Di dalam Program Minda CEO, satu minda yang saya tekankan ialah Minda Pengelola. Di dalam omputih, the Mind of a Steward. Susah saya nak cari istilah yang sesuai di dalam bahasa Melayu.
Berdasarkan carian awal di Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP, saya guna Minda Pengawas. Sekarang saya pilih Minda Pengelola.
Oleh kerana saya fokuskan kepada 5 Minda Asas CEO, nak kena pilih pula minda mana yang diletakkan di nombor satu. Ini adalah kerana Minda Pengelola mungkin terlalu abstrak bagi peserta dan macam potong steam sahaja. Orang jadi usahawan nak buat duit tetapi perkara pertama yang diajarkan ialah kena jujur dan amanah. Takut ada yang terkejut.

Namun, saya beranikan diri untuk meletakkan Minda Pengelola sebagai minda utama CEO, sebelum minda strategik, minda pembina, minda penghubung dan minda pemimpin. Syukur, setakat ini peserta Program Minda CEO menerimanya dengan baik dan menjadi “trademark” program ini. Kita kena jadi jujur dan amanah dahulu sebelum nak bentuk strategi, bina perniagaan, berhubung dengan pihak yang berkepentingan dan memimpin ahli pasukan.
Rasulullah SAW dikenali sebagai seorang yang jujur dan amanah sebelum baginda diangkat oleh Allah SWT sebagai rasul. Jujur dan amanah ini bukan setakat menguruskan harta benda dan hal ehwal manusia tetapi tidak menyampaikan sebagai agama apa yang Allah tidak wahyukan. Kita tentunya telah membaca banyak kisah di dalam Al Quran dan As Sunnah yang mana baginda tertunggu-tunggu wahyu dari Allah sebelum menjawap persoalan berkenaan pelbagai isu.
Para sahabat pula tidak mengagamakan sesuatu sebelum bertanya kepada Rasulullah SAW. Apabila turun perintah supaya berselawat ke atas rasul, para sahabat tidak berebut-rebut mereka-reka selawat versi masing-masing untuk menunjukkan kecintaan kepada rasul. Sahabat bertanya kepada Rasulullah dan baginda mengajar sahabat (manusia yang jauh lebih mulia dari sesiapa yang hidup pada hari ini) apakah kalimah-kalimah selawat. Bila rasulullah ajar, mereka amalkan.
Jujur dan amanah ini penting di dalam pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan perniagaan. Maka, saya pilih “stewardship” atau pengelola sebagai minda nombor 1 dalam 5 Minda Asas CEO.
Stewardship atau pengelola ini pula sesuai dengan sifat kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Semua yang kita miliki atau kuasai sebenarnya bukan milik kita walaupun di atas geran tanah atau pendaftaran kenderaan ada nama dan nombor kad pengenalan kita. Hakikatnya kita sendiri pun milik Allah SWT.
Oleh itu, jika kita “memiliki” harta, ianya perlu ditadbir mengikut kehendak Allah. Jika ada “kuasa”, itu pun dipinjamkan oleh Allah untuk menguji kita samada kita memilih untuk memakmurkan bumi ini dengan adil dan saksama atau nak bantai sendiri, bersama keluarga dan puak-puak kita sahaja. Manusia ini kena ditengok perbuatan dan kelakuan dia, bukan percaya bulat-bulat apa yang dia cakap, tak kira siapa dia di muka bumi ini dan apa uniform yang dia pakai hari-hari.
Saya pelik kerana ada manusia yang menggunakan “pemilikan” mereka sebagai alasan untuk meletakkan mereka di atas manusia yang lain tanpa memperdulikan seruan yang mereka dengar setiap jumaat supaya bertindak dengan “adil dan ihsan”. Adil dan ihsan itu kena guna piawaian Allah SWT, bukannya merujuk kepada konsep rekaan kita sendiri.
Saya ada kongsikan video berkenaan Minda Pengawas/Pengelola 👇. Anda juga boleh menonton video-video berkenaan 5 Asas Minda CEO seperti yang saya sebutkan di atas. Saya buat pendek-pendek kerana kita semua sibuk, kan? 🤗
