Di era ini, menjaga imej menjadi satu perkara yang dipentingkan oleh sebahagian ahli masyarakat. Tak kiralah peringkat mana. Ini menyebabkan tindakan yang dikira mempopularkan akan cuba dizahirkan manakala tindakan yang membelakangkan kepentingan masyarakat cuba disorok.
Ada juga orang-orang yang membentuk imej mulia dan baik mereka secara terancang. Buat itu dan ini, muncul di situ dan di sini. Peluang berfoto (photo opps) yang akan memperkukuhkan imej yang mahu dibentuk itu sentiasa dicari-cari dan disebarkan melalui pelbagai media.
Di dalam masa yang sama, kerja dan tindakan yang dikira akan merosakkan imej yang mahu dibentuk disorokkan atau hanya dizahirkan apabila masyarakat sibuk dengan perkara-perkara lain. Diharapkan kesibukan itu akan melekakan mereka dan imej orang yang mengambil tindakan yang tidak bersesuaian dengan selera masyarakat itu terjaga.

Bolehkah kita lari dari dipertanggungjawabkan ke atas tindakan dan keputusan kita apabila kita berhadapan dengan Allah SWT di akhirat kelak? Adakah imej mulia itu tetap mulia di sisi Allah SWT jika tindakan yang kita buat bercanggah dengan piawaian Allah SWT yang diwahyukan melalui Al Quran dan dimaklumkan melalui As Sunnah?
Di dalam tadbir urus, ada banyak teori yang berasaskan pemikiran Barat cuba diterapkan di seluruh dunia. Sebagai contoh, piawaian OECD akan menjadi rujukan kebanyakan negara-negara membangun. Dipercayai, itulah piawaian tadbir urus yang terbaik. Saya pernah berfikiran sebegini.
Namun sekarang saya hanya mengingatkan pentadbir, pengurus dan pemimpin muslim yang percaya kepada hari pembalasan bahawa jawapan kepada soal jawab dengan Allah SWT di akhirat kelak adalah tindakan dan keputusan yang kita buat di sini, pada hari ini. Oleh yang demikian, mereka sepatutnya berasa takut untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dengan piawaian Allah walaupun mereka menduduki kerusi-kerusi yang dianggap mulia di kalangan masyarakat.
Apa yang saya nampak, orang yang lebih berilmu dan arif berkenaan soal jawab dengan Allah SWT ini tidak mampu untuk membawa perkara ini di dalam perspektif tadbir urus kerana mereka sendiri tidak ada pengalaman di dalam pentadbiran dan pengurusan. Bayangkan sekiranya perkara ini ditekan di setiap kuliah di setiap kampung dan bandar setiap kali ada kuliah agama?
Takut kepada soal jawab dengan Allah ini adalah satu sifat penting yang perlu ada di dalam jantunghati orang-orang yang ada kedudukan untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan. Tak kira rendah atau tinggi kedudukan berkenaan. Kita semua adalah hamba Allah. Kita boleh membentuk hiraki di antara kita tetapi apakah hiraki itu ada nilai di sisi Allah yang Maha Berkuasa?
