Saya Takut jika Kita Terlampau Berkira, Allah Akan Berkira Juga Di Akhirat

Di ketika saya masih lagi berkhidmat dengan MIA, ada satu episod yang melibatkan sejauh mana kita nak berkira.

Selepas saya habis satu mesyuarat dan nak balik, pemandu saya menanti di hadapan pintu pejabat MIA dengan seorang individu lain. Saya tanyalah apa masalahnya. Rupa-rupanya semasa pemandu saya mengisi minyak, orang kereta sebelah buka pintu dan kena kereta saya. Lalu pemandu saya suruh dia tunggu dan beri penjelasan kepada saya.

Sebenarnya tak ada benda serius pun. Saya silakan orang berkenaan meneruskan urusannya. Kemudian saya syarah sedikit kepada pemandu saya:

“Aku ni kerja sebagai juruadit. Dalam kerja aku, aku kena ikut banyak jenis peraturan. Tentunya ada yang terlepas pandang di situ sini. Jika perkara sedikit pun kita perbesarkan, bagaimana jika pihak yang berkuasa buat perkara yang sama ke atas aku?”

Saya tidak nampak insiden di stesen minyak itu memerlukan orang yang telibat kena tunggu saya sehingga habis mesyuarat untuk meminta maaf.

Mana ada manusia yang tidak pernah buat silap, termasuk diri kita sendiri. Hanya kita sahaja yang tahu apa yang kita telah lakukan yang Allah SWT tutup dari pengetahuan orang lain. Ramai alim ulama dahulu yang memperkatakan bahawa kita nampak baik kerana Allah tutup aib kita. Kalau semuanya terserlah, nak keluar rumah pun mungkin malu.

Jadi saya cuba untuk tidak memperbesarkan perkara-perkara yang tidak baik yang saya nampak melainkan ianya melibatkan hak manusia dan saya ada tanggungjawab ke atasnya di dalam pelbagai kapasiti.

Jika ada nampak kesilapan atau kesalahan, saya akan cuba cari fakta berkenaan apa yang sebenarnya berlaku. Jika kita tidak ada fakta dan main agak-agak dan rasa-rasa sahaja, itu amat merbahaya. Lebih-lebih lagi jika kita nak menuduh orang secara terbuka berkenaan apa yang kita kira salah.

Pengalaman kita di dalam hal yang hampir sama bukanlah fakta. Jika kita biasa dengan proses a, b, c, jangan letakkan proses kita itu di dalam proses orang lain melainkan ada piawaian rasmi yang menjadi rujukan. Apabila kita singgung orang lain berdasarkan apa yang kita telah lalui, adakah itu bukti mereka telah tidak melakukan sesuatu yang betul?

Saya selalu sebut satu perkara yang saya amat takut ialah apabila dihisab, Allah paparkan kesalahan kita telah mengambil hak orang lain yang kita pun tidak sedar kita melakukannya dan dia pun tak sedar bahawa haknya telah diambil oleh kita. Kedudukan dan pangkat boleh menyebabkan perkara ini berlaku. Kita mungkin tidak sedar dasar atau polisi yang kita buat tanpa kajian yang menyeluruh boleh menyebabkan ada orang yang kita tidak kenal terzalim.

Risiko ini juga boleh wujud di media sosial. Kita hanya boleh nampak, dengar dan baca apa yang dikongsikan sahaja. Apa yang tidak terzahir kita tak tahu. Itulah sebabnya saya amat hairan apabila ramai juga orang di media sosial ini yang mempu membaca niat dan isi hati orang lain, terutama orang-orang yang mereka tidak suka. Dari mana datangnya ilmu ini ya? 🤗

Saya ada pengalaman dengan seorang dua yang nampak hebat berjuang di media sosial, namun apabila kita berikan bukti yang berbeza dengan naratif mereka secara lansung, mereka tak ada jawapan yang kukuh untuk mempertahankan apa yang mereka dakwa dengan penuh yakin di media sosial.

Bagaimana agaknya hisab yang mana Allah berkira sama dengan perangai berkira kita di dunia ini?

Semoga Allah SWT menutup aib kita di dunia dan akhirat.

Tinggalkan komen