Akauntan Hanya Tahu Kawal Kos Sahaja?

Di dalam perniagaan, akauntan biasanya dikenali sebagai makhluk yang kerjanya mengawal kos. Sehinggakan ada kalimah omputih “an accountant is a person who knows the cost of everthing but value of non” – akauntan ni hanya tahu kos sahaja, tak faham pasal nilai. Betul ke?

Jika kita pandang kiri kanan, ramai juga akauntan yang menjadi CEO perniagaan. Perkara utama di dalam perniagaan bukannya mengawal kos tetapi menjana keuntungan untuk dipulangkan kepada penyumbang modal. Untuk menjana keuntungan kena pandai menjual barangan, perkhidmatan atau gabungan di antara kedua-duanya. Jadi, CEO kena pandai menjana nilai kepada pelanggan melalui barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh perniagaan.

Oleh itu, tak semua akauntan kerjanya mengawal kos. Tanpa jualan, tidak ada pendapatan. Tanpa pendapatan, produk yang kosnya paling rendah pun tidak akan membawa keuntungan kerana tersadai sahaja di kedai, tidak dibeli oleh sesiapa.

Jadi, menjual inilah kunci untuk menjana keuntungan. Menjual bukan setakat produk. Harta-harta lain sekiranya sudah tidak terpakai atau pun yang membawa kerugian kenalah dijual. Lagi lama disimpan, lagi banyak ruginya.

Eh, betul ke ada harta yang membawa kerugian? Ada. Contohnya jika kita beli ladang kelapa sawit dengan harga yang mahal tetapi hanya boleh menanam di sebahagian dari tanah itu sahaja, susah nak buat untung. Tidak semua tanah sesuai ditanam dengan kelapa sawit dan di sesetengah negeri, ada halangan-halangan yang menyebabkan tak semua tanah boleh digunakan.

Jadi, jika tanah itu dijual, itu bukan bermakna kita menjual harta tok nenek. Itu satu tindakan komersil untuk menyelamatkan pembekal modal dari terus menanggung kerugian. Jika nak pertikai juga sebab mempertikai sudah menjadi darah daging, tanyalah siapa yang membeli tanah yang tidak sesuai untuk dijadikan ladang? Mengapa harganya mahal sedangkan tak semua tanah boleh ditanam pokok?

Isu menjana nilai dan mengawal kos ini juga terpakai kepada kehidupan kita. Kuasa beli kita bergantung kepada 2 perkara, pendapatan dan kos barangan. Jika tiada pendapatan, semua barangan menjadi “mahal”. Semakin banyak pendapatan kita, barang yang mahal itu menjadi “murah”, walaupun harganya mungkin semakin naik.

Itulah sebabnya di samping cuba menstabilkan harga barangan melalui tindakan seperti meningkatkan OPR (kadar faedah), satu lagi tindakan yang dilakukan sekarang ialah menambahkan pendapatan. Membantu orang-orang miskin menjual makanan melalui mesen vending tu mulia, bukannya hina. Jika orang miskin yang terlibat dapat tambah apa yang orang Kelantan sebut “samah serial” itu pun dah menambah pendapatan keluarga mereka. Mempertikaikan usaha ini tidak akan menambahkan pendapatan sesiapa.

Usaha yang lebih besar ialah meningkatkan nisbah gaji kepada pendapatan kepada tahap yang lebih tinggi dari 40%. Nisbah gaji kepada pendapatan yang rendah bermakna tokey dapat untung yang lebih dari pekerja. Pada tahun 2020, nisbahnya 37%. Kemudian datang Covid-19. Tahun lepas, nisbah ini jatuh kepada 32% sahaja. Harga barang pula naik. Jadi, inilah sebabnya ramai orang yang terkesan. Sasaran kerajaan sekarang inilah menaikkan nisbah ini kepada 45%.

Di antara keputusan polisi penting yang diambil oleh kerajaan ialah memperkenalkan dasar “gaji progresif”. Ini akan meningkatkan kadar kenaikan gaji supaya nisbah gaji menjadi lebih tinggi. Perinciannya kena tunggu Belajawan 2024 yang akan diumumkan bulan hadapan. Oleh kerana ini polisi baharu, silalah pertikai. Mempertikaikan perkara polisi dengan cadangan-cadangan yang lebih bijak dan baik amat-amat dihargai. Jika setakat tak setuju tanpa apa-apa cadangan balas, budak tadika pun boleh buat.

Jadi, akauntan ni bukannya hanya sekadar mengira dan menjaga kos, dia pun pandai menjana nilai. Kaedahnya boleh dipersoalkan tetapi jika benar-benar jantan, bawalah cadangan yang lebih bernas. Jangan mempertikaikan kerana dah jadi tabiat. Tu huduh.

Tinggalkan komen