
Kesemua syarikat yang ditubuhkan di Malaysia didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Disamping berperanan sebagai pendaftar syarikat, SSM juga mempunyai tanggungjawab untuk menyelia syarikat-syarikat berkenaan dan mempunyai kuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang ke atas kesalahan di bawah Akta Syarikat.
Di samping SSM, ada dua lagi agensi yang mengawalselia syarikat-syarikat yang termasuk di dalam bidang mereka. Bank Negara Malaysia (BNM) mengawalselia sektor perbankan dan insuran manakala Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengawalselia pasaran modal. Secara pentadbiran SSM melepaskan tanggungjawab kawalselia kepada kedua-dua badan berkenaan bila ia membabitkan bidang agensi-agensi tersebut.
SSM kena selia beratus ribu syarikat pelbagai saiz, dari yang bermodalkan RM 1 kepada syarikat persendirian dan awam yang tidak disenaraikan yang bermodal berbilion Ringgit. Petronas islah sebuah syarikat awam yang tidak tersenarai.
Di dalam masa yang sama, ada syarikat persendirian yang menjalankan perniagaan yang mempunyai kesan kepada awam seperti syarikat yang memegang konsesi perkhidmatan awam. Ada juga syarikat yang dimiliki oleh badan-badan awam seperti Khazanah Nasional, Tabung Haji, Kumpulanwang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Amanah Pencen dan seumpamanya. Di kebelakangan ini, kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan menggunakan banyak Special Purpose Vehicle yang berupa syarikat persendirian untuk menjual bon dan sukuk bagi membiayai projek-projek tertentu.
Jelas sekali tidak kesemua syarikat-syarikat di bawah kawalselia SSM mempunyai kesan yang sama ke atas kepentingan awam jika tadbirurus mereka gagal dan menghadapi kerugian yang besar. Oleh itu, kawalselia syarikat-syarikat di Malaysia perlulah dijalankan berdasarkan risiko mereka ke atas kepentingan awam.
SSM boleh menggunakan model kawalselia yang digunapakai oleh BNM atau SC bagi memantau dan menyelia syarikat-syarikat berkepentingan awam yang berisiko tinggi ini, khususnya dari perspektif samada lembaga pengarah mereka telah melaksanakan tanggungjawab fidusiari seperti yang dikehendaki oleh Akta Syarikat dan undang-undang.
BNM dan SC menggunakan pendekatan proaktif di dalam seliaan mereka. Ada syarikat yang perlu menyerahsimpan maklumat tertentu secara berkala dan ada pemeriksaan berkala bagi syarikat atau institusi kewangan yang mana perniagaan mereka memberi kesan besar ke atas masyarakat seperti bank, insuran, bursa dan broker saham. Ini boleh dijadikan contoh oleh SSM.
Bagi kes-kes yang melibatkan rasuah dan salahguna kuasa, biarlah itu diuruskan dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau Polis DiRaja Malaysia.
Bila pendedahan dibuat berkenaan kemungkinan salahlaku di syarikat-syarikat kerajaan, tidak banyak kenyataan yang dibuat oleh SSM setakat ini. Yang dimaklumi hanyalah maklumat seperti pemberian lanjutan masa kepada 1MDB untuk menyerahsimpan penyata kewangan berkanun mereka. Bila juruaudit 1MDB mengumumkan bahawa pendapat audit mereka ke atas 1MDB sudah tidak boleh dipakai, rakyat tertanya-tanya akan kedudukan undang-undang berkenaan perkara ini. Hanya SSM yang boleh memberikan penjelasan kerana ini adalah di bawah bidang kuasanya.
Mana-mana kesalahan yang melibatkan kegagalan pengarah untuk menjalankan tugas berkanun mereka, terutamanya tanggungjawab fidusiari, haruslah disiasat dan diambil tindakan. Tak kiralah syarikat kecil atau besar. Namum, SSM kena beri perhatian khusus kepada syarikat milik kerajaan dan yang menjalankan perkhidmatan awam kerana kesannya akan ditanggung oleh pembayar cukai dan rakyat. Mungkin mereka tertanya-tanya apakah langkah yang sudah diambil oleh SSM berikutan dengan pelbagai pendedah berkenaan syarikat berkaitan kerajaan di kebelakangan ini. Tentunya ada perspektif tanggungjawab fidusiri yang bukan menjadi tanggungjawab polis atau SPRM.
Jika tindakan dan siasatan sudah dibuat, eloklah dimaklumkan kepada rakyat. Ini tentunya akan meningkatkan kepercayaan rakyat kepada institusi kerajaan seperti SSM.