Saya belajar ekonomi di tahun satu universiti walaupun fokus saya ialah perakaunan. Dipecahkan kepada dua matapelajaran, ekonomi mikro dan ekonomi makro. Kemudian saya ambil satu matapelajaran tambahan, kewangan antarabangsa. Ini memberi saya kefahaman berkenaan hubungan di antara perdagangan luar, nilai matawang dan kadar faedah.
Apa yang saya kongsikan di sini adalah apa yang saya faham dicampur dengan pemerhatian saya di sepanjang kerjaya saya di bidang perakaunan, perundingan perdagangan global, kawalselia pasaran, pengurusan aset dan perbankan. Saya tahu di dalam bidang ekonomi ini pun ada pelbagai mazhab dan pandangan. Jadi jika ada orang yang mempunyai pandangan yang berbeza, kita relex sajalah.
Ekonomi mikro merangkumi asas ekonomi yang paling penting, bekalan dan permintaan bagi satu-satu pasaran. Setiap barangan atau perkhidmatan yang dijual ada nilai utiliti (kegunaan) di mata pembeli. Mereka akan beli jika nilai utiliti berkenaan lebih tinggi dari harga yang perlu dibayar. Pada kuantiti yang tertentu, bila barangan yang dibekalkan sama dengan tahap permintaan, harga yang berkenaan adalah harga pasaran. Bila bekalan bertambah tetapi permintaan berkurangan, harga akan jatuh. Sebaliknya bila permintaan mengatasi bekalan, harga akan naik.
Apa yang menarik ialah harga tidak ada kena mengena dengan kos pengeluaran. Ianya bergantung kepada nilai di dalam jantunghati pembeli. Pengeluar akan membandingkan harga pasaran dengan kos pengeluaran. Jika harga padaran lebih tinggi dari kos, berbaloilah barangan atau perkhidmatan ditawarkan. Jika kos lebih tinggi dari harga, bailah duduk di rumah goyang kaki.
Bekalan juga dipengaruhi oleh persaingan. Jika satu barangan itu memberi untung yang tinggi, akan bertambahlah pembekal baru yang memasuki pasaran. Ini akan menyebabkan bekalan bertambah dan menekan harga untuk diturunkan. Sebab itulah produk baru biasanya dijual dengan harga yang tinggi dan kemudianya turun bila banyak pembekal lain yang menawarkan barangan dengan ciri dan fungsi yang hampir sama.
Ini kurang difahami oleh ramai orang termasuk akauntan. Di Malaysia ramai akauntan awam mahu harga minima ditetapkan ke atas perkhidmatan mereka. Saya amat tidak bersetuju dengan pandangan ini. Bagi saya mudah saja, jika kita tawarkan perkhidmatan yang ada nilai di mata pelanggan, mereka akan sanggup bayar jika kos perkhidmatan lebih rendah dari harga perkhidmatan. Memang saya tak popular di dalam isu penentuan harga.
Ekonomi makro pula membincangkan bekalan dan permintaan di peringkat negara. Maka dibincangkan juzuk-juzuk ekonomi sektor awam, swasta, kadar faedah, kadar tukaran wang asing dan beberapa perkara lagi seperti imbangan dagangan. Biasanya polisi monetari dan fiskal ditentukan berdasarkan kajian-kajian berasaskan prinsip-prinsip di atas. Di dalam suasana pasaran terbuka di peringkat serantau dan global, banyak perkara-perkara kompleks yang kena diambilkira.
Perbelanjaan kerajaan adalah satu faktor penting di dalam memacu ekonomi sesebuah negara kerana kerajaan adalah pelanggan terbesar bagi kebanyakan ekonomi. Kebelakangan ini, syarikat-syarikat global menjadi faktor penting juga kerana ada yang membeli melebihi jumlah yang dibelanjakan oleh kerajaan-kerajaan yang kecil. Dasar perbelanjaan kerajaan dipanggil dasar fiskal. Oleh kerana kerajaan dipengaruhi unsur-unsur politik, idealogi politik juga mempengaruhi corak perbelanjaan dan kaedah pencukaian kerajaan.
Satu lagi polisi penting di dalam ekonomi makro ialah polisi monetari. Di Malaysia, polisi monetari dikawal oleh Bank Negara Malaysia yang mempunyai kebebasan di dalam bidang ini. Perkara penting di dalam polisi ini ialah kadar faedah. Bank Negara mempengaruhi kadar faedah menerusi kadar yang digunapakai di dalam operasi kewangannya. Dari masa ke semasa, Bank Negara akan mengumumkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang akan mempengaruhi kadar faedah/keuntungan bank-bank di Malaysia.
Bila kadar faedah tinggi, kos pinjaman/pembiayaan juga akan naik. Ini akan menyebabkan permintaan ke atas hutang berkurangan dan secara tidak lansung akan mengurangkan pembelian secara hutang. Biasanya kadar faedah dinaikkan untuk memperlahankan perkembangan ekonomi dengan tujuan untuk mengawal inflasi. Jika ekonomi perlahan pula, kadar faedah diturunkan untuk menggalakkan pembelian secara hutang dan melajukan ekonomi. Seorang bekas orang kanan bank pusat memberitahu saya, “polisi monetari hanya boleh menarik ekonomi ke belakang, bukan menollak ke depan”.
Jika kita perhatikan unsur-unsur di dalam ekonomi mikro, makro dan antarabangsa, kesemuanya melibatkan gelagat manusia. Ingat lagi tentang nilai utiliti yang menjadi asas kepada hubungan antara bekalan, permintaan dan harga? Itulah perkara asas yang mewujudkan pelbagai jenis pasaran seperti makanan, pakaian, pengangkutan dan macam-macam bidang lagi yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Oleh kerana ini, pada pandangan saya, ekonomi adalah pemerhatian gelagat manusia di dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan keinginan dan kepentingan mereka yang boleh dinisbahkan kepada nilai kewangan.
Ada juga transaksi yang sukar untuk diterjemahkan di dalam Ringgit dan Sen seperti menanam sayur untuk makanan sendiri. Di dalam bukunya Revolutionary Wealth, Alvin Toffler yang merupakan seorang pemikir berpandangan bahawa sektor ini akan berkembang dengan wujudnya teknologi. Dia gelar perkara ini “prosumerism”, buat sendiri untuk kegunaan sendiri. Ini menyebabkan pengiraan data-data ekonomi makro menjadi semakin mencabar.
Bagi ekonomi yang berasaskan ekspot seperti Malaysia, perkembangan luar negara akan memberi kesan lansung kepada ekonomi tempatan. Misalnya jika rantaian bekalan di luar negara terganggu, pengeluaran di sini mungkin juga terjejas. Begitu juga bila berlaku perkara-perkara yang menyebabkan pengimpot barangan dan perkhidmatan dari Malaysia mengurangkan pembelian mereka, ekonomi kita juga akan menerima kesannya.
Satu lagi cabang pasaran yang berkembang di negara kita ialah kewangan sosial. Ini dipacu oleh insan-insan yang mahu membuat kebaikan tanpa mengharapkan pulangan kewangan. Mereka memberi derma kepada individu atau badan-badan yang mahu mencapai objektif-objektif sosial tertentu. Di dalam Islam pula ada konsep sedakah, zakat dan waqaf. Semua ini berpotensi besar untuk menjadi pemacu ekonomi yang berkesan di masa depan.
Saya nampak ilmu ekonomi ini penting untuk difahami oleh ahli masyarakat. Bukannya bertujuan untuk menjadikan mereka semua ahli ekonomi tetapi boleh memahami apa yang berlaku di sekeliling mereka. Dengan adanya asas ilmu ekonomi, mereka akan dapat menilai banyak perkara dengan lebih objektif, kurang bergantung kepada nafsu dan emosi. Bila berhujah di media sosial pun, guna hujah yang kelas sikitlah, bukan agak-agak sahaja.
Walau bagaimana pun, saranan saya untuk tidak beremosi ini juga mungkin tidak berapa tepat jika kita berbalik kepada pemacu bekalan dan belian, nilai utiliti. Bukankah nilai barangan atau perkhidmatan di mata pembeli di dalam banyak keadaan lebih dipengaruhi oleh nafsu dan emosi, bukan fungsi asasnya?
YBhg Datuk Nik, berapa lamakah time frame yang sesuai untuk kita menilai kebolehjayaan sesuatu strategi pemampanan ekonomi negara waima organisasi? Secara peribadi pemerhatian saya tak cukup financial year pun kadang kadang wujud tangan ghaib yang mengubah percaturan strategy yang sedang diimplimentasikan…
LikeLike
Secara peribadi saya lebih cenderung untuk menggunakan tempoh 3 tahun. Ini bukan bermakna tidak ada lansung perubahan ke atas apa yang dirancang. Kadang-kadang kena ubah juga bila andaian didapati tidak tepat atau ada perubahan mendadak di dalam persekitaran.
LikeLike
Sebagai usahawan kecil .”saya lah”, apa langkah2 perlu dan betul utk saya usahakan di mana Negara dan Dunia di landa Virus.
Ada org kata buat dan fokir strategi baru
Ada juga buat je iklan fb ad.
Ada minta niaga barang keperluan semasa
Dn macm2 saranan.
Boleh bagi tik ke Dato.
LikeLike