Peluang Dan Risiko Melabur Di Pasaran Saham

IMG_7937Latarbelakang

Sahabat FB saya Todd Majid ada tag saya bila beliau kongsi artikel berkenaan pelabur kecil tidak berjual beli di Bursa Malaysia. Mengikut penulis, kebanyakan syarikat yang disenaraikan tidak untung seperti syarikat asing dan tidak membayar dividen. Jadi saya janji dengan beliau untuk kongsi pandangan saya.

Apakah peranan utama pasaran modal (capital market)? Namanya pun sudah memberi bayangannya. Pasaran modal merangkumi ekuiti (saham), bon/sukuk (pendapatan tetap) dan derivatif (campuran pelbagai jenis kontrak). Mana-mana perniagaan yang cukup syarat boleh menawarkan ekuti mereka di bursa saham, bon/sukuk pula diniagakan secara Over The Counter (secara lansung di antara penjual dan pembeli dan dihadkan kepada pelabur sofistikated) manakala derivatif juga terhad kepada pelabur sofistikated.

Jadi saya akan hadkan perbincangan saya kepada ekuiti/saham.

Pengasas syarikat biasanya memulakan perniagaan dengan modal peribadi mereka. Bila perniagaan semakin besar mereka perlukan lebih banyak modal. Mereka boleh cari pembiayaan dari bank tetapi ini akan meningkatkan risiko kerana pembiayaan ini kena dibayar balik dengan kos. Satu cara lain inilah dengan mencari pelabur lain dan membesarkan saiz saham syarikat. Pemegang saham tidak akan mendapat balik modal mereka melainkan bila syarikat dibubarkan sahaja. Dia berharap mendapat dividen bila syarikat untung dan mendapat keuntungan modal bila saham dijual kepada orang lain pada harga yang lebih tinggi.

Bursa saham diwujudkan sebagai platfom supaya syarikat yang layak boleh mencari modal dan pelabur boleh membeli dan menjual saham mengikut selera risiko mereka.

Penzahiran adalah paling penting di pasaran saham supaya orang yang membeli dan menjual mempunyai maklumat yang sama. Tidak sepatutnya ada “information asymmetry” bila satu pihak ada lebih maklumat berbanding dengan pihak yang lain. Sebab itu ada prospektus, serahsimpan laporan tahunan, laporan kewangan setiap suku tahun dan pengumuman dari syarikat jika ada perkembangan atau maklumat penting yang boleh memberi kesan kepada harga saham.

Setiap dagangan saham perlu dibuat melalui syarikat broker yang akan menetapkan seorang remiser kepada setiap pelanggan. Remiser ini bertanggungjawab untuk memastikan syarat dagangan dipenuhi. Walaupun sekarang jualbeli boleh dibuat melalui sistem dan secara lansung oleh pelabur, tanggungjawab untuk menyelia masih ditanggung oleh syarikat broker dan remiser yang berkenaan.

Setiap jual beli saham dibuat melalui sistem Bursa Malaysia yang mana tawaran untuk menjual dan membeli (buy and sell bids) boleh dilihat oleh penjual dan pembeli. Ini merangkumi maklumat seperti jumlah dan harga saham yang mahu didagangkan pada setiap harga yang berbeza. Sistem bursa akan memadankan tawaran-tawaran ini (bila harga jual dan beli padan) dan transaksi akan disempurnakan bila ada pembayaran dan perpindahan hak milik berlaku.

Bursa Malaysia bertanggungjawab untuk mewujudkan sistem, membuat peraturan dan memantau dagangan. Mereka digelar “frontline regulator” atau pengawalselia utama. Suruhanjaya Sekuriti pula berperanan untuk menyelia Bursa Malaysia di dalam tugasan mereka dan boleh mengambil tindakan melalui Bursa Malaysia atau secara lansung.

Mengenalpasti risiko dagangan

Bolehkah kita mendapat pulangan tanpa risiko? Bagi kebanyakan orang, kadar pulangan dengan melabur di dalam bon/sukuk kerajaan dirujuk sebagai kadar pulangan tanpa risiko kerana kerajaan tidak akan mungkir untuk membayar balik bon/sukuk yang mereka terbitkan. Kalau hari ini mungkin di antara 3.5 hingga 4 peratus bergantung kepada tempoh matang. Lagi lama lagi tinggi. Bagi orang awam, deposit di bank boleh diambil sebagai pulangan tanpa risiko kerana RM 250 ribu deposit dijamin oleh PIDM.

Oleh itu bila melabur di dalam aset yang lebih tinggi risikonya, pulangan yang diharapkan tentunya lebih tinggi kerana adat pelaburan ialah, lebih tinggi risiko, lebih tinggi pulangan (high risk, high return). Bila sebut adat, kena ingat, ia tidak berlaku setiap masa.

Ramai juga orang yang memasuki pasaran saham untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi dari deposit di bank. Adakah semuanya berjaya? Untuk mendapatkan keuntungan kita kena beli bila harga murah dan jual pada harga mahal. Senang kan? Tapi, macamana nak tahu samada harga mana-mana saham tu murah atau mahal?

Harga saham di bursa saham di mana-mana saja dipengaruhi oleh pelbagai faktor, di antaranya:

Asas-asas syarikat – ini melibatkan kekuatan syarikat seperti kedudukan di dalam industri, saiz perniagaan, keupayaan menjana keuntungan secara konsisten, peluang masa depan, siapa yang memiliki dan menjalankannya, tahap tadbirurus dan banyak unsur-unsur lain lagi.

Jangkaan arah tuju industri – setiap industri ada kitaran daya maju masing-masing. Contohnya, industri perumahan sedang menghadapi tekanan kerana banyak rumah yang tidak boleh dijual. Industri berasaskan ekspot seperti sarung tangan getah amat berpotensi bila matawang Ringgit menurun berbanding dengan Dollar kerana bagi jualan yang sama, perolehan di dalam Ringgit lebih tinggi.

Bilangan saham yang boleh dijualbeli – walaupun 100% saham yang diapungkan, pemilik atau pemegang saham yang mengawal syarikat tidak akan menjual sebahagian besar saham yang ada. Oleh itu jumlah saham yang bebas diniagakan (free float) bergantung kepada gelagat pemegang saham yang besar-besar ini. Lagi tinggi free float, lagi cair jual beli saham dan biasanya akan menyebabkan harganya juga lebih tinggi kerana senang orang berjual beli.

Sentimen pasaran – ni macam musim raya lah, semua orang bersemangat untuk membeli pelbagai barang. Pasaran saham pun ada musim atau sentimen yang mempengaruhi jumlah jualbeli saham dan harga. Sentimen boleh dipengaruhi oleh unsur tempatan atau pun global. Kalau Wall Street naik, banyak pasaran-pasaran lain naik. Sebaliknya pun boleh terjadi. Mengapa ya? Pelabur, kecil dan besar melabur di pelbagai pasaran di serata dunia, jadi mereka sentiasa mengimbangi (balance) potfolio mereka secara global juga. Unsur-unsur tenpatan seperti unjuran ekonomi, perkembangan politik dan isu-isu semasa yang besar boleh mempengaruhi sentimen pasaran tempatan.

Manipulasi harga saham – walaupun pasaran saham di mana-mana negara diselia dengan rapi, masih ada penjenayah-penjenayah yang memanipulasi harga saham untuk membuat keuntungan. Mereka menggunakan pelbagai teknik untuk menyakinkan orang lain bahawa arah tuju harga saham yang mahu dimanipulasi dipengaruhi oleh faktor pasaran, bukan kerana kerja jahat mereka. Sekali sekala mereka tertangkap kerana badan kawalselia memang sentiasa berusaha untuk mengurangkan manipulasi dengan pelbagai cara termasuk dengan menggunakan teknologi canggih. Sebenarnya data urusniaga kita termasuk pesanan yang dibatalkan dikumpul dan dianalisa secara real time oleh sistem Bursa Malaysia.

Penggunaan teknologi – setiap hari semakin banyak pihak yang berdagang dengan menggunakan teknologi untuk menang di dalam pasaran. Pelbagai algorithma digunakan dan kadar kecepatan membuat pesanan (beli atau jual) sudah dikira di dalam mikro saat. Ini dipanggil “latency”. Di pasaran yang besar dan cair serta murah kos transaksinya, lagi banyak algorithma yang digunakan dan mereka boleh berperang sesama sendiri. Jika kita hanya main acah-acah saja, boleh kah kita berlawan?

Sebenarnya ada banyak lagi unsur yang mempengaruhi harga saham setiap saat. Jadi, berhati-hatilah jika mahu mencuba nasib untuk berdagang secara lansung.

Bila kita berjual beli saham, apa yang dijual dan dibeli adalah asas-asas seperti unsur pertama yang saya tulis di atas. Yang lain itu lebih kepada yang mempengaruhi arah aliran psaran. Jika kita tak tahu apa-apa pun berkenaan dengan apa yang kita jual dan beli kerana ikut orang sahaja, baik rujuk kepada ustaz yang faham berkenaan dengan kedudukan shariah urusniaga kita itu.

Potfolio pelaburan dan unit amanah

Ada orang yang beli saham semata-mata nak jual dengan harga yang tinggi. Seperti yang saya bincang semalam harga saham dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Jika beli dengan agak-agak atau ikut orang tanpa mengetahui gambaran yang lebih besar, duit kita boleh hangus. Sebab itu melabur ni risikonya tinggi.

Di samping keuntungan modal seperti di atas, ada pelabur yang melabur untuk dividen dan keuntungan modal jangka panjang. Setiap bursa saham akan mengeluarkan indeks pasaran yang menggambarkan turun naik nilai saham secara keseluruhannya.

Jadi, orang yang berfikiran jangka panjang ini akan mengumpul saham-saham ke dalam satu potfolio dan menilai prestasi pelaburan mereka berdasarkan sejauh mana nilai saham ini naik atau turun berbanding dengan indeks yang berkenaan.

Contohnya jika indeks pasaran saham yang berkenaan naik 10% dalam setahun manakala nilai potfolio kita naik 12%, maknanya prestasi potfolio kita lebih baik berbanding dengan pasaran.

Potfolio yang kita bina boleh dibentuk mengikut objektif pelaburan dan selera risiko yang kita ada. Jika nak aggresif, kita mungkin kumpul saham-saham yang berbentuk spekulatif, asas-asasnya tak berapa kukuh tetapi sentiasa turun naik. Ada pula yang berbentuk lebih konservatif, kutip saham-saham yang asasnya kukuh dan biasa membayar dividen walaupun harganya lebih stabil. Boleh juga dicampur kedua-dua jenis saham ini supaya ada kedua-dua unsur. Bila ini dibuat, ianya kurang stabil tetapi ada peluang untuk mengambil keuntungan modal bila ada saham yang naik harganya.

Kalau dana yang kita ada kecil, keupayaan kita untuk menghadapi turun naik harga secara harian adalah kecil berbanding dengan dana yang saiznya lebih besar kerana jenis saham yang mampu dikumpul di dalam dana yang kecil lebih terhad dan sebarang perubahan kecil di dalam mana-mana saham dikira besar dari segi potfolio secara keseluruhan.

Potfolio yang kita bina kena sentiasa dianalisa dan jika perlu diubah. Ianya diubah dengan menjual saham lama dan diganti dengan saham baru berdasarkan objektif dan risiko yang kita mahu. Dalam istilah pengurusan potfolio ini dipanggil “re-balancing” dan biasanya dibuat secara berkala seperti setiap 3 bulan atau bila perlu berdasarkan kedudukan pasaran dan isu-isu berkaitan dengan kaunter-kaunter yang kita ada.

Satu cara yang lebih mudah ialah melabur melalui saham amanah (unit trust). Pengurus dana yang menerbitkan unit-unit saham amanah ini akan melaburkan duit kita secara berkumpulan. Setiap dana ada objektif dan risiko masing-masing. Kita boleh pilih bila kita baca butiran di dalam prospektus yang dikeluarkan untuk setiap dana.

Sejarah prestasi unit amanah akan juga dizahirkan supaya kita faham setakat mana dana berkenaan sudah membawa keuntungan atau sebaliknya. Biasanya kena tunggu satu kitaran pelaburan (investment cycle) dalam 5 ke 7 tahun untuk mencapai hasil yang dihajati.

Bila melabur di dalam unit amanah, kita akan dikenakan caj jualan dan caj tahunan yang akan dizahirkan secara jelas di dalam prospektus atau helaian yang menerangkan perkara-perkara penting berkenaan dana tersebut (product highlight sheet).

Bila melabur, selera risiko kita akan mempengaruhi jenis aset/saham yang kita pilih. Jika nak selamat, pulangannya pun sederhana, asalkan melebihi kadar pulangan tanpa risiko seperti yang saya telah bincangkan sebelum ini. Bagi orang yang mempunyai selera yang tinggi terhadap risiko, dia akan redah sahaja termasuk membeli mana-mana saham yang dikatakan akan naik harganya tanpa apa-apa kajian. Halal haram pun tak kisah asal ada untung. Tepuk dada tanya selera risiko.

Nisbah harga kepada pendapatan

Seperti yang saya kongsi sebelum ini, ada banyak faktor yang mempengaruhi harga saham. Jika harga ditentukan berdasarkan asas-asas syarikat dan perniagaan, tak kan lah ianya bertukar-tukar berkali-kali dalam sehari kerana harga saham boleh turun naik setiap minit.

Satu perkara yang boleh membantu kita untuk mengetahui samada harga satu-satu saham itu munasabah atau tidak ialah Price-Earnings Ratio (PER) atau pun nisbah harga kepada pendapatan.

PER dikira dengan membahagi harga saham dengan keuntungan sesaham yang biasanya termaklum melalui maklumat di bursa saham. Dari PER kita boleh tahun berapa lamakah modal yang kita labur untuk membeli saham tersebut boleh kita dapat balik melalui keuntungannya.

Contohnya, Syarikat A membuat keuntungan selepas cukai berjumlah RM 5 juta. Ia ada 20 juga saham. Pendapatan sesaham ialah 40 sen. Katakan harga saham Syarikat A ialah RM 4, ini bermakna jika kita melabur di dalam saham Syarikat A dan kadar keuntungannya berterusan, kita akan dapat balik modal selepas 10 tahun (4/0.4).

Purata PER di Bursa Malaysi adalah dalam 16. Ini bermakna, secara purata, kita kena tunggu 16 untuk dapatkan balik modal kita melalui keuntungan. Walau bagaimana pun PER saham-saham banyak yang melebihi 16 kali ni.

Kita ambil contoh 2 saham syarikat telekominikasi, Telekom Malaysia dan DIGI.

Semalam harga saham dan PER mereka adalah seperti berikut:

Telekom Malaysia – Harga: RM 2.82 PER: 69.02

DIGI – Harga: 4.51 PER: 23.44

Walaupun harga saham Telekom Malaysia lebih murah tetapi ianya adalah 69 kali ganda keuntungannya berbanding dengan saham DIGI yang lebih mahal tetapi hanya 23 kali ganda keuntungan.

Apa yang saya ingin kongsikan ialah PER akan membantu kita untuk mendapat gambaran tentang kedudukan harga satu saham berbanding dengan yang lain. Yang mana nak beli tu bergantung kepada perkara-perkara yang saya bincangkan sebelum ini. Kena ada strategi dan analisa, jangan main ikut orang sahaja.

1 Comment

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s