Biasanya di peringkat awal penubuhan perniagaan, seorang usahawan akan memikul kebanyakan tugas dan tanggungjawab penting di dalam perniagaannya. Ini adalah kerana di ketika itu banyak perkara yang belum jelas dan bilangan ahli pasukan yang ada masih kecil. Jadi, usahawan berkenaan masih mampu untuk membuat pelbagai keputusan pengurusan tanpa menjejaskan perjalanan perniagaan.
Namun, apabila perniagaan semakin berjaya dan membesar, usahawan akan mula berasa tidak cukup tangan. Maka, lebih ramai ahli pasukan baharu yang dibawa masuk dengan tugas dan tanggungjawab yang lebih khusus, sesuai dengan keperluan perniagaan. Orang lama yang hebat prestasinya pun boleh diberikan amanah dan tanggungjawab tambahan.
Di peringkat ini, adalah penting bagi usahawan yang menerajui perniagaan itu untuk mula melepaskan sebahagian dari tugas dan tanggungjawab yang dipikulnya kepada ahli-ahli pasukan baharu yang lebih berkemahiran di dalam bidang masing-masing. Sekiranya kesemua keputusan masih dibuat oleh usahawan seperti sebelum ini, perjalanan perniagaan mungkin terjejas dan keputusan yang diperlukan mungkin dibuat dengan memakan masa yang panjang.
Kegagalan untuk mendelegasi dengan berkesan adalah di antara sebab mengapa perniagaan yang berjaya menjadi tidak cekap dan gagal untuk berkembang dengan lebih mantap. Bagi menjadikan delegasi lebih berkesan, ada beberapa perkara yang perlu diadakan.

Perkara yang paling penting ialah kejelasan skop yang didelegasikan kepada setiap ahli pasukan. Ini termasuk apakah keputusan yang mereka boleh buat tanpa perlu merujuk balik kepada pihak yang lebih atas. Sekiranya ini tidak jelas, orang yang menerima tanggungjawab berkenaan boleh jadi was-was dan salah faham boleh berlaku di antara beliau dengan rakan-rakannya yang lain dan juga dengan pihak yang lebih atas.
Orang yang menerima delegasi itu mestilah mempunyai ilmu, kemahiran, pengalaman dan nilai yang diperlukan bagi menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diperturunkan kepadanya. Menurunkan kuasa kepada orang yang tidak layak merupakan satu tindakan yang mencari nahas. Mereka haruslah dipilih secara profesional berdasarkan prestasi mereka di dalam perniagaan atau pun semasa mereka berkhidmat di tempat lain.
Sekiranya perlu, latihan dan bantuan kenalah diberikan kepada orang-orang yang menerima tanggungjawab yang baharu. Mengandaikan bahawa semua orang boleh menjalankan tugas mereka tanpa bantuan bukanlah satu andaian yang selamat. Eloklah mereka diberi tempoh percubaan yang mana usahawan atau ahli pasukan yang lebih senior akan memberikan sokongan dan bantuan yang diperlukan.
Perkara yang agak penting juga di dalam mendelegasikan tugas dan tanggungjawab ialah kesediaan untuk menerima sekirannya ada kesilapan yang dilakukan oleh ahli-ahli pasukan yang baru menerima amanah yang diberikan. Inilah sebabnya proses menurunkan tanggungjawab ini perlu dirancang dengan teliti termasuk mengagak kekhilafan-kekhilafan yang mungkin berlaku serta kaedah untuk menanganinya agar perjalanan perniagaan tidak terjejas. Walaupun ada ahli pasukan yang boleh terus menjadi produktif dari hari pertama, ada juga yang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kedudukan baharu yang mereka ada.
Tidak ada manusia yang boleh menongkat langit secara berseorangan. Di dalam perniagaan, usahawan kena pandai mencari kedudukan yang bersesuaian yang lebih strategik. Maka, perkara-perkara yang lebih kepada operasi bolehlah didelegasikan kepada orang lain. Sekiranya tidak, dia bukan sahaja disibukkan oleh pelbagai perkara tetek bengek tetapi ini akan mengalihkan perhatian beliau dari perkara-perkara yang lebih memberikan kesan kepada perniagaan.
