Tip Membina Jaringan Perniagaan Berkualiti

Di dalam menguruskan perniagaan, seorang usahawan tidak boleh lari dari bergantung kepada pelbagai pihak untuk memudahkan urusannya. Mahu tidak mahu, membina jaringan perniagaan yang berkualiti hendaklah dilakukan secara sedar dan tersusun. Semakin besar jaringan, semakin tinggi peluang bagi perniagaan untuk mendapat manfaat dari jaringan yang dibina ini.

Di antara manfaat yang dikira paling penting ialah maklumat yang boleh dipercayai. Ini adalah penting kerana maklumat boleh membuka peluang baharu dan juga menjadikan kita sedar akan risiko yang mendatang. Dengan adanya orang-orang yang mempunyai akses kepada maklumat yang berkenaan dengan bidang perniagaan kita, kita boleh merisik-risik perkembangan terbaharu dan juga tips-tips yang boleh dijadikan panduan untuk mengambil tindakan-tindakan yang bermanfaat.

Satu lagi manfaat jika kita ada jaringan yang berkualiti ialah memudahkan urusan. Sesebuah perniagan perlu berususan dengan pihak kerajaan dan swasta. Walaupun seorang usahawan boleh berurusan secara bersendirian, urusan akan lebih mudah jika ada orang yang kenal kita dan membantu dengan ikhlas atau pun boleh memperkenalkan kita kepada orang yang boleh membantu. Sekurang-kurangnya kita boleh diberikan panduan bagi memudahkan urusan dan tidak perlu menghabiskan masa dan sumber untuk boleh digunakan dengan cara yang lebih bermanfaat.

Ada beberapa cara yang boleh membantu usahawan untuk membina jaringan:

  1. Cari di mana kawan-kawan lama kita. Ini adalah sumber yang ada di hadapan mata. Ada kemungkinan beberapa orang di antara mereka mempunyai kedudukan yang boleh membantu kita. Inilah sebabnya ramai usahawan yang mengambil cakna dengan persatuan alumni sekolah masing-masing atau pun tempat kerja yang lama. 
  2. Menyertai persatuan industri. Di antara aktiviti persatuan industri ialah mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak yang berkaitan. Ini memudahkan kita untuk bertemu secara berhadapan dengan orang-orang yang berkenaan dan membina persahabatn dari situ. Ahli-ahli persatuan juga boleh membantu terutamanya orang yang suka berkongsi ilmu dan petua. Carilah orang-orang ini dan jadikan mereka kawan.
  3. Ambil peluang apabila menghadiri kursus dan seminar. Di samping menimba ilmu, gunakan peluang untuk mengenali peserta-peserta lain dan berkawan dengan orang yang ada potensi untuk membantu kita. Mereka tidak semestinya berada di dalam bidang yang sama dengan kita tetapi boleh membantu dari segi lain seperti pembiayaan, perlesenan dan sebagainya.
  4. Bina rangkaian di dalam rantaian bekalan. Pembekal dan pelanggan adalah sumber jaringan yang memang dekat dengan kita. Mereka bukan sahaja merupakan rakan niaga tetapi mereka juga boleh memberikan kita maklum balas dan maklumat yang berguna. Jika boleh kita cuba masuk ke dalam jaringan mereka pula. Itu tentunya satu ruang yang baik bagi perniagaan kita.
  5. Kenali “connector”. Connector ialah orang yang tidak mempunyai apa yang kita perlukan secara lansung tetapi mengenali ramai orang-orang yang boleh membantu kita. Jika kita diperkenalkan kepada orang-orang sedemikian ileh seorang connector yang tinggi pengaruhnya, peluang untuk kita dibantu juga amat tinggi.

Membina jaringan memerlukan usaha yang tersusun dan dibuat secara berterusan. Kita pun kena ada nilai di sisi orang-orang yang ada di dalam jaringan kita. Ianya bukan jalan satu hala. Lagi banyak kita membantu dan memudahkan orang lain, nilai kita di dalam jaringan pun akan meningkat. Apa lagi sekirannya kita mempunyai perkara-perkara yang orang cari seperti ilmu dan pandangan yang bermanfaat.

Jangan tunggu orang mencari kita, binalah jaringan seorang demi seorang untuk memudahkan kita apabila ada keperluan.

Tinggalkan komen