10 Zulhijjah ialah sehari selepas hari Wukuf, puncak kepada rehlah haji. Dari Zuhur hingga Maghrib 9 Zulhijjah, jemaah haji bermunajat kepada Allah, memohon dan mengharapkan keampunan dariNya dan kekebasan dari api neraka. Rasulullah bersolat Zuhur dan Asar secara jama’ takdim dan qasar di sini.
Ini adalah di antara detik-detik terpenting di dalam keseluruhan ibadah ini. Rasulullah bermunajat dan berdoa terus-menerus sehingga para sahabatnya tidak berani menggangunya. Mereka memberinya susu. Bila Baginda minum, tahulah sahabat baginda tidak berpuasa pada hari Arafah.
Dari Arafah jemaah haji akan bermalam di Mudzalifah. Bersolat Maghrib, Isya dan sebolehnya Subuh seperti apa yang Rasulullah telah lakukan. Semuanya di bawah langit terbuka, di tanah kering dan betul-betul bergantung kepada lindungan Allah.
Bila sampai di Mina ramai jemaah masih keletihan. Ada yang tidak cukup tidur. Ketika itulah pagi Aidil Adha menjelang. Namun itu bukan tumpuan mereka. Ibadah seterusnya ialah melontar jumrah Aqabah dan bercukur untuk bertahlul awal dan keluar darimihram. Jadi, sarapan pagi pun ala kadar sahaja. Mee segera menjadi hidangan yang popular. Berbeza dengan juadah hari raya di negara sendiri.
Memerhatikan bagaimana umat Islam menyempurnakan ibadah haji amat menarik. Ada yang betul-betul apa yang minima untuk mendapat haji yang sah dan membayar dam jika perlu. Ada yang benar-benar mahu mengukut manasik haji Rasulullah saw. Semuanya bergantung kepada ilmu dan setakat mana mereka mahu ibadah yang mungkin hanya dilakukan seumur hidup ini sehampir mungkin dengan cara Rasulullah saw.
Malah bagi mereka yang mahu mengikut manasik haji Rasulullah saw, ianya bermula dengan pemilihan pemberi khidmat haji itu lagi. Kini ada perkhidmatan haji yang mengatur perjalanan haji pelanggan mereka sehampir mungkin dengan apa yang telah dijalankan oleh Baginda semasa mengerjakan haji. Ini termasuk membawa jemaah ke Mina pada 8 Zulhijjah sempena hari Tarwiyah. Dari situlah Baganda mengadakan persiapan termasuk mengumpul air sebelum ke Arafah pada 9 Zulhijjah. Ada juga amalan-amalan tertentu yang mungkin berbeza dengan kelaziman yang diamalkan di kalangan orang sekarang.
Bagi yang sudah melalui pengalaman ini, mee segera memberi makna yang berbeza dari apa yang mereka makan semasa di sekolah dahulu.
Semoga Allah kurniakan haji yang mabrur kepada kesemua jemaah haji tahun ini.