Memenangi Persaingan Merebut Bakat

Tidak ada organisasi atau perniagaan yang tidak menghadapi cabaran berkenaan bakat. Sebagai contoh, sektor perladangan dan pembinaan ada masalah buruh. Perniagaan yang memerlukan ahli pasukan yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi pun menghadapi cabaran yang sama. Tanpa bakat-bakat yang diperlukan, perniagaan akan menghadapi masalah untuk mencapai potensi walaupun peluang sudah berada di hadapan mata.

Ada beberapa isu yang menjadikan persaingan untuk mendapatkan bakat yang diperlukan ini sengit.

Isu pertama ialah samada bakat yang dilahirkan menerusi sistem pendidikan kita memenuhi kehendak perniagaan? Biasanya ada jurang kerana kehendak perniagaan sentiasa berubah disebabkan persaingan, teknologi baharu, perubahan selera pelanggan dan lain-lain lagi. Apa yang diajar di dalam sistem pendidikan tidak  boleh diubah semudah perubahan di dalam industri. Isu birokrasi dan kompetensi menyebabkan wujudnya jurang di antara industri dan akademik. 

Pilihan untuk membina kerjaya lebih luas di kala ini. Ini menyebabkan bakat-bakat yang biasanya memasuki industri-industri tertentu memilih untuk melakukan pelbagai kerja di sektor lain. Malah, tak kurang juga yang mencuba untuk mencari rezeki dengan pelbagai peluang baharu di media sosial yang membolehkan mereka menggunakan bakat dan kreativiti mereka untuk membuat duit. Peluang ini menjadi lebih menarik kerana tahap gaji yang ditawarkan di dalam industri tradisional mungkin agak terkebelakang berbanding dengan sasaran kewangan yang boleh dicapai di dalam sektor ekonomi baharu yang menggunakan media sosial.

Orang kita sekarang sudah tidak ada masalah untuk mencari peluang pekerjaan di luar negara. Singapura bukan sahaja dekat tetapi menawarkan gaji dan manfaat yang berganda jika diambilkira tukaran wang asing. Ini menyebabkan lebih ramai anak-anak kita yang bergeliga otakknya berhijrah ke luar.

Usahawan kena bijak dan kreatif untuk menjadikan perniagaan yang diusahakan mampu menarik bakat-bakat yang diperlukan. Namun, mereka juga kena bersaing dengan pelbagai perniagaan dan institusi lain di dalam memenangi hati pekerja yang diidam-idamkan.

Di samping menawarkan gaji dan manfaat yang kompetitif, sesuatu perniagaan kena juga menawarkan suasana kerja yang kondusif. Kemudahan kepada pekerja serta pakej-pakej manfaat seperti kemudahan perubatan dan pendidikan lanjutan akan dinilai oleh bakal pekerja. Ini semua akan menyebabkan kos modal insan semakin tinggi.

Bakat yang dibawa masuk akan juga menilai samada mereka boleh membina kerjaya di dalam perniagaan. Ini penting bagi memegang mereka di dalam tempoh yang lebih lama dan menjadikan mereka lebih produktif. Inilah sebabnya mengapa banyak perniagaan menaja pekerja mereka menghadiri pelbagai program pendidikan lanjutan dan juga latihan. Walaupun ini akan menjadikan bakat yang dilatih lebih produktif dan menambah nilai, nilai pasaran mereka juga semakin tinggi. 

Pakej imbuhan seperti bonus juga boleh menjadi faktor yang menjadikan pekerja kita lebih setia, walaupun bukan untuk semua orang. Anak-anak muda sekarang memang mengharapkan pengiktirafan segera dan memandang tinggi kepada pencapaian diri sendiri. Ini menjadikan merangka pakej manfaat pekerja lebih mencabar.

Walau apa pun cabarannya, perniagaan yang meletakkan pembangunan modal insan sebagai satu perkara utama akan mendapat peluang yang lebih untuk menarik dan mengekalkan bakat yang diperlukannya. Walaupun itu bukan satu jaminan, tawaran yang serius kepada orang-orang yang mempunyai ilmu, kemahiran dan pengalaman akan menarik bakat-bakat sedemikian berbanding dengan perniagaan yang tidak peduli masuk keluarnya pekerjanya. Di dalam jangka panjang, kita tentunya boleh mengagak perniagaan mana yang lebih berdaya maju, kan?

Tinggalkan komen