Hari ini ialah Hari Guru di Malaysia. Ianya merupakan hari yang mana jasa guru-guru diperingati dan peranan mereka dihargai.
Kita semua tentunya bertuah kerana mendapat didikan dari guru-guru yang hebat. Kalau boleh bermedia sosial tu maknanya kita boleh membaca, menulis dan menggunakan alatan elektronik. Tentunya ada orang yang mengajar, tak kan pandai dengan sendiri, kan?
Ayah saya dan bapanya merupakan guru. Di awal kemerdekaan, peranan guru amat penting kerana rakyat perlu dididik untuk mengisi kemerdekaan. Secara realiti, tidak ada banyak peluang pekerjaan lain untuk diisi. Sebab itulah guru merupakan kumpulan intelek yang berperanan sebelum dan di awal kemerdekaan kerana ramai cerdik pandai yang menjadi guru. Perguruan merupakan “profession of choice”, bukannya “profession of last resort”.
Ayah saya mula mengajar di Machang, Kelantan pada awal 60an. Jawatan terakhir beliau di Machang ialah guru besar Sekolah Kebangsaan Hamzah. Orang panggil dia Cikgu Nik Soh.
Peranan guru bukan hanya terhad kepada mengajar muridnya 3M, membaca, menulis dan mengira tetapi lebih luas termasuk cuba menjadikan muridnya “jadi orang”. Jadi orang ni bukan semestinya hebat di dalam akademik semata-mata tetapi boleh menjadi ahli masyarakat yang baik dengan nilai-nilai dan sikap yang positif.
Oleh kerana guru amat berpengaruh di dalam mendidik anak muridnya, orang Melayu ada pepatah “guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari”. Jika guru ada tabiat yang buruk, keburukan tersebut akan digandakan oleh anak muridnya.
Bila negara semakin maju dan banyak peluang pekerjaan baru yang muncul, orang-orang yang tinggi potensinya mempunyai pilihan yang lebih luas untuk memilih kerjaya. Kerjaya profesional misalnya menjanjikan pulangan kewangan dan status yang tinggi di dalam masyarakat. Perguruan pula mula dipandang “biasa” dan gaji guru bukanlah termasuk di dalam kumpulan gaji yang diidam-idamkan oleh anak-anak muda. Ini mempengaruhi bakat-bakat yang memilih perguruan sebagai kerjaya mereka.
Maju ke hadapan, kita kena fikirkan bagaimana mahu meletakkan profesion perguruan kembali ke tahap yang sebenar, menjadi pilihan utama. Ini penting kerana anak-anak kita perlu dididik oleh insan-insan yang terbaik kerana pengaruh insan-insan ini akan memberi kesan yang besar di dalam kehidupan mereka kelak. Ini tidak menafikan sumbangan kesemua guru-guru yang ada tetapi dari segi strategik, meningkatkan kualiti perguruan tidak boleh lari dari menarik otak-otak terbaik yang komited, sama seperti profesion lain.
Dengan adanya media sosial, ramai juga orang nak jadi “guru” di dalam pelbagai jenis kemahiran dan bidang. Itu pilihan mereka tetapi kena pikul tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas lah, bukan kerana nak jual itu dan ini. Jadi, berhati-hati bila mahu memilih “guru-guru” ini. Janganlah pula penghormatan masyarakat ke atas guru terjejas kerana ada orang yang tidak memikul istilah “guru” dengan jujur dan ikhlas.
Amat susah bagi saya untuk menyenaraikan setiap seorang guru yang berjasa kepada saya. Bermula dari kecil sehingga sekarang ini, saya belajar dengan ramai manusia, secara lansung di dalam kelas atau secara tidak lansung di alam pekerjaan dan kehidupan yang lebih luas. Tentunya tanpa insan-insan ini, siapalah saya.
Saya mengucapkan terima kasih kepada kesemua guru-guru saya. Saya juga doakan agar Allah kurniakan kurniaan yang tertinggi kepada kesemua guru dan bekas guru, di mana sahaja mereka berada di atas jasa mereka mendidik anak bangsa dan sumbangan kepada negara.