Semalam Kak Noni (Norwani Md Nawawi) kongsikan beberapa foto Atok. Saya janji nak tulis sedikit berkenaan orang yang banyak berjasa kepada saya ini.
Namanya Mohd Ali bin Ismail. Isteri beliau adalah Aminah Mahmod. Kakak beliau saya kenali hanya sebagai Mok Soh, di antara wanita Kelantan yang pernah belajar di Makkah. Satu keunikan untuk zaman itu. Mok Soh juga mengajar wanita berkenaan agama. Suaminya, Pak Cik Nor, mengajar Al Quran. Dia berasal dari Kedah.
Saya tinggal dengan Atok semenjak berumur setahun, bila adik saya Nik Hazmi dilahirkan. Ibubapa saya tinggal di Machang, Atok dan Nenek tinggal di Kota Bharu. Nenek adalah ibu saudara emak saya. Dia dan Atok tidak ada anak. Jadi mereka menjaga adik beradik dan anak-anak saudara yang lain seperti anak mereka sendiri.
Atok hidup dengan pelbagai jenis pekerjaan. Dia pernah membawa barangan dari hulu Kelantan dengan rakit untuk dijual di Kota Bharu. Dia pernah jadi tukang jahit dan ada kedai jam. Seorang yang mempunyai tangan sani. Tulisannya amat cantik dan dia pandai bertukang. Hasil dari semua ini, dia memiliki beberapa keping tanah termasuk tapak rumah di Jalan Che Su, Kota Bharu.
Rumahnya tinggi kerana Kota Bharu sering dilanda banjir. Di bahagian bawah disewakan kepada abang Zahari yang ada kedai jahit dan Wan Mohamad yang ada kedai gunting. Mok Soh tinggal dsebelah rumah yang didindingi oleh rotan sahaja. Jika orang sebelah pasang radio, orang di sini boleh dengar. Ketika itu Jalan Che Su ada banyak rumah teres yang diduduki keluarga Cina. Kami hidup harmoni walaupun mungkin ada perbezaan budaya. Kalau mereka menyambut Tahun Baharu Cina, mereka akan hadiahkan kami dengan kueh bakul.
Saya tidak tahu berkenaan pendidikan Atok tetapi dia sempat bertemu dengan Tok Kenali. Dia ceritakan kepada saya berkenaan orang meminta Tok Kenali doakan supaya hajat mereka tercapai. Tok Kenali tanya “Mung baloh (bergaduh) dengan Tuhan ke?”. Dia pernah bagitahu saya bahawa semasa dia belajar dia menggunakan papan batu sebagai tempat menulis.
Atok memang seorang yang jujur. Dia ada menguruskan harta-harta pusaka keluarga. Setiap duit masuk dan keluar direkodkan dengan rapi di dalam buku notanya. Bila dia berhutang, dia sentiasa berdoa supaya mampu membayar hutang. Bila dia dapat duit, kesemua hutangnya dibayar dengan cepat. Ini satu asas tadbir urus yang penting. Walaupun di ketika itu istilah integriti belum ada, Atok dah tunjukkan kepada saya bagaimana mahu menghidupkannya.
Dari segi politik, Atok dan Nenek ada penyokong kuat PAS. Semasa Asri Muda datang ke Kelantan untuk berceramah memperkenalkan PAS, Atok bayarkan tambang perahu. Saya dimaklumkan dia mungkin bendahari PAS yang pertama. Saya tak ada maklumat yang sahih. Sidekick beliau di dalam politik ialah Pak Chu, yang saya kenali sebagai pemilik kedai jam di Pasir Mas. Seorang lagi ialah Che Omar.
Di dalam pilihanraya tahun 1959, dia berkempen untuk PAS dan iparnya yang tinggal serumah berkempen untuk UMNO. Namun mereka boleh hidup bersama sebagai satu keluarga 😀
Ramai ahli keluarga kami, termasuk ibu saya, yang dididik oleh Atok dan Nenek kerana ibu nenek meninggal ketika adik beradik mereka masih remaja. Hasil dari didikan Atok dan Nenek, semuanya menjadi manusia yang berjaya dan beradab. Atok memang pentingkan pendidikan dan juga agama. Mungkin itu asas yang menyebabkan ramai yang berjaya di dalam kedua-dua perspektif.
Atok meninggal ketika saya belajar di Australia. Tentunya sedih tidak dapat bertemu muka. Saya doakan semoga Allah mengampunkan kesemua dosa-dosa beliau dan memasukkan Atok di kalangan hambaNya yang beriman dan dibalas dengan syurga.