Bila dunia kini kecoh berkenaan reaksi Presiden Peranchis kepada kes yang bersangkutan dengan kartun yang tidak boleh diterima oleh orang Islam, saya cuba memahami apakah respon yang paling hampir dengan ajaran Rasulullah SAW.
Ini mengingatkan saya kepada satu episod di dalam dakwah Baginda yang mana Baginda cuba untuk mengajak orang-orang di Ta’if kepada Islam. Episod ini amat kita maklumi yang mana bukan sahaja Baginda tidak berjaya melembutkan hati penduduk-penduduk Ta’if malah mereka menyuruh anak-anak muda mereka merejam Rasulullah SAW dengan batu sehingga Baginda tercedera.
Baginda diberi pilihan oleh malaikat untuk membalas balik kekerasan yang telah dilakukan kepada Baginda. Namun, sebagai seorang rasul yang mempunyai misi untuk mengajak manusia kepada agama Allah SWT dan menyelamatkan mereka dari neraka Allah, Baginda tidak memilih jalan kekerasan. Malah Baginda berdoa agar anak-cucu orang-orang Ta’if menjadi orang-orang yang beriman. Tentunya ini sudah terbukti sekarang ini.

Cuba kita pandang kiri kanan. Banyak perkara-perkara yang sedang berlaku membuatkan hati kita terkesan. Pencerobohan tanah rakyat Palestin, pencerobohan di Afghanistan, sekatan dan penderaan umat Islam di pelbagai pelusuk dunia masih berterusan. Ada di antara umat Islam yang membuat keputusan untuk memberi reaksi yang keras juga.
Setiap manusia tentunya mempunyai alasan masing-masing ke atas keputusan dan tindakan yang mereka ambil. Asasnya perlu kukuh dan selari dengan ajaran Islam kerana setiap perbuatan kita akan diadili oleh Allah SWT ke Hari Pembalasan kelak.
Bagi saya, respon Rasulullah SAW di Ta’if menjadi satu piawaian yang tidak boleh dilupakan di dalam keadaan keadaan kita berasa tidak diberi keadilan. Apakah misi kita? Apakah tindakan yang paling hampir dengan ajaran Rasulullah SAW agar misi yang kita bawa tercapai?