Pemacu perubahan dan strategi perniagaan

PerubahanStrategi perniagaan secara mudahnya ialah apa yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan bagi perniagaan tersebut.

Tentunya untuk mendapatkan keuntungan, perniagaan yang berkenaan perlu menjual barangan atau perkhidmatan kepada pelanggan-pelanggan di dalam pasaran yang tertentu. Contohnya, jika mahu berniaga makanan, kena tetapkan jenis makanan yang mahu dijual, siapa pelanggan yang disasarkan dan bagaimana pelanggan tersebut boleh menikmati makanan yang kita sediakan. Kena juga tetapkan samada mahu membuka restoran atau hanya mahu berjual dari rumah saja.

Kesemua perkara di atas melibatkan penetapan pasaran, pemasaran, operasi, pematuhan, kewangan dan pengurusan modal insan. Perkara-perkara tersebut pula bukanlah tetap, banyak unsur yang sentiasa mempengaruhi mereka. Bagi saya, apa yang memacu perubahan ada 5 perkara:

Masyarakat

Masyarakat mempengaruhi perniagaan dengan pelbagai cara. Budaya, adat, keperluan seperti kemudahan asas, pendidikan, kesihatan dan pelbagai perkara lagi. Inilah sebabnya mengapa sesetengah perniagaan berjaya di satu tempat tetapi tidak berjaya di tempat lain. Mungkin selera orang Kelantan tidak sama dengan selera orang Negeri Sembilan. Jadi, makanan Kelantan yang manis mungkin tidak laku di kalangan orang yang suka makan pedas-pedas.

Teknologi

Tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan kita kini amat dipengaruhi oleh teknologi. Dari segi perhubungan pun sudah ketara. Seorang manusia boleh berhubung dengan ramai orang melalui pelbagai media. Ini seterusnya mempengaruhi pemasaran, pembelian, operasi perniagaan dan pelbagai aspek perniagaan yang lain. Sebab itulah perubahan teknologi merupakan perkara yang membuka peluang perniagaan yang lebih luas atau menjadi ancaman kepada perniagaan yang tidak sedar akan perubahan tersebut.

Ekonomi

Ekonomi adalah penjumlahan aktiviti manusia di dalam satu pasaran yang ditetapkan. Penggerak ekonomi utama adalah perusahaan, kerajaan, agensi kawalselia, pengguna, pembiaya, organisasi tidak membuat keuntungan dan banyak lagi. Di dalam zaman yang serba berkait ini, suasana ekonomi dunia atau rantau boleh mempengaruhi suasana ekonomi tempatan. Ini menjadikan kestabilan ekonomi menjadi satu perkara yang sudah tidak releven. Apa yang lebih utama ialah untuk mengetahui arah aliran ekonomi dan apa yang akan datang bersekali dengannya.

Alam

Unsur ini menjadi semakin penting kerana dua sebab yang besar. Pertama ialah kesan perubahan alam kepada perniagaan. Ketiadaan air sudah cukup untuk menggangu pelbagai perniagaan. Air berpunca dari alam dan banyak punca air sudah tercemar. Jadi menjaga alam sudah menjadi keperluan utama banyak perniagaan. Di samping itu, faktor kedua ialah sikap pelanggan kepada perniagaan yang mersa alam atau sebaliknya. Semakin ramai pelanggan yang menjadikan kemersaraan alam sebagai faktor untuk mereka memilih samada mahu berlanggan dengan mana-mana perniagaan atau tidak.

Peraturan

Peraturan adalah kehendah undang-undang atau agensi kawalselia yang perlu dipatuhi oleh kesemua perniagaan. Oleh yang demikian, mana-mana perubahan di dalam undang-undang atau peraturan akan mempengaruhi strategi dan operasi perniagaan yang berkenaan. Ada peraturan yang menyebabkan perniagaan boleh terjejas jika tidak dipatuhi dengan sempurna. Di antaranya ialah keperluan untuk mendapatkan lesen untuk beroperasi di dalam industri tertentu.

Jadi, apa yang usahawan perlu lakukan?

Pertama, kena petakan unsur-unsur utama bagi setiap pemacu perubahan di atas kepada perniagaan kita. Apa kesannya?

Kedua, kena sentiasa pantau perubahan di dalam unsur-unsur di atas agar kita tahu apa yang akan mempengaruhi perniagaan kita di dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.

Ketiga, ialah untuk menetapkan respon yang perlu jika ada perubahan. Di antara soalan yang perlu ditanya ialah perlukah strategi dan model perniagaan dikaji semula, pasaran di tukar, orang baru diambil dan nasihat perundangan didapatkan?

Sentiasa mengikuti perubahan pemacu perubahan dan memberi respon yang tepat pada ketika yang kena akan membantu supaya perniagaan menjadi lebih mantap dan lestari. Ini memerlukan perancangan dan usaha yang berterusan.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s