Sepanjang kareer profesional saya, saya telah banyak kali terlibat di dalam pembentukan strategi, samada strategi syarikat, industri atau nasional. Strategi penting agar arah tuju organisasi jelas dan sumber yang sewajarnya dibekalkan kepada projek-projek yang perlu untuk mencapai misi dan visi organisasi.
Biasanya pihak yang terlibat menggunakan pemudah cara (facilitator) luar untuk membantu dari segi proses dan maklumat. Pihak pemudah cara akan berbincang dengan pengurusan dan juga pengarah untuk memahami lebih terperinci cabaran strategik mereka dan arah tuju yang diharapkan. Mereka juga akan memberikan data dan maklumat yang berkaitan agar kesemua pihak yang terlibat berada di tahap yang sama (at the same page).
Proses pembentukan strategi mungkin berbeza dari satu pemudah cara ke pemudah cara yang lain. Namun, matlamat dan natijahnya sama, menetapkan misi dan visi organisasi dan apa yang perlu dilakukan untuk sampai ke siti. Apa yang perlu dilakukan itulah strategi yang perlu juga mempunyai hasil (outcome) yang jelas supaya pencapaian dapat dinilai.
Ada proses yang memerlukan senario industri dibentuk supaya strategi yang dirangka dapat diuji dengan senario-senario yang berbeza. Ada organisasi yang memetakan kedudukan industri dan menetapkan kedudukan mana yang mereka mahu capai dengan mengambilkira kekuatan dan kelemahan pesaing. Ada yang hanya melihat kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman dari perspektif pengurusan saja.
Walaupun pengakhirannya nampak sama, perbezaan kaedah boleh juge mempengaruhi keunggulan strategi yang dibentuk. Oleh kerana strategi ialah jalan ke masa depan, banyak andaian-andaian yang dibuat. Kaedah pembentukan strategi boleh juga mempengaruhi kualiti andaian atau sejauh mana mereka hampir kepada realiti.
Namun, tanpa pemudah cara pembentukan strategi mungkin bertambah rumit kerana tidak ada pihak yang mengimbang pandangan, saranan dan keputusan pihak atasan syarikat. Pemudah cara boleh memberikan peluang kepada peserta lain untuk memberikan pandangan tanpa rasa takut.
Pada akhir proses pembentukan strategi, pihak kepimpinan seharusnya mempunyai kejelasan ke mana arah tuju organisasi dan cara mencapainya. Biasanya ada beberapa strategi umum yang dipersetujui, dalam 3 ke 7 perkara. Kalau banyak sangat takut tak terbuat atau pun menggambarkan strategi kurang manpan.
Pihak pengurusan kemudiannya akan memperincikan lagi setiap strategi dengan pelan tindakan, keperluan sumber, tempoh masa dan kaedah menilai pencapaian.
Akhir sekali, pembentukan strategi lebih mudah dari perlaksanaan strategi. Strategi yang hebat hanya hebat setakat mana ianya dilaksanakan. Ini perlu kepada diadakan satu pasukan khas untuk memantau perlaksanaan strategi.
Jika tidak dilaksanakan, strategi hanya tinggal dokumen cantik yang difailkan untuk dirujuk di masa depan sahaja.