Fahami Tanggung Jawab Percukaian Anda

Minggu lepas seorang pengarah syarikat telah didenda lebih RM 2 juta kerana gagal untuk melaporkan pendapatan kepada Lembaga Hasil. Jika dia gagal membayar denda berkenaan, dia akan dipenjarakan selama 12 bulan.

Pencukaian adalah satu perkara yang perlu ditempuhi oleh usahawan. Ini adalah satu perkara yang perlu juga mereka pelajari di samping ilmu-ilmu perniagaan yang lain. Sekiranya gagal memenuhi kehendak undang-undang cukai, perniagaan dan diri mereka secara peribadi boleh menghadapi masalah besar.

Di bawah Akta Cukai Pendapatan, seorang usahawan bukan sahaja bertanggungjawab untuk mengira dan melaporkan pendapatan perniagaan yang mereka jalankan tetapi ada banyak lagi perkara-perkara yang perlu mereka patuhi seperti kaedah pengiraan cukai, membuat anggaran cukai dan membayar cukai secara ansuran.

Walaupun kebanyakan perniagaan ada sistem perakaunan dan menjana laporan-laporan seperti penyata kewangan, cukai yang kena dibayar hendaklah mematuhi kehendak akta cukai seperti yang disebut di atas, bukannya bergantung kepada laporan kewangan semata-mata. Ada beberapa jenis perbelanjaan yang kena dibayar di dalam menjalankan perniagaan tetapi tidak dibenarkan di bawah undang-undang cukai.

Kadang-kadang ada juga usahawan yang tidak membezakan perbelanjaan peribadi dengan perbelanjaan perniagaan. Guna wang perniagaan untuk membayar kedua-duanya. Apabila cukai dikira, janganlah terkejut sekiranya jumlah pendapatan yang dikenakan cukai lebih tinggi dari keuntungan perniagaan disebabkan perbelanjaan-perbelanjaan peribadi yang tidak lepas dari segi cukai pendapatan.

Jangan juga pelik sekiranya perniagaan yang ada masalah mengutip hutang mempunyai tanggungan cukai. Ini adalah kerana cukai dikira berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan terakru. Apabila ada jualan secara krediit, sudah ada keuntungan dari segi pencukaian. Jika pembeli lewat membayarnya dan melepasi tahun taksiran pencukaian, cukai kena dijelaskan walaupun pembayaran dari pelanggan belum diterima. Perbelanjaan yang sudah tertanggung tetapi belum dijelaskan lagi pun boleh ditolak dari pendapatan bercukai.

Bagaimana pula dengan pembelian aset-aset seperti kereta dan mesin? Kaedah pengiraan bahagian yang boleh ditolak di dalam untung rugi perakaunan tidak sama dengan kaedah di dalam pengiraan cukai. Kadang-kadang ada usahawan yang mempercayai salah satu kaedah untuk mengurangkan cukai adalah dengan membeli kereta dengan menggunakan wang perniagaan. Itu tidak betul.

Sekiranya kita mengabaikan tanggungjawab berkenaan pencukaian, kita boleh didenda dengan jumlah yang besar. Ini tentunya akan menyebabkan perniagaan kita terkesan. Malah, saya pernah menjumpai usahawan-usahawan yang mengalami kemurungan disebabkan masalah cukai.

Satu langkah yang amat digalakkan ialah setiap perniagaan yang sudah nampak daya majunya mempunyai penasihat cukai yang berpengalaman. Ini boleh membantu usahawan dan perniagaan di dalam memahami tanggungjawab mereka berkenaan cukai dan juga mengatur perkara-perkara yang berkaitan agar usahawan dan perniagaan tidak terbeban dengan isu-isu cukai.

Di pertengahan tahun seperti sekarang ini, di antara perkara yang perlu ditinjau ialah pematuhan cukai, kedudukan cukai dan juga langkah-langkah yang boleh diambil bagi memastikan kesemua insentif cukai yang ada dimanfaatkan. Sia-sialah langkah kerajaan untuk membantu usahawan melalui pelbagai insentif cukai sekiranya diabaikan oleh usahawan yang merupakan sasarannya.

Di samping menyusun urusan cukai perniagaan jangan terlepas pandang kewajipan cukai diri sendiri sebagai rakyat yang bertanggungjawab. Kesemua ini perlu dirancang dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin agar perniagaan yang kita bina dan aset-aset peribadi kita tidak dirisikokan kerana kita mengambil mudah berkenaan pencukaian. 

Ambillah iktibar dari kes yang saya sebutkan di atas itu.

Tinggalkan komen