Ahli Syurga dan Tadbir Urus

Semalam saya sekali lagi dijemput untuk bersembang-sembang berkenaan tadbir urus oleh sebuah syarikat universiti. Walaupun kena jaga cucu, saya luangkan masa untuk berkongsi sedikit pandangan saya berkenaan topik penting ini.

Sebelum ini saya akan menjadikan kod tadbir urus korporat yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti sebagai asas perbincangan. Namun, di kebelakangan ini, saya lebih cenderung untuk merujuk kepada tradisi Islam yang memang kaya dengan panduan berkenaan tadbir urus di zaman Rasulullah SAW dan para Sahabat baginda.

Cerita kegemaran saya ialah apabila seorang ahli syurga mengaudit seorang ahli syurga yang lain di atas dasar untuk mempastikan amanah yang diberikan tidak disalah guna. Saya merujuk kepada episod Umar Al Khattab memeriksa rumah Abu Ubaidah Al Jarrah yang merupakan Gabenor Syam di zaman Umar. Memeriksa kekayaan pegawai-pegawai di bawahnya menjadi satu kaedah pentadbiran di zaman Umar. Jadi, bagi orang agama yang mendakwa tidak ada konsep pengisytiharan harta di dalam Islam atau pun pengisytiharan harta ini amalan komunis kena cari kitab sirah pulalah untuk dirujuk.

Walaupun Abu Ubaidah sudah mengingatkan Umar bahawa Umar akan menangis apabila melihat kediamannya, Umar tetap mahu melihat sendiri sebesar mana dan bagaimana keadaannya rumah Abu Ubaidah. Akhirnya Umar memang benar-benar menangis apabila mendapati Abu Ubaidah, Gabenor wilayah Syam yang dipengaruhi oleh tradisi Rom yang mengagungkan kekayaan, hanya tinggal di dalam sebuah rumah kecil dan di dalamnya hanya ada pedang, baju besi dan sedikit alatan memasak.

Di dalam tangisan itu, Umar mengucapkan pujian kepada Abu Ubaidah “dunia boleh menipu orang lain tetapi tidak kamu Abu Ubaidah”.

Kedua-dua karektor di dalam kisah pendek ini adalah Sahabat Rasulullah SAW yang dijamin akan masuk syurga oleh baginda. Bukannya sekadar mimpi orang-orang yang mengantuk dan sentiasa khayal. Kita sudah tahu kedudukan Umar Al Khattab di sisi Rasulullah. Abu Ubaidah pula diiktiraf oleh Rasulullah SAW sebagai Amin (orang yang paling amanah) bagi umat ini. Jika diambil kira status mereka sahaja, tidak perlulah Umar bersusah payah untuk meneliti samada Abu Ubaidah jujur atau tidak di dalam menjadi Gabenor. Namun, Umar ada proses tadbir urus yang perlu dilaksanakan. Dia juga tidak membezakan ke atas siapa peraturan itu dilaksanakan. Ahli syurga atau tidak, semua orang dikenakan peraturan yang sama.

Dalam pemerhatian saya, kisah di atas ada disebut di masjid-masjid dan surau-surau. Namun, perspektifnya mungkin lebih menjurus kepada perbincangan berkenaan kezuhudan. Bukannya berkenaan perlunya ada rangka kerja tadbir urus dan pelaksanaan peraturan yang adil ke atas semua manusia.

Saya percaya terdapat amat banyak rujukan di dalam khazanah keilmuan Islam berkenaan tadbir urus dan penjagaan amanah. Namun, mungkin kerana orang-orang yang membincangkan berkenaan agama Tuhan ini tidak terdedah kepada isu-isu pentadbiran dan pengurusan, ajaran Islam di dalam bab pentadbiran dan pengurusan tidak sampai kepada pendengar termasuk majoriti pengundi Islam. Yang sampai hanyalah undang-undang tertentu yang dijadikan sebagai mercu tanda Islam. Jadi, itulah yang dituntut oleh pengundi yang mahukan Islam, bukannya pentadbiran dan pengurusan yang amanah dan penjagaan harta benda dengan penuh adil dan tanggungjawab agar hasilnya dirasai oleh setiap warga dengan saksama tanpa mengira bangsa dan agama.

Sekiranya kita sendiri yang “mengsekularkan” Islam seperti yang ada sekarang, isu-isu kecurangan tadbir urus dan juga jenayah korupsi akan terus menjadi bala kepada masyarakat kita. Apakah bala yang lebih besar jika orang-orang yang korup dan mencuri berjuta-juta dijulang di kala masyarakat mahu undang-undang memotong tangan pencuri di pasar basah dilaksanakan? Harta negara boleh disalah gunakan di atas alasan derma politik dan tidak ada pengundi yang menolak sumbangan dari derma-derma demikian, malah terus mengundi orang yang menabur duit dari sumber itu.

Saya amat takut sekiranya kita tidak mengubah sikap untuk menjadikan tadbir urus sebagai satu tuntutan yang serius dan tidak memperdulikan kecurangan pentadbiran dan pengurusan asalkan kita “masyukk”, Allah akan merekodkan kita sebagai orang-orang yang mempusakakan korupsi, rasuah dan salah guna kuasa kepada cucu cicit kita. Ini adalah satu perkara yang amat malang dan menakutkan apabila kita tercegak di hadapan Allah untuk dihisab di hari kiamat.

Semoga Allah kurniakan kita taufiq, hidayah dan keberanian untuk melakukan apa yang sebenarnya adalah tradisi Islam di dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s