Pak Ungku – Permata Negara

Saya ditakdirkan bertemu dengan Ungku Aziz atau lebih mesra dipanggil Pak Ungku pada tahun 2012. Ketika itu Suruhanjaya Sekuriti mengadakan siri syarahan Merdeka Series dan Pak Ungku dijemput untuk memberikan pandangannya berkenaan kemiskinan di negara ini.

Pak Ungku memilih untuk membincangkan berkenaan Extreme Poverty Group ia itu orang-orang miskin, khususnya orang Melayu, yang terperangkap di dalam kemiskinan walaupun sudah banyak usaha yang dilakukan untuk membantu mereka. Mengikut Pak Ungku, usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat komersil tidak juga berkesan.

Sebelum pertemuan ini, saya mengenali Pak Ungku sebagai seorang ahli ekonomi dan intelektual yang amat berminat dengan isu kemiskinan. Di atas niat untuk membantu golongan inilah terbitnya idea untuk menubuhkan sebuah tabung yang membolehkan mereka menyimpan sedikit demi sedikit sebelum mereka mempunyai dana yang cukup untuk mengerjakan haji.

Tanpa adanya tabung sebegini, mereka menyimpan di dalam bentuk wang tunai atau pun binatang ternakan seperti kambing dan lembu. Bila mahu mengerjakan haji, mereka akan menjual kesemua harta mereka termasuk rumah yang mereka duduki. Bila kembali dari Tanah Suci, mereka menjadi miskin dan tidak mempunyai harta.

Di atas idea inilah tertubuhnya Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBH) pada tahun 1963. Ianya menerima deposit dari bakal-bakal haji dan melaburnya secara patuh Shariah. Keuntungan yang didapati digunakan untuk membayar kos pengurusan dan selebihnya diagihkan kepada pendeposit. PWSBH hanya bertanggungjawab untuk menguruskan simpanan manakala urusan haji dilaksanakan oleh sheikh-sheikh haji yang beroperasi dari Pulau Pinang dan Singapura. Pada tahun 1969, Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) ditubuhkan dan ianya bertanggungjawab untuk menguruskan deposit dan juga urusan haji bagi jemaah haji Malaysia.

Hanafiah Hussin (Tan Sri) telah diamanahkan oleh Tun Abdul Razak untuk menjadikan idea Pak Ungku satu kenyataan. Pak Ungku tidak terlibat di dalam perlaksanaan ideanya yang telah membantu ramai kaum Muslimin untuk menyempurnakan agama mereka dengan melaksanakan rukun Islam yang kelima itu.

Ternyata Pak Ungku adalah satu permata negara yang banyak menyumbang kepada pembinaan negara ini ketika ianya perlu memenuhi maksud kemerdekaan yang dicapai di dalam tahun 1957. Walaupun dia termasuk di dalam golongan bangsawan, dia memilih untuk memperjuangkan isu-isu ahli masyarakat yang lemah dan perlu pembelaan.

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa Pak Ungku, merahmati beliau dan memasukkan beliau di kalangan hambaNya yang beriman.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s