi sedap dibaca
Membuat cerita-cerita dengan menggunakan nama individu-individu yang benar tetapi ceritanya bohong semata-mata, nama saya pun juga timbul. Seronok juga baca cerita ciptaan ke atas diri kita 😜
Melakukan perkara-perkara di atas secara berulang-ulang supaya dianggap mereka berkongsi cerita benar
Teknik-teknik di atas kini digunakan secara meluas untuk menyebarkan berita palsu
Apakah tindakan yang kami ambil? Kita tak jawab sepatah pun kerana kita tahu itulah yang mereka mahu. Sebagai badan kawalselia, kita kena ikut adab dan protokol, tak boleh hentam ikut suka macam pihak satu lagi. Hanya orang yang kurang adab suka kepada perbuatan yang kasar dan songsang. Firma yang terlibat pun mengambil langkah yang sama, tak berperang dengan hantu 👻
Kemudian individu berkenaan mengambil tindakan mahkamah ke atas kami. Kita lawan dari mahkamah tinggi hinggalah ke mahkamah persekutuan dan menang di setiap peringkat.
Di dalam masa ini serangan siber berterusan sehinggalah mahkamah persekutuan membuat keputusan. Bila ini terjadi, kesemua tomahan mereka ternyata palsu lah.
Akhirnya mereka berhenti menyerang dan mengakui tak boleh buat apa-apa lagi. Kesemua ini mengambil masa lebih dari 2 tahun kalau tak silap saya.
Saya kira satu sebab mengapa serangan ini gagal ialah kerana mereka berdepan dengan audien yang lebih berpelajaran dan tidak melatah. Jadi setiap serangan tidak tular kerana orang tidak berminat berkongsi benda yang mereka tahu mengarut walaupun didedahkan dokumen-dokumen yang rasmi tapi diulas secara batil.
Dari sini saya membuat rumusan bahawa kita tidak perlu melayan hantu. Mereka menjadi besar bila dilayan. Macam bila dijamu dengan sembelihan-sembelihan, imej hantu di dalam otak orang yang menjamunya akan menjadi lebih besar dari Tuhan.