Aidil Adha, SOP dan naratif

Hari ini umat Islam di Malaysia menyambut Aidil Adha di dalam keadaan mematuhi SOP Covid-19. Ini adalah hari raya ke empat di dalam keadaan seperti ini. Solat Aidil Adha yang terhad, kurban yang terhad. Tidak boleh mengunjungi sanak saudara dan pelbagai lagi halangan ekonomi dan sosial yang perlu dipatuhi.

Saya kira ramai umat Islam yang bersolat Aidil Adha di rumah masing-masing. Maka, kena dicarilah khutbah yang perlu disampaikan sewaktu solat. Saya memilih khutbah yang dikeluarkan oleh JAKIM yang bertajuk “Pengorbanan”.

Naratif yang dibawa di dalam khutbah ini adalah pematuhan SOP adalah satu pengorbanan. Saya kira ramai yang bersetuju kita sudah cuba sebaik mungkin untuk mematuhi SOP yang sentiasa “ditambah baik” dari masa ke semasa dan kadangkala begitu cepat bila ada di kalangan masyarakat yang menimbulkan isu. Dari segi yang terkorban, sudah ramai mana rakyat yang meninggal dunia disebabkan Covid-19 dan banyak mana perniagaan yang sudah bungkus angkara SOP yang menghalang mereka dari beroperasi seperti biasa?

Kita boleh mengetahui bilangan orang yang dijangkati Covid-19 setiap hari berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan. Namun, jumlah pemilik-pemilik perniagaan yang sudah menjadi korban apabila perniagaan mereka bungkus dan pekerja-pekerja yang kehilangan pekerjaan apabila majikan mereka gulung tikar tidak dikira sebegitu rupa. Maka, orang yang membentuk SOP tidak mungkin tahu kesan sebenar keputusan mereka ke atas rakyat.

Apa yang kita nampak ialah orang-orang yang sudah terdesak menaikkan bendera putih tanda mereka perlukan bantuan. Ini pula menjadi polemik kerana ada pihak yang tidak berasa senang perkara ini mendapat perhatian media. Laporan mengenai kes-kes bunuh diri yang berlegar di media beberapa minggu yang lalu pun sudah nampak senyap. Adakah keadaan sudah berubah di bawah sana?

Apa yang nyata, kesan SOP yang dikuatkuasakan bukan sahaja mempengaruhi rakyat Malaysia tetapi telah juga memberi kesan kepada pelabur asing. Pelabur Jerman, Jepun dan juga Belanda sudah menyatakan kedudukan mereka dengan nyata. Duta Amerika juga telah menyebut dengan terang perasaan pelabur mereka ke atas SOP yang dikatakan tidak jelas, berubah-ubah dan menghalang mereka untuk memenuhi kontrak mereka dengan pelanggan. Malah, sudah ada pelabur yang mula menyebut bahawa mereka mungkin terpaksa mencari tempat lain untuk memindahkan operasi mereka.

Jadi, pengorbanan yang disebutkan di dalam khutbah yang saya baca pagi ini sebenarnya dilakukan oleh pelbagai pihak, rakyat dan juga orang luar yang mencari rezeki di sini. Walaupun Covid-19 mungkin akan dapat kita tangani di dalam masa terdekat hasil dari usaha vaksinasi, kesan SOP yang dikuatkuasakan sekarang akan meninggalkan kesan yang lama. Ianya bukan setakat terhalangkan aktiviti ekonomi dan sosial tetapi penilaian akan juga dibuat ke atas keupayaan kita membentuk polisi dan keberkesanan polisi berkenaan.

Apabila negara memperkenalkan Kawalan Modal semasa negara menghadapi Krisis Ekonomi Asia di pengakhiran 90an, ramai pelabur asing yang membantah dan perkara itu tidak mudah mereka lupakan walaupun sudah berlalu bertahun-tahun. Ini mungkin terjadi lagi kerana mereka boleh membandingkan bagaimana kita dan negara-negara lain mengambil langkah untuk menangani Covid-19. Kesan SOP yang dikuatkuasakan tidak akan berlalu begitu sahaja.

Seperti mana yang disebutkan di dalam khutbah, marilah kita semua berdoa agar Allah SWT mengangkat wabak ini dari negara kita dan kehidupan kembali seperti biasa. Namun, pepatah Melayu juga ada mengatakan “sekali air bah, sekali pantai berubah”. Apakah agaknya kesan pendamik Covid-19 ke atas orang yang sedang berkorban dan yang sudah terkorban di dalam jangka masa panjang?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s