Saya sempat melawat 3 perkampungan orang Islam di Cambodia, satu di Khroy Changvar di Phnom Penh, satu di daerah Kampung Cham dan satu lagi di Kapot.
Menurut kawan saya yang sudah lama ke Cambodia, kehidupan orang Islam yang ada kampung sudah banyak berubah berbanding dengan keadaan semasa puluhan tahun yang lalu. Kami juga diberitahu ada yang menjual sawah padi mereka kepada saudagar dari China untuk dijadikan kilang dan sebagainya. Jadi, adalah duit untuk ubah kehidupan.
Derma dan bantuan dari orang di Asia Barat dan Asia Tenggara pun jelas kelihatan terutamanya di dalam pembinaan atau pembinaan semula masjid, sistem bekalan air dan sekolah. Walaupun tak sesempurna di tempat lain, mereka ada asas untuk melalui kehidupan.
Saya kira apa yang perlu diutamakan sekarang ialah membentuk minda mereka akan lebih cenderung untuk berusaha sendiri melalui peningkatan kualiti pendidikan dan pembentukan kemahiran. Inilah yang berlaku di negara seperti Malaysia yang mana anak-anak muda dihantar belajar ke luar negara dan kembali membawa ilmu untuk mengubah kehidupan masyarakat. Bapa saudara saya menerima biasiswa Koperasi Guru-guru Melayu Kelantan untuk ke England pada awal tahun 60an. Memandaikan bangsa adalah tanggungjawab masyarakat.
Selain dari mengadakan biasiswa untuk mendidik orang-orang Cambodia di Malaysia, kita boleh juga fikirkan bagaimana teknologi boleh digunakan. Setiap kampung yang saya lawati sudah ada teknologi 4G. Itulah lebuhraya yang penting, walaupun jalan fizikal masih belum sempurna.
Dari segi bahasa, sudah ramai orang Cambodia yang dididik di Malaysia dan boleh berbahasa Melayu dengan bagus. Ini aset yang boleh digilap dan menjadi agen perubahan. Tentunya kejujuran akan menjadi satu kriteria yang mustahak.
Konten ilmu pula perlu kepada asas agama yang ada dalil dan disusun untuk membina aqidah yang luhur, amalan berasaskan ajaran Rasulullah dan akhlak yang mulia seperti akhlak baginda dan para sahabat. Kita mahu mereka beragama secafa faham, bukan ikut-ikut dan perhati sahaja.
Ini boleh disusuli dengan bidang kemahiran yang boleh dipelajari secara atas talian dan dipraktikkan di dalam kehidupan mereka di sana. Mereka perlu mewujudkan aktiviti ekonomi agar punya daya beli yang lebih tinggi. Mungkin homestay boleh dijadikan jalan untuk membawa pelancong yang berminat untuk menjalani kehidupan cara kampung dan makan makanan kampung yang lazat.
Isu orang yang dihidup di pinggir sungai dan ada yang berumahkan perahu tu sata perkara yang lebih rumit untuk diselesaikan. Namun, memberi pendidikan merupakan jalan keluar yang terpakai di kesemua keadaan.
Kawan saya, Nizam Ali, ingatkan saya supaya lawatilah juga orang-orang di Baling, Kedah, yang terkesan dengan kejatuhan harga getah dunia. Tu, projek tertangguh yang kena diteruskan juga.