Jadi Tukang Jahit Kerja Tak Glamour?

Tadi saya nak potong kaki seluar. Memang semasa beli dah berhajat nak potong di kedai di AU 5. Ternyata dalam setengah jam, beres.

Ini mengingatkan saya kepada kedai Abang Zahari di lorong Che Su dahulu. Saya bersama atok dan nenek tinggal di atas. Dua ruang kedai di bawah atok sewakan kepada kedai gunting rambut dan kedai jahit.

Atok pun sebenarnya pernah menjadi tukang jahit. Namun, di ketika itu dia sudah berumur. Lalu semua baju saya akan dipotong dan dijahit oleh Abang Zahari. Ini termasuk seluar bell bottom yang mana kakinya berukuran 20 inci.

Saya tak tahu di bandar-bandar lain tetapi di Kuala Lumpur ada banyak kedai jahit yang diusahakan oleh warga Bangladesh. Mereka beragama Islam. Maknanya mereka saudara sesama agama. Adakah sempadan negara akan memutuskan hubungan agama ini, tu kita kena fikirkan betul-betul sebelum menjawab.

Tidak ada halangan untuk warga tempatan untuk unggul di dalam bidang ini. Ada ramai tukang jahit tersohor yang saya nampak dalam tv yang mereka pelbagai fesyen terbaharu. Malah, ada ramai tukang-tukang jahit wanita yang mampu membina nama dan menjadikan jahitan perniagaan yang berdaya maju.

Jadi apa yang abang-abang Bangla ni buat ialah fokus kepada ruang pembetulan pakaian. Itu nampak tak glamour tetapi ianya merupakan perniagaan yang menyelesaikan masalah manusia. Nak berjaya berniaga kena mampu selesaikan masalah dan tambah nilai, buka berlawan siapa kuat laungannya. Apabila dahaga dan lapar berhentilah dia.

Ruang yang kecil jika difokuskan betul-betul akan menjadi satu lubuk yang besar. Di dalam beberapa pasaraya di Taman Melawati, ada banyak perniagaan memperbetulkan pakaian ini yang dijalankan oleh abang-abang Bangla. Mungkin orang lain sengaja membiarkan pasaran ini kerana nampak kecil dan tak glamour. Sebenarnya inilah apa yang dikatan Blue Ocean kerana ianya fokus dan tidak banyak persaingan.

Jika tak untung tak kan mereka mampu bertahan berniaga di dalam pasaraya yang semua orang tahu tidak murah sewanya. Kepada pemilik bangunan, perkhidmatan pembetulan pakaian ini menyempurnakan tawaran lokasi perniagaan pasaraya berkenaan. Jadi, bila ada orang nak potong kaki seluar dia akan pergi ke situ dan menambahkan jumlah pelanggan yang datang bertandang.

Berniaga ni kena pandai intai dan ambil peluang. Jika kita nak tunggu peluang ditawarkan dengan jaminan keuntungan, tunggu sajalah di kerusi malas itu. Mana tau ada yang betul-betul bergolek ke kaki.

Tinggalkan komen