Saya telah dijemput oleh CPA Australia untuk berkongsi pandangan dan pengalaman berkenaan pembinaan kerjaya di dalam profesion perakaunan di Profesional Day – Malaysia anjuran mereka.
Di samping berkongsi apa yang saya lalui sebagai seorang akauntan profesional dan pengalaman saya di firman audit saya dan agensi kawalselia, saya memberi pesan kepada bakal-bakal akauntan supaya:
Belajar “bagaimana mahu belajar” kerana peningkatan ilmu berterusan adalah penting dan pembelajaran tidak habis bila mereka mendapat ijazah dari universiti. Kena ambil kelayakan profesional dan kena terus tambah ilmu dan kemahiran supaya sentiasa relevan kepada majikan atau pelanggan. Jika tidak tidak boleh membawa nilai yang orang mahu, nilai kita hilang.
Sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai profesional seperti integriti dan menjalankan tugas dengan berhati-hati (due care). Walaupun kita seorang akauntan yang pandai, tanpa nilai-nilai profesional, tidak ada beza di antara kita dan orang di jalanan yang tidak tahu menahu berkenaan perakaunan. Bolehkah kita yakin dan percaya dengan muka yang sentiasa kita pandang di dalam cermin setiap pagi ketika kita membersihkan gigi?
Sentiasa rendah diri kerana kedudukan yang kita ada adalah hasil dan sumbangan puluhan manusia yang berkorban untuk kita. Ibubapa kita, guru-guru kita, ketua di tempat kerja, rakan sepejabat dan pelbagai manusia lagi ada saham di dalam menjadikan kita manusia seperti sekarang. Oleh itu kena sentiasa bersyukur dan membantu orang lain supaya mereka menjadi lebih hebat dari kita.