Ini adalah satu perkara yang amat mustahak di dalam menjalankan perniagaan. Mengapa? Kerana perniagaan dijalankan oleh pekerja dari jualan, pengeluaran dan pelbagai lagi, pekerja haruslah sentiasa teruja untuk melakukan apa yang dikehendaki dari mereka. Di dalam masa yang sama, mereka juga berharap mendapat sebahagian dari kejayaan dan perkembangan perniagaan.
Oleh yang demikian, kerangka imbuhan pekerja mestilah berdasarkan beberapa prinsip yang membawa kebaikan secara keseluruhannya.
Apakah yang diambilkira untuk membentuk kerangka imbuhan yang baik?
Pertama, gaji asas yang mengambilkira kelayakan, kemampuan dan tanggungjawab di dalam organisasi perniagaan. Amalan industri juga harus diperhatikan kerana pekerja sentiasa membandingkan pakej imbuhan dari syarikat-syarikat yang mempunyai kedudukan yang hampir sama.
Kedua, imbuhan berubah yang biasanya dikaitkan dengan prestasi pekerja. Ada dua isu di sini. Macamana untuk menentukan prestasi pekerja? Jika tiada panduan yang boleh dilaksanakan dengan adil, ini akan menimbulkan masalah. Yang satu lagi ialah kemampuan perniagaan membayar imbuhan ini jika kedudukan kewangannya tidak kukuh. Oleh yang demikian, adalah penting imbuhan ini dimasukkan di dalam bajet tahunan supaya ada peruntukan bila perlu dibayar.
Ketiga, imbuhan yang berkaitan dengan prestasi bahagian yang mana pekerja berkerja atau prestasi syarikat secara keseluruhan. Jangan lupa, pekerja mempunyai maklumat berkenaan prestasi syarikat. Jadi, jika syarikat membuat keuntungan yang besar dan tidak ada sedikitpun yang tempias kepada mereka, mereka mungkin mencari peluang di tempat lain.
Keempat, imbuhan berkaitan kesihatan pekerja. Ini sudah menjadi perkara yang wajib diambilkira. Dengan kos perubatan yang sentiasa meningkat, perkara ini tidak boleh diabaikan. Banyak syarikat yang menawarkan pakej yang menggalakkan pekerja menjaga kesihatan mereka seperti menampung kos ujian kesihatan. Lebih baik mempunyai pekerja yang sihat berbanding dengan bermurah hati membayar kos hospital bila mereka telah sakit.
Kelima, imbuhan berkaitan dengan pesaraan pekerja. Dulu-dulu, banyak syarikat yang menawarkan pencen yang ditetapkan. Sekarang, ini adalah amalan yang sangat mahal. Tren sekarang adalah menawarkan sumbangan untuk kepada tabung-tabung persaraan selain dari sumbangan wajib mengikut undang-undang.
Keenam, amalan industri. Ini penting kerana di dalam usaha untuk mendaptkan pekerja yang terbaik, kita kena bersiap untuk memberi yang terbaik dan termampu kepada pekerja yang memang menyumbang kepada perniagaan. Pekerja terbaik kita adalah calon pekerja terbaik orang lain. Di dalam masa yang sama, setengah perkerjaan diberi imbuhan dengan cara tertentu di dalam industri. Jika kita berbeza, ianya mungkin memberi kelebihan atau risiko kepada kita.
Kerangka imbuhan akan memberi peluang kepada perniagaan untuk menarik pekerja yang mereka mahu. Di dalam masa yang sama, iannya juga akan menjadi satu dari kaedah untuk mengekalkan pekerja yang cemerlang. Jika ini diabaikan, kita hanya ada pekerja yang orang lain tidak mahu, satu kedudukan yang tidak membantu.