Transformasi masyarakat hanya berlaku apabila berlaku peningkatan ilmu di dalamnya. Ilmu boleh membentuk kemahiran. Ilmu dan kemahiran membuka peluang pekerjaan. Bekerja menambahkan pengalaman. Ini menyebabkan pendidikan menjadi perkara utama untuk menambah kemakmuran.
Ramai mana ahli masyarakat yang atok, nenek, ayah dan ibu mereka tidak mempunyai pendidikan atau tahap pendidikan mereka jauh lebih rendah dari anak-anak mereka yang kini dikira berjaya? Namun, mereka sanggup menghadapi kesukaran kehidupan dan membelanjakan dana terhad mereka ke atas pendidikan anak cucu mereka agar anak cucu mereka terdidik and menjadi insan-insan yang lebih berjaya. Ini menunjukkan pelaburan di dalam pendidikan anak-anak amat penting.
Di dalam kehidupan masa kini, seseorang itu akan menghadapi cabaran untuk mengagihkan sumber kewangan yang terhad. Kita sering mendengar renggetan berkenaan harga rumah dan kereta. Nak menampung gaya hidup idaman memerlukan dana, kan?
Bagaimana pula dengan pendidikan anak-anak? Oleh kerana biasanya ini akan dihadapi selepas komitmen dibuat ke atas aset-aset lain yang besar komitmennya, pendidikan anak-anak boleh jadi terbiar. Maka, kenalah bergantung kepada bantuan kerajaan yang memang dimaklumi amat terhad pun.

Ada komuniti yang meletakkan pendidikan anak-anak di atas perkara-perkara lain. Mereka menabung di kala anak masih kecil. Ada yang menggunakan dana persaraan sebagai sumber membiayai anak-anak mereka ke institusi pengajian tinggi piliha termasuk di luar negara. Anak-anak itu pula faham bahawa mereka juga perlu mencari dana tambahan dengan bekerja agar pendidikan yang sempurna dapat dicapai.
Namun, seperti yang disebutkan di atas, ada juga golongan masyarakat yang bergantung kepada pertolongan kerajaan semata-mata. Bila tak dapat biasiswa mereka marah-marah. Jika diperhatikan, mereka tak ada masalah untuk membeli rumah dan kenderaan. Itulah prioriti kehidupan yang diserlahkan dengan tindakan mereka sendiri.
Apa yang ditakutkan ialah kita memulakan corak yang mana pendidikan anak cucu kita lebih rendah dari kita kerana kita gagal untuk meletakkan pendidikan anak-anak sebagai perkara utama. Biayai gaya hidup dahulu, biayai pendidikan anak-anak jika ada lebihan sahaja.
Menyedihkan jika ini berlaku.
