Mengira rosotnilai aset

IMG_7937

Apakah yang dikatakan aset?

Secara teknikal, aset ialah sesuatu sumber yang dimiliki yang akan membawa masuk manfaat ekonomi kepada pemiliknya.

Contohnya, wang tunai boleh digunakan berdasarkan nilainya. Tanah boleh disewakan atau dijual. Emas boleh dijadikan perhiasan dan dijual untuk mendapat nilainya. Saham yang dimiliki boleh membawa masuk bayaran dividen dan boleh juga dijual.

Dari contoh-contoh di atas, aset boleh dibahagikan kepada aset kewangan (financial assets) seperti saham dan aset bukan kewangan (non-financial assets) seperti tanah.

Berapakah nilai aset yang dipegang?

Selain dari wang yang ada nilai tersendiri, nilai aset-aset lain sentiasa berubah-ubah selepas ianya dimiliki. Contohnya, jika kita membeli sebidang tanah pertanian pada harga RM 100,000, berapakah harganya 3 tahun kemudian? Jika kita beli saham yang diapungkan di Bursa Malaysia pula, harganya turun naik setiap saat. Bagaimana pula jika kita beli saham syarikat persendirian? Tidak ada jual beli yang aktif, kan? Kalau nak jual pun, pada nilai apa?

Dari contoh di atas, jelaslah kepada kita bila nilai aset berubah dari nilai pegangan kita, ada yang kita boleh ketahui nilainya seperti saham dan emas dan ada yang memerlukan perkiraan dibuat untuk menganggar nilai aset-aset berkenaan seperti saham yang tidak disenaraikan dan juga tanah.

Nilai wajar dan rosotnilai aset

Dari segi perakaunan, nilai wajar (fair value) ialah harga yang diterima bila aset dijual di dalam satu urusniaga yang teratur di antara pemain pasaran di ketika pengiraan dibuat. Jika pada tarikh berkenaan, nilai pegangan (carrying value) melebihi nilai wajar, maka tidak ada rosotnilai bagi aset berkenaan. Sebaliknya, jika nilai pegangan berkurangan berbanding dengan nilai wajar, maka nilai aset berkenaan sudah merosot. Tindakan untuk mengurangkan nilai pegangan kepada nilai wajar inilah dipanggil rosotnilai.

Contohnya, jika saya memiliki 100,000 unit saham Syarikat A yang saya beli pada 1 Januari 2018 pada harga RM2 seunit, nilai pegangan saya ialah RM 200,000. Pada 31 Disember 2018, harga saham berkenaan di pasaran saham ialah RM 1.50. Maknanya, nilai wajar saham Syarikat A yang saya miliki sudah jatuh kepada RM 150,000, kurang RM 50,000 dari nilai pegangan saya. Jika saya mengubah nilai pegangan saya kepada RM 150,000, RM 50,000 yang dikurangkan itu adalah rosotnilai.

Katakan pada 30 Jun 2019, harga seunit saham Syarikat A ialah RM 1.80. Maknanya nilai wajar sudah berubah kepada RM 180,000, RM 30,000 lebih tinggi dari nilai pegangan saya. Jika saya dibenarkan untuk mengambilkira nilai wajar yang baru ini menurut piawaian perakaunan, nilai pegangan akan naik kepada RM 180,000 dan rosotnilai RM 50,000 yang dibuat sebelum ini dikurangkan kepada RM 20,000 sahaja.

Artikel ini tidak bertujuan untuk membincangkan berkenaan cara mengperakaunkan rosotnilai dan perubahan nilai wajar kerana ianya bergantung kepada jenis aset dan ciri-ciri mereka. Ada yang masuk penyata pendapatan, ada yang ke penyata pendapatan komprehensif. Biarlah ini dibincangkan oleh cikgu-cikgu perakaunan.

Pengiraan nilai wajar

Kaedah menilai nilai wajar kenalah bersesuaian dengan jenis aset yang dinilaikan. Nilai wajar dikira berdasarkan input-input pasaran. Ini penting. Walau bagaimana pun, tidak semua aset-aset menpunyai input pasaran yang jelas seperti saham di dalam syarikat persendirian.

Input-input yang digunakan ada 3 tahap:

Tahap 1

Ini merangkumi harga yang disebut (quoted price) di dalam pasaran yang aktif bagi aset yang sama. Kalau saham di bursa saham, kita boleh ambil harga penutup saham pada hari berkenaan. Jika kita menilai emas, kita boleh merujuk kepada harga emas bagu jenis yang sama yang ditawarkan di bursa komoditi.

Tahap 2

Ini merangkumi input selain dari harga yang disebut seperti di atas seperti harga saham yang disebut bagi saham yang hampir sama dengan saham yang dinilai. Pelarasan kepada input boleh dilakukan berdasarkan ciri-ciri perbezaan di antara aset yang dinilai dengan aset lain yang mana inputnya diambilkira.

Tahap 3

Jika input-imput tahap 1 dan 2 tidak ada, pengiraan nilai wajar dibuat dengan menggunakan input-input yang tidak boleh diambil dari pasaran yang ada. Ini memerlukan andaian-andaian yang bersesuaian dibuat dan nilainya bergantung kepada andaian-andaian berkenaan.

Biasanya di dalam mengira nilai wajar bagi aset-aset yang tidak ada pasaran aktif, model-model kewangan digunakan untuk menganggar jumlah aliran tunai dari aset yang dinilai bagi satu tempoh yang dikira wajar. Ini boleh berbeza dari satu aset ke satu aset yang lain. Nilai diskaun yang wajar juga perlu dikira untuk mempastikan nilai wajar yang dikira dibuat sehampir mungkin dengan input-input pasaran aktif.

8D542468-2A31-4248-90C2-85E8F52ABD13.jpeg

Tahap profesionalisma yang tinggi amat penting

Dari penerangan di atas, orang yang mengira nilai wajar dan rosotnilai perlu betul-betul melakukannya dengan profesional dan tidak boleh cenderung untuk mendapatkan nilai yang sesuai dengan apa yang berpihak kepadanya. Jika profesionalisma ini tidak ada, nilai wajar yang dikira mungkin tidak sesuai dan dipertikaikan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s