Semalam keluarga kami berkumpul di Laman Pok Nik di Batang Kali. Biasanya kami akan cari peluang untuk bersama di hujung tahun. Kali ini, kerana anak saya Hazim baru melansungkan pernikahannya, kami berkumpul di Kuala Lumpur untuk acara sambut menantu hari ini.
Inilah pertemuan kami beramai-ramai yang pertama di sini. Setiap keluarga menyediakan sedikit juadah untuk kami kongsikan bersama-sama. Bagi anak-anak kecil, Sungai Batang Kali yang mengalir bersebelahan dengan tanah ini menjadi tarikan. Airnya jernih dan sungai pun tak dalam. Apa lagi, semuanya mandi manda dan bermain-main di dalam air sejuk yang mengalir perlahan-lahan ini.
Selepas main air, semuanya menjamu selera dengan kambing dan ayam bakar yang dimakan bersama nasi lemak dan mee hoon goreng. Masa tu lah kami berbual-bual, bergurau senda dan mengusik pengantin baru yang hadir bersama. Bila lagi nak kacau mereka, kan?
Seperti biasa, banyak foto-foto diambil untuk merakamkan babak kehidupan kami ini. Tentunya ianya amat bermakna kepada generasi yang baru kerana dengan bergaul dengan generasi yang lama, mereka akan juga belajar pengalaman dan prinsip kehidupan kami. Harapnya, itu semua akan menjadi panduan mereka di dalam menghadapi kehidupan masing-masing.
Kebun dan sungai yang mengalir dijadikan janji oleh Allah kepada orang-orang yang beriman di Akhirat nanti. Bagi orang yang tinggal di Khatulistiwa pun akan berasa bahagia bila berada di tempat-tempat seperti ini. Semoga Allah jadikan Laman Pok Nik sebagai tempat yang membawa manfaat kepada hamba-hambaNya.