Minggu lepas saya bersama beberapa orang rakan telah pergi ke Hua Hin, sebuah bandar yang terletak kira-kira 3 jam ke selatan Bangkok, ibu negara Thailand. Tujuan kami ke sana adalah untuk berehat dan bermain golf di sekitar bandar tersebut. Terdapat banyak padang golf yang bertaraf antarabangsa di sana dan kesemuanya dijaga dengan baik. Mungkin kos buruh mereka murah dan tenaga kerjanya ramai, tidak seperti di tempat kita.
Kebetulan pula kami di sana ketika masyarakat Thai menyambut Songkran, tahun baru mereka. Di samping bercuti, ramai orang-orang Thai yang merayakannya dengan menyimbah air kepada orang yang lalu lalang. Mereka juga menyapu bedak sejuk ke muka rakan-rakan mereka sambil bergelak ketawa. Oleh kerana ini adalah budaya mereka, tidak ada orang yang marah-marah bila disembur air malah mereka telah bersedia dari awal dengan berpakaian berbunga-bunga, tanda merayakan Songkran.
Para pelancong asing juga mengambil bahagian untuk merasai kegembiraan orang Thai di hari tersebut. Kami terpaksa berhati-hati bila berjalan, takut kena siram dengan air!
Memang ramai orang dari Barat suka ke Thailand kerana mereka boleh berhibur dan menikmati makanan Thai. Mereka juga suka suasana bebas di Thailand. Asal jangan kutuk raja mereka, sudahlah. Itu satu kesalahan yang amat berat.
Seorang kawan sekolah yang sedang bekerja di Bangkok datang untuk meraikan kami. Dia bekerja dengan sebuah syarikat Malaysia yang mengeluarkan alat ganti kereta untuk pasaran Thailand, Malaysia dan Indonesia. Syarikatnya juga tersenarai di pasaran saham Thailand. Memang dari segi budaya kerja ada beza di antara orang Malaysia dan Thailand. Jika ini tidak difahami dan diraikan, susah untuk bekerja sebagai satu pasukan yang mantap.
Hua Hin juga adalah sebuah bandar di tepi laut dan ini dijadikan satu tarikan pelancongan. Terdapat banyak gerai-gerai menjual makanan yang dibuka di pinggir pantai. Mereka pula mengatur meja makan sehingga ke pergigian air. Itulah cara hidup mereka. Mungkin bagi kita, kaedah sedemikian akan memberi kesan kepada keindahan pantai.
Pada sebelah pagi, ramai orang ke pantai untuk memerhati kenaikan matahari. Memang cantik dan indah suasana pagi di tepi pantai Hua Hin. Seperti di kebanyakan tempat lain, ramai orang mengambil peluang untuk merakam suasana tersebut dengan telefon pintar mereka.
Kami bertuah kerana terdapat beberapa gerai yang menjual makanan halal. Kami makan tengahari di sebuah gerai berhampiran stesen keretapi Hua Hin yang dijalankan oleh orang yang berasal dari Tak Bai yang terletak bersempadan dengan Kelantan. Makananya sedah dan kebetulan ketika itu kami baru saja habi main golf. Memang berseleralah.
Di samping bersukan, berjalan sebegini membuka mata kita kepada budaya orang lain dan ini membuatkan kita lebih terbuka dengan apa yang berbeza. Kita kena ingat, tidak semua manusia sama dari segi rupa, kepercayaan, budaya dan adat. Jika kita tidak boleh menerima hakikat ini, macamana nak hidup di dalam alam yang luas dan penuh dengan kepelbagaian ini? Mengurus kepelbagaian adalah salah satu kepandaian penting kini dan ke masa depan.