Bila Manfaat Pekerjaan Menjadi “Mahal”?

IMG_0763Bila ada eksekutif syarikat-syarikat dan badan-badan tertentu dibayar dengan imbuhan jutaan Ringgit, ada orang kata mahal. Betul ke?

Saya menimbulkan perkara ini kerana macam ada usaha untuk menghadkan manfaat eksekutif di negara ini. Saya akan bincangkan isu ini berdasarkan dua perspektif:

Meletakkan orang yang sesuai di tempatnya
Persaingan mendapatkan otak yang hebat

Kecemerlangan organisasi, samada perniagaan atau yang tidak berasaskan keuntungan, bergantung kepada orang yang berkerja di pelbagai peringkat di dalam organisasi berkenaan.

Dari segi tadbirurus, lembaga pengarah bertanggungjawab untuk mempastikan orang-orang yang diambil untuk memimpin perniagaan seperti CEO, CFO dan pelbagai pegawai kanan yang lain mampu membawa perniagaan berkenaan untuk mencapai visi dan misinya. Semakin besar perniagaan, semakin tinggi kriteria yang digunakan untuk memilih orang yang sesuai. Jika syarikat beroperasi merentas sempadan, hanya orang yang mampu menguruskan perniagaan demikian yang menjadi sasaran. Tentunya pilihan akan menjadi semakin terhad.

Seperti yang saya telah bincang sebelum ini, ada proses-proses tertentu di dalam membentuk kerja-kerja yang perlu dipenuhi dan skala imbuhan yang bersesuaian. Kebanyakan syarikat korporat di Malaysia mensasarkan imbuhan mereka berkadar dengan kedudukan mereka di dalam pasaran. Barulah berpeluang untuk mendapat orang yang layak.

Imbuhan yang dibayar biasanya diikat dengan tahap pencapaian yang tertentu. Jika orang yang diambil gagal untuk memcapainya, orang demikian akan dilepaskan dari jawatan, bukan disimpan dan dibela sehingga bersara.

Tanyalah mana-mana syarikat atau organisasi di Malaysia samada mereka senang untuk mendapat orang yang sesuai dengan kehendak mereka pada harga yang mereka mampu. Saya yakin majoriti dari mereka akan menyatakan susah!

Jika bakat dihadkan kepada warna kulit dan agama tertentu, kadar kesusahannya akan meningkat kerana mungkin bakat dengan kulit dan kefahaman berkenaan amat sedikit.

Semakin besar sesebuah syarikat atau perniagaan, semakin luas bidang persaingan mereka. Maknanya mereka bukan saja bersaing untuk mendapatkan otak yang hebat dengan pesaing di Malaysia malah turut bersaing dengan syarikat serantau dan global.

Bila persaingan untuk mendapatkan bakat menjangkau sempadan, tiba-tiba otak yang bagus di Malaysia menjadi murah. Jika mereka menyeberang sempadan di selatan ke Singapura, gaji kita menjadi kurang dari satu pertiga yang dibayar di sana. Malah, bagi pekerjaan yang sama, kadar manfaat nominal mungkin lebih tinggi dari di sini.

Adalah satu fakta negara seperti Singapura mendapat manfaat dari aliran bakat dari Malaysia. Mereka tidak perlu melabur untuk membina bakat tersebut, bayar saja bila ada pilihan yang tepat. Di zaman yang mana persaingan dipengaruhi oleh kualiti otak, ini adalah pengeluaran potensi yang merugikan di dalam tempoh jangkapanjang. Bila Tan Sri Hassan Merican berhenti dari Petronas, siapa yang terus menawarkan beliau peluang?

Ada orang politik membandingkan gaji eksekutif dengan gaji Perdana Menteri. Memang ini satu kenyataan yang popular dan memang itu kerja orang politik. Walaupun gaji Perdana Menteri dikatakan murah, kena semak juga elaun dan manfaat lain seperti jet eksekutif dan rumah serta kakitangan yang menyokong beliau. Apakah manfaat perubatannya? Berapa nilainya? Satu lagi perkara ialah itu jawatan politik yang memberikan kuasa untuk mentadbir negara. Sebab itu gajinya ditentukan secara politik, tidak dengan kaedah yang sama di dalam sektor perniagaan mahupun sektor awam yang memerlukan bakat yang sama dengan sektor swasta.

Memang perbezaan di antara manfaat eksekutif dengan kakitangan lainnya sudah menjadi satu isu di kebanyakan negara. Ini memang perlu ditangani, tapi bukan dengan kenyataan-kenyataan yang berbentuk populis tanpa sedar akan implikasi jangka panjang.

Mungkin bila edah baru mendapat kuasa sudah tamat dan realiti mula dirasai, topik ini akan dibincangkan dengan lebih rasional. Namun, sedikit sebanyak, kesannya sudah ada dan hanya masa akan menentukan samada menjadikan isu gaji sebagai isu nasional ini akan membawa kesan positif atau sebaliknya kepada negara, khususnya di sektor swasta yang mana ramai eksekutif mengambil risiko yang tinggi di dalam menjalankan kerja-kerja mereka.

Ingat, otak-otak yang hebat ini ada kaki. Mereka boleh melangkah keluar dari bilik mereka dan tidak balik-balik lagi. Kalau langkah mereka menjangkau sempadan, siapa untung, siapa rugi?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s