Hutang secara teknikal ialah obligasi yang akan menyebabkan aliran tunai keluar dari perniagaan. Pemiutang pula boleh mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula hutangnya. Perniagaan kita boleh dibankrupkan! Dengan risiko sebegini, mengapa banyak perniagaan masih berhutang?
Ada beberapa keadaan yang mana hutang adalah penyelesaian kepada kehendak-kehendak perniagaan. Jika dibuat secara berhemah, hutang boleh membantu perniagaan untuk membesar dan bersaing di dalam pasaran. Mari kita teliti beberapa contoh yang mana hutang membantu perniagaan.
Perkara pertama ialah mewujudkan atau menambah kapasiti pengeluaran produk. Ini melibatkan pembinaan kilang dan pembelian mesin dan jentera. Apabila ini diperlukan, perniagaan perlu mengeluarkan dana yang besar untuk membiayai pelaburan di dalam aset-aset ini. Sekiranya perniagaan mempunyai modal kewangan yang terhad, hutang diperlukan untuk menampung bahagian yang tidak cukup itu. Penambahan kapasiti ini akan menjana aliran tunai di masa hadapan. Sebahagian dari aliran tunai ini akan digunakan untuk melunaskan hutang yang diambil itu.

Sekiranya perniagaan sedang membesar dengan cepat, segala keuntungan yang dijana perlu dilaburkan semula untuk meningkatkan lagi pengeluaran dan membiayai penjualan yang dibuat secara kredit yang turut berkembang. Inilah sebabnya, walaupun membuat untung, aliran tunai akan menjadi semakin ketat. Mendapatkan modal pusingan tambahan melalui hutang akan membantu pembesaran perniagaan.
Di dalam kedua-dua contoh yang diberikan di atas, aliran tunai yang dibawa masuk melalui hutang membantu perniagaan apabila ada kelompangan sementara di dalam aliran tunai perniagaan yang kemudiannya akan menjadi positif apabila pelaburan mula menjana aliran tunai atau pun perkembangan perniagaan menjadi lebih stabil. Di dalam kedua-dua keadaan ini, perniagaan mesti dapat mengunjurkan aliran tunai masa hadapan yang bukan sahaja bertambah positif tetapi mampu juga untuk membayar balik hutang-hutang yang diambil itu, termasuk kos hutang yang berkenaan.
Inilah sebabnya perkara utama yang dinilai oleh institusi-institusi kewangan apabila menerima permohonan hutang ialah unjuran aliran tunai perniagaan. Ianya bukan sahaja mesti positif tetapi dibina berdasarkan andaian-andaian yang kukuh dan munasabah.
Di dalam contoh penambahan kapasiti pengeluaran di atas, perniagaan kena membuktikan bukan sahaja berapa banyak produk yang bakal dikeluarkan tetapi siapakah yang akan membelinya pada harga berapa. Ini penting bagi memberi keyakinan kepada institusi kewangan berkenaan bahawa pelaburan yang dibuat itu tidak sia-sia tetapi sebaliknya menjana aliran tunai yang semakin mampan.
Nisbah aliran tunai kepada komitmen yang perlu dibayar balik kepada institusi kewangan akan menjadi di antara perkara yang akan menentukan samada permohonan pembiayaan berkenaan diluluskan atau sebalik. Lagi banyak jumlah aliran tunai berbanding dengan berapa banyak yang perlu dibayar balik kepada institusi kewangan, lebih bagus. Tidak ada mana-mana institusi kewangan yang akan mengambil risiko untuk membiayai perniagaan yang mana aliran tunainya negatif dan tidak akan pulih-pulih.
Dari perbincangan di atas, hutang boleh digunakan untuk menyelesaikan cabaran pernigaan. Namun perkiraan yang tepat perlu dibuat agar perniagaan mampu membayar balik hutang berkenaan di samping memanfaatnya di dalam membesarkan perniagaan.
Usahawan juga kena benar-benar berdisiplin di dalam menggunakan dana yang diambil secara hutang kepada perkara-perkara yang dirancang sahaja. Jangan dialihkan aliran tunai itu ke perkara-perkara lain. Takut nanti apa yang dikejar tak dapat dan apa yang dikendong pula keciciran.
