Saya kongsikan kembali rangka kerja kehidupan kita sebagai hamba dan khalifah Allah. Ianya disediakan oleh Uztaz Pahrol Mohamad Juoi sebagai konten program bersama dengan pengurusan kanan Tabung Haji.
Kalau nak cemerlangkan organisasi, kena mulakan dari atas lah. Bila orang-orang di atas komited kepada sesuatu perkara, ianya lebih mudah dilaksanakan di dalam organisasi. Kita boleh renung kembali bagaimana Islam tersebar di rantau ini. Apabila seorang raja menerima Islam, maka rakyatnya akan menurutinya dengan lebih mudah.

Apa yang mahu ditekankan ialah pekerjaan kita boleh dijadikan ibadah. Ibadah bukan terhad kepada ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji. Kita menghabiskan banyak masa bekerja dan berniaga. Kesemua ini kena dijadikan ibadah untuk mendapatkan keredhaan Allah dan juga kebahagiaan di dunia.
Malah di dalam perbincangan Ustaz Pahrol, dikatakan bahawa apabila seseorang itu bersara dari pekerjaan, hilanglah peluang yang besar untuk beribadah, terutamanya di dalam bentuk fardu kifayah. Oleh yang demikian kita kena belajar dan berusaha untuk menjadikan pekerjaan dan perniagaan kita menjadi ibadah. Ini memerlukan kita untuk belajar dan mengetahui skop, jalan dan pantang larang ibadah kita kepada Allah melalui pekerjaan dan perniagaan ini.
Cabaran utama yang saya nampak ialah apabila kerja-kerja seharian kita tidak dilihat sebagai sumber ibadah. Malah menjadi sumber dosa pula bila kuasa dan kedudukan disalah gunakan dan menerima rasuah untuk mendapatkan kesenangan yang cepat. Masyarakat kita ni agak unik. Di dalam satu keadaan mereka menuntut Islam dilaksanakan di situ dan di sini. Walau bagaimana pun, bila kita melihat cara mereka bekerja samada di sektor awam, swasta atau pun NGO, banyak juga prinsip-prinsip utama Islam seperti jujur, amanah, memberi keadilan dan memudahkan orang yang diletakkan di tepi. Mungkin mereka berasa aman dan selamat apabila menuntut itu dan ini tetapi lupa untuk melakukan apa yang mereka katakan.
Kempen menjadikan kerja harian sebagai ibadah bukan sahaja menyelamatkan kita dari api neraka tetapi menjadikan kita juga sebagai insan yang cemerlang. Jika kerja adalah ibadah tak kan kita sampai hati menyembahkan kerja yang tidak berkualiti dan sambil lewa sebagai ibadah kepada Allah, kan? Ini juga bermakna segala gelagat kita di media sosial kenalah dijadikan ibadah juga.
والله أعلم